Khamis, 11 Februari 2010

Program pendidikan Berita Harian tingkat profesionalisme perguruan


PENGARANG Berita Pendidikan, Berita Harian, Tamrin Anuar menerangkan mengenai penggunaan akhbar dalam pembelajaran di SMK Datuk Syed Esa, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT: Lebih banyak sektor korporat disaran mencontohi langkah Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dalam melaksanakan program bagi membantu meningkatkan tahap profesionalisme guru.

Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata usaha BHSB menganjurkan program pendidikan menggunakan akhbar dalam pembelajaran, adalah satu bentuk latihan baik kepada golongan sasar.

"Penggunaan akhbar sebagai medium membantu pengajaran di kalangan guru dilaksana BHSB, adalah satu langkah yang diyakini dapat melahirkan guru kreatif.

"Penggunaan bahasa seragam oleh akhbar terbitan BHSB dapat membantu pelajar memperbaiki dan meningkatkan penguasaan mereka dalam pelbagai bidang, terutama bahasa. Malah, saya juga yakin melaluinya seseorang itu dapat memahami pelbagai topik serta isu semasa dipaparkan akhbar ini dengan lebih jelas," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Akhbar Dalam Darjah Peringkat Daerah Batu Pahat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Esa, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pegawai Pelajaran Daerah, Shafiee Mohd Shariff serta Pengarang Unit Pendidikan BHSB, Zainor Said dan Pengarang Rencana Unit Pendidikan BHSB, Zabidi Hitam.

Sufaat juga berkata, penggunaan akhbar dalam sesi pembelajaran juga mampu memupuk minat membaca di kalangan pelajar.

Seramai 100 orang guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris daripada 25 sekolah menengah di sekitar daerah berkenaan menyertai program sehari itu.

Katanya, penganjuran program berkenaan menunjukkan BHSB komited terhadap tanggungjawab sosial korporat dan sewajarnya ia diteladani syarikat lain.

"Program seperti ini tidak saja memberi manfaat kepada guru, tetapi dapat membantu golongan sasar meningkatkan cara pengajaran serta menjadikan pembelajaran sesuatu proses yang menarik.

"Saya berharap BHSB memberi tumpuan untuk menganjurkan lebih banyak program seperti ini di Johor, pada masa depan," katanya.

Berita Harian Online: 11 Februari 2010

Tiada ulasan: