Selasa, 9 Februari 2010

312 projek Kementerian Pelajaran

GUA MUSANG: Sebanyak 312 projek di bawah Kementerian Pelajaran berjaya disiapkan mengikut jadual, manakala 45 lagi dikategorikan sebagai 'sakit' sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian akan mengambil tindakan segera dengan melantik kontraktor penyelamat bagi mengatasi masalah projek lewat siap atau dikategorikan sebagai sakit itu.

Katanya, setakat ini kementerian sedang dalam proses membatalkan 23 kontrak sekali gus menyenarai hitamkan kontraktor yang didapati gagal melaksanakan projek diberikan mengikut tarikh dipersetujui bersama.

"Setakat ini, 21 daripada 45 projek kategori lewat siap atau sakit itu membabitkan pembinaan 16 sekolah menengah dan lima sekolah rendah.

"Antara projek yang gagal disiapkan termasuklah pembinaan bangunan tambahan, dewan dan rumah guru dan kelewatan projek ini memang mengganggu proses pembelajaran. Oleh itu, kita akan pastikan masalah ini diatasi segera," katanya.

Beliau memberitahu media demikian selepas Majlis Mesra Muhibah Bersama Warga Sekolah dan Masyarakat Orang Asli Pos Balar di Sekolah Kebangsaan Balar, kelmarin.

Sempena lawatan Mohd Puad ke Jajahan Gua Musang, beliau turut melawat tapak cadangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Betis, mengadakan tinjauan projek SM Sains Gua Musang selain melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Pulai.

Ketika melawat tapak projek SM Sains Gua Musang, Mohd Puad melahirkan rasa kecewa dengan kontraktor yang masih gagal memulakan sebarang pembinaan bagi projek itu, sedangkan ia sepatutnya siap pada 22 Julai tahun lalu dan sudah diberi tempoh baru menyiapkannya menjelang 8 Ogos ini.

Beliau jelas tidak dapat menahan kemarahan apabila mendapati tiada pembinaan dilaksanakan di kawasan itu.

Berita Harian Online: 9 Februari 2010

Tiada ulasan: