SUBANG JAYA: Lebih 60 sekolah sekitar kawasan ini menyaksikan program penyampaian hadiah Tandas Bersih 2009 dan pelancaran Pertandingan Tandas Bersih Sekolah 2010 anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.
Program terbabit bertujuan mempertingkatkan kebersihan tandas dalam kawasan pentadbiran MPSJ dan sebagai satu usaha berterusan memajukan negeri dalam aspek kebersihan persekitaran. Program juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya menjaga kebersihan di kalangan semua lapisan masyarakat yang bersesuaian dengan taraf Selangor sebagai negeri maju. Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata MPSJ ingin memperluaskan skop pendidikan amalan sihat di kalangan pelajar dengan menjalankan program terbabit selepas mendapati hanya 10 daripada 66 sekolah mempunyai tahap kebersihan tandas yang baik. “Modus operandi program ini adalah menjalinkan hubungan yang baik antara guru dan pelajar dalam menjaga serta mengamalkan kebersihan bangunan terutamanya tandas dan persekitaran sekolah,” katanya. “Diharapkan pendekatan ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi yang mementingkan kebersihan di samping menaikkan imej sekolah,” katanya yang merasmikan program terbabit.
Mengenai faktor yang menyumbang kepada masalah kebersihan tandas di sekolah, Adnan berkata masalah itu timbul kerana struktur bangunan atau pemasangan tandas yang sudah terlalu lama, kerosakan tidak dibaik pulih pada peringkat awal, masalah ketiadaan air serta tiada jadual pencucian berkala dan tiada kesedaran sivik di kalangan pengguna (pelajar dan kakitangan sekolah). “Melalui pertandingan yang akan bermula awal April ini, diharap pihak sekolah masih ada lagi masa merancang dan mencari pendekatan terbaik bagi menjaga kebersihan serta penyelenggaraan tandas yang lebih baik juga sistematik,” katanya. Pada program terbabit, setiap pemenang utama bagi tiga kategori Tandas Bersih 2009 yang dipertandingkan bagi restoran, stesen minyak dan pusat beli-belah memenangi RM1,000 dan sijil penghargaan.
myMetro: 26 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan