Jumaat, 18 Februari 2011

SK Ulu Lubai 'permata dalam belantara'



MUHYIDDIN Yassin bersama Mohd. Shafie Apdal beramah mesra dengan murid SK Ulu Lubai ketika meninjau sekitar sekolah itu di Limbang, Sarawak, semalam.


LIMBANG 17 Feb. - Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai hanyalah sebuah sekolah yang serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.

Lokasinya terletak di tengah-tengah hutan belantara. Ia dihubungkan melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai yang membabitkan tempoh perjalanan kira-kira sejam daripada Medamit.

Sekolah yang dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan.

Namun hari ini, SK Ulu Lubai mencatatkan sejarah gemilang apabila muncul sebagai sekolah pedalaman pertama yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali gus memberi tamparan kepada sekolah lain yang berada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Menyifatkannya sebagai amat luar biasa, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan SK Ulu Lubai itu membuktikan bahawa semua sekolah mampu cemerlang tanpa mengira lokasinya.

"Kalau kita lihat persekitaran dan infrastruktur, ia amat sederhana, bangunannya sudah lama dan diperbuat daripada kayu, tidaklah seelok bangunan-bangunan konkrit di sesetengah sekolah.

"Tetapi kerana kepimpinan sekolah itu adalah cemerlang dan guru-guru serta ibu bapa bersama murid-murid amat komited untuk bantu membangunkan sekolah ini, berlaku lonjakan yang amat besar," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 23 SBT Kohort Dua di SK Ulu Lubai di sini hari ini.

Muhyiddin juga melontarkan cabaran kepada sekolah-sekolah lain dengan berkata:

"Jika SK Ulu Lubai yang begini keadaannya boleh muncul yang terbaik, saya tidak fikir sekolah lain tidak mampu."

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga sekarang, menjadikannya sebagai sekolah terbaik di negeri ini.

Katanya, dalam penarafan sekolah kebangsaan, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan ia melonjak ke tempat pertama pada 2010.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan, sekolah itu memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pencapaian terkini ialah pencalonan UNESCO Educational International Best Practices 2010.

"Di samping itu, ia juga berjaya merangkul lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin begitu teruja dengan inisiatif SK Ulu Lubai yang bergerak aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi pendidikan luar negara.

Katanya, jaringan itu bukan calang-calang kerana pada 2009 dan 2010, mereka mewujudkan jaringan dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, masing-masing di UK.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah berkenaan,

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad.

"Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 Februari 2011

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yg lain saya boleg juga percaya...TETAPI tentang keputusan UPSR 100% bagi sekolah pedalaman, sangat sukar dipercayai.

Kalau kat Selangor, SJK(T) kategori SKM, banyak yg menipu dlm UPSR. Kalaulah di Sabah Srwak yg dlm hutan, tentu susah penyelia/pemantau yg membuat pemantauan semasa UPSR.

Soalan dah tentu dpt lebih awal, lepas tu sapa nak pantau tgh hutan belantara....

Saya harap dlm 3 thn ni, pemantau berada disekolah ni selama seminggu(minggu peperiksaan) utk memastikan tiada penipuan.

Kalau keputusannya OK, barulah boleh diiktiraf sebagai SBT.

Guru Limbang berkata...

Saya menyanggah pendapat saudara, saya sebagai seorang guru di PPD Limbang ini tahu bagaimana sekolah ini dijalankan dan bagaimana mereka mengulangkaji pembelajaran mereka.

Memang betul mereka mendapat keputusan 100% UPSR sejak dari tahun 2006. Kalau encik "Tanpa Nama" tidak percaya, boleh datang ke Ulu Lubai ini dan lihat bagaimana mereka belajar dan berinteraksi sesama sendiri, guru dan ibubapa.

Siapa kata soalan UPSR mereka dapat lebih awal. Sama juga seperti sekolah yang lain di pedalaman Limbang ini yang mana datang sehari awal dan soalan disimpan dalam peti besi sekolah seperti juga sekolah saya, lagipun penjaga peperiksaan adalah dari sekolah yang berlainan.

Bagi saya memang patut SK Ulu Lubai mendapat sekolah taraf SBP kerana kesungguhan guru besar, guru-guru, kakitangan dan sebenarnya yang lebih memberi sumbangan adalah ibu bapa murid sekolah itu sendiri yang kebanyakkan terdiri daripada kaum Iban yang membuat inisiatif sendiri untuk anak mereka belajar.

Dengan jumlah murid yang sedikit iaitu dalam 30 orang, SK Ulu Lubai dapat membentuk mereka menjadi murid yang cemerlang dan berjaya dalam UPSR. Untuk pengetahuan saudara, terdapat juga beberapa sekolah yang muridnya yang berjumlah tak sampai 50 orang yang ada di Limbang ini tetapi mengapa mereka tidak cemerlang. Itulah hebatnya Sk Ulu Lubai.

Wassalam.

Tanpa Nama berkata...

Kalau betul tu baguslah. Pengesahan anda tu saya percaya. Tapi di tempat saya tidak.

Terima kasih atas makluman anda.

Tapikan..mereka di sana ada terlibat ka dgn pelbagai aktiviti sukan, ko akademik, dll. Sebabnya kedudukan mereka jauh dlm hutan.

Guru Limbang berkata...

Usahla disamakan sekolah yang terletak di pedalaman ini bagi aktiviti sukan, kokurikulum dengan sekolah di bandar terutama di negeri yang maju seperti Selangor.

Sekolah di Limbang ini terutamanya di pedalaman, peruntukan kewangan adalah terhad. Tapi SK Ulu Lubai mereka dapat melahirkan atlit yang berjaya sampai ke peringkat negeri Sarawak, walaupun murid yang dihantar cuma 1 dan 2 orang.

Untuk pengetahuan saudara saya adalah guru yang berasal dari semenanjung. Cerita yang saya dapat ini pun daripada rakan se'posting' saya juga dari semenanjung yang ditempatkan di SK Ulu Lubai ini.

Guru Besar sekolah saya sekarang ini juga pernah juga mengajar di sana selama beberapa tahun. Beliau selalu menceritakan bagaimana keadaaan budaya dan persekitaran sekolah itu di dalam mesyuarat atau pun ucapan beliau untuk sekolah kami contohi.

Tanpa Nama berkata...

sapa yg x penah ke pedalaman mmg payah nak paham,diorg bukan bodoh tp x diberi peluang, harap maklum, potensi diorg lg bagus dr budak 2 semenanjung

cikguyem@yahoo.com.my berkata...

Adakah sebarang dokumentasi berbentuk foto / video untuk dijadikan bahan motivasi kepada guru2 dan murid2 sekolah pedalaman lainnya.

salam hormat dan semuga terus cemerlang di mata dunia...

cikguyem,
.. di salah sebuah sekolah pedalaman, di johor.