Isnin, 22 Februari 2010

Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi

SEKALUNG tahniah harus diberikan kepada 20 pengetua dan guru besar bersama pasukan kakitangan sekolah kerana berjaya menyenaraikan sekolah mereka sebagai kumpulan pertama dinobatkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negara ini.

Dengan kesungguhan dan kerja kuat tersebut, pasukan pentadbiran serta kakitangan sekolah diberikan kuasa autonomi terhadap banyak perkara, termasuk soal pengajaran dan pembelajaran.

Sememangnya suatu usaha yang berbaloi dengan keringat dan pemikiran yang berusaha keras mencapai tahap yang amat membanggakan itu. Semua ini adalah demi kemajuan pendidikan generasi bangsa Malaysia yang akan datang.

Walaupun usaha murni ini merupakan satu langkah yang amat baik, timbul pula beberapa kebimbangan serta persoalan terhadap kuasa autonomi yang boleh dianggap besar terhadap pengurusan sekolah.

Sudah pasti, semua pengetua dan guru besar di negara ini mengimpikan status yang berprestij ini. Bagi mereka yang telah dinobatkan akan sedaya mungkin mempertahankan mahkota yang dianugerah oleh kementerian.

Bagi mempertahankan gelaran tersebut sudah pasti beberapa formula dibuat oleh pihak sekolah sendiri. Antara perkara yang dikhuatiri ialah kuasa autonomi ini membuatkan sekolah tidak dapat dikawal oleh pejabat pelajaran negeri atau daerah.

Kebebasan mentadbir, urusan kewangan serta kaedah pembelajaran menjadikan pengetua punya kuasa mutlak ke atas semua urusan.

Selain itu, prestasi pelajar juga merupakan perkara yang paling penting dalam menentukan kompetensi prestasi sekolah. Adalah dikhuatiri dengan status autonomi ini SBT akan mengenakan syarat tambahan serta perkara yang tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar.

Jika ini yang berlaku sudah pasti pelajar yang lemah atau kurang cemerlang akan dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT meskipun sekolah itu merupakan sekolah harian yang sepatutnya pelajar itu bersekolah.

Secara tidak langsung, hak pelajar tersebut telah dinafikan dan hilanglah amalan demokrasi pendidikan. Sekali gus dasar pendidikan negara tidak dapat disuburkan dengan sempurna.

Seperkara lagi, jika tidak dikawal dengan sempurna SBT akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis Melayu.

Ini kerana kuasa autonomi yang diberikan merupakan lesen yang besar kepada pengetua dan guru besar untuk menentukan perbelanjaan persekolahan bagi yang bersekolah di SBT.

Sudah pasti bermacam-macam yuran perlu dibayar oleh ibu bapa pelajar untuk memasti prestij sekolah berkenaan terjaga dan terus unggul di tempatnya.

Jika pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, sudah pasti tanggungan pembiayaan sekolah tidak mampu disara oleh keluarga berkenaan.

Akhirnya, akan berlaku keciciran atas alasan ketidakupayaan menyekolahkan anak kerana biaya yang tinggi.

Dalam situasi hari ini juga sudah terdapat keluarga yang tidak mampu menyekolahkan anak kerana tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persekolahan yang saban tahun meningkat.

Oleh yang demikian, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak meminta Kementerian Pelajaran meneliti semula bidang kuasa autonomi yang diberikan kepada semua SBT.

Penilaian menyeluruh adalah perlu bagi memberikan manfaat yang sewajarnya kepada semua pelajar di samping tidak mengetepikan soal kemajuan dan kebajikan pelajar Melayu.

Ini bukan bermakna pelajar Melayu kini tidak mampu bersaing atau berjuang menuju kecemerlangan.

Tetapi sebagai masyarakat majoriti di negara ini serta 'tuan' yang diuar-uarkan, sedikit keistimewaan dan kelebihan adalah perlu untuk memastikan kelangsungan demokrasi pendidikan disuburkan di negara ini serta falsafah pendidikan negara tercapai dengan jayanya.

MOHAMAD ASRI SHAFII

Exco GPMS Perak

Utusan Malaysia Online: 22 Februari 2010

Tiada ulasan: