Rabu, 3 Februari 2010

NUTP syor guru baru wajib ke pedalaman

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan guru yang menamatkan latihan perguruan wajib berkhidmat di pedalaman dan luar bandar sebagai mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata tenaga pendidik terutama mereka yang belum berkeluarga sesuai mengisi kekosongan di kawasan itu selain membolehkan golongan terbabit mendapat pengalaman baru.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan iaitu menghantar guru berkhidmat di pedalaman bagi tempoh tertentu. Namun, saya rasakan kini tiba masanya perkara ini diperluaskan semula.

“Perkara ini mungkin menyulitkan bagi guru yang sudah berumur dan berkeluarga kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kemungkinan Kementerian Pelajaran mewajibkan guru ke pedalaman untuk tempoh tertentu bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar.

Hashim berkata, pihaknya yakin tindakan itu turut menguji kewibawaan guru selain bersedia dari segi mental dan fizikal jika dihantar ke kawasan terbabit.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang turut menyokong yakin tindakan mampu mempertingkatkan kualiti pendidikan di pedalaman.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian juga perlu mempertimbangkan khidmat di kawasan berkenaan sebagai syarat pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat guru.

“Guru yang diarahkan untuk berkhidmat di luar bandar dan pedalaman harus menerima tanggungjawab itu dengan hati terbuka kerana sumbangan mereka amat penting terutama memastikan murid dan pelajar di kawasan berkenaan menerima pendidikan yang secukupnya,” katanya.

Berita Harian Online: 3 Februari 2010

1 ulasan:

Zulfadzli Haron berkata...

Harapnya apabila sesuatu rancangan itu dilaksanakan, biarlah dibuat dengan pandangan yang jauh. Amat menyedihkan apabila sesuatu rancangan/dasar dibuat, beberapa tahun kemudiannya ia terpaksa dibatalkan, seperti PPSMI. Ini menunujukkan bahawa perancang dasar di negara ini tidak effisyen dan tidak mempunyai kemahiran meramal masa depan.

Rancangan menghantar guru-guru baru di pedalaman amat bertepatan untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar berminat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan walau dimana sahaja. Sekiranya mereka menolak, sepatutnya mereka perlu disingkirkan dari jawatan sebagai seorang guru.

ikhlas,

http://reformasimindaguru.blogspot.com