Ahad, 15 Ogos 2010

Beri kuasa polis bebankan guru - NUTP

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Saranan agar guru disiplin diberi kuasa polis tambahan tidak akan mampu membendung masalah disiplin pelajar di sekolah sebaliknya memberi bebanan baru kepada guru terlibat.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

Menurutnya, malah mereka perlu mendidik dan berperanan sebagai ibu bapa dengan menasihati serta membimbing pelajar agar menjadi manusia berguna.

"Tanggungjawab yang dipikul oleh guru-guru pada hari ini amat berat dan tidak wajar sekiranya mereka terpaksa menggalas tanggungjawab baru pula iaitu polis tambahan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.

"Kita tidak mahu nanti tugas guru yang lebih penting iaitu mengajar terpaksa dikesampingkan akibat memikul tanggungjawab lain. Ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen yang menggesa kerajaan mengkaji pemberian kuasa polis tambahan kepada guru disiplin bagi menghindari pengaruh samseng di sekolah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, saranan tersebut tidak mampu mengubah sikap pelajar yang tidak berdisiplin menjadi lebih baik malah ia menyebabkan pelajar tidak menyenangi guru mereka.

"Sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak mampu dilaksanakan dengan baik jika saranan itu diwujudkan kerana pelajar akan kurang menghormati tetapi berasa takut terhadap guru-guru mereka.

"Tidak sepatutnya tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar diletakkan di bahu guru sahaja. Seharusnya semua pihak iaitu pengetua, guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat bekerja sebagai satu pasukan bagi menangani masalah tersebut," katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan pula mengalu-alukan saranan tersebut dan mencadangkan diwujudkan jawatan baru bagi menangani masalah disiplin pelajar.

"Perlu diwujudkan satu jawatan baru iaitu penolong kanan disiplin bagi menyelaras dan memantau hal-hal berkaitan disiplin pelajar serta guru-guru di bawah penyeliaan guru besar atau pengetua.

"Perlindungan undang-undang juga wajar disalurkan kepada guru-guru ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi seperti dicederakan atau disaman," katanya.

Tambahnya, sebelum membenarkan mereka menjalankan tugas dalam membendung masalah disiplin pelajar, guru-guru tersebut perlu diberikan latihan dan penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Utusan Malaysia Online: 15 Ogos 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tidak semestinya dengan kuasa polis guru terbeban..Bukankah bagus kalau guru seperti polis?Tak perlulah polis susah-susah datang ke sekolah nak selesaikan masalah pelajar.
Janganlah jadikan soal murid takut atau benci guru.Guru pun ada cara nak mendekati pelajar.
Murid yang nakal padanlah takut guru..sekurang-kurangnya mereka tidaklah menunjukkan sikap kurang ajar dihadapan guru.

kalau takut sangat guru terbeban dengan cadangan memberikan kuasa polis , mintalah Kementerian Pelajaran letakkan Pondok Polis di setiap sekolah yang berisiko..

Tanpa Nama berkata...

Saranan Preseden NUTP tu mungkin ada rasionalnya.Walau bagaimana pun kena ceklah mana-mana sekolah yang berisiko khususnya sekolah menengah. Guru-guru atau bekas guru di sekolah rendah memang tidak tahu sangat keadaan dalaman disekolah-sekolah menengah. Masalahnya hanya guru-guru sekolah menengah sahaja yang tau. Oleh perlu ada pemantauan...tak bolehlah kita cakap guru terbeban..