Selasa, 2 Februari 2010

SBT kena dipantau elak jadi sekolah kapitalis

SEKALUNG tahniah harus diberikan kepada 20 pengetua dan guru besar bersama pasukan kakitangan sekolah kerana berjaya disenaraikan sebagai kumpulan pertama sekolah berprestasi tinggi (SBT).

Dengan kesungguhan dan kerja kuat itu, pasukan pentadbiran serta kakitangan sekolah diberikan kuasa autonomi dalam banyak perkara, termasuk soal pengajaran dan pembelajaran. Sememangnya suatu usaha berbaloi dengan keringat dan pemikiran yang berusaha keras mencapai tahap membanggakan itu. Semua ini demi kemajuan pendidikan generasi bangsa akan datang.

Walaupun usaha murni ini langkah baik, timbul pula beberapa kebimbangan serta persoalan terhadap kuasa autonomi yang boleh dianggap besar terhadap pengurusan sekolah. Sudah pasti, semua pengetua dan guru besar di negara ini impikan status berprestij itu dan sememangnya bagi mereka yang dinobatkan akan sedaya mempertahankan mahkota dianugerah kementerian.

Bagi mempertahankan gelaran itu sudah pasti beberapa formula dibuat oleh sekolah sendiri. Antara perkara yang dikhuatiri ialah kuasa autonomi ini membuatkan sekolah tidak dapat dikawal Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah. Kebebasan mentadbir, urusan kewangan serta kaedah pembelajaran menjadikan pengetua mempu-nyai kuasa mutlak ke atas semua urusan.

Selain itu, prestasi pelajar juga perkara paling penting dalam menentukan kompetensi prestasi sekolah. Adalah dikhuatiri dengan status autonomi ini SBT akan mengenakan syarat tambahan serta perkara yang tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar.

Jika ini yang berlaku, sudah pastinya pelajar yang lemah atau kurang cemerlang akan dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT meskipun sekolah itu adalah sekolah harian yang sepatutnya pelajar itu bersekolah.

Secara tidak langsung hak pelajar itu dinafikan dan hilanglah amalan demokrasi pendidikan. Ini sekali gus membuatkan dasar pendidikan negara tidak dapat disuburkan dengan sempurna. Jika tidak dikawal dengan sempurna, SBT akan menjadi sekolah anak kapitalis Melayu.

Kuasa autonomi yang diberikan adalah lesen besar kepada pengetua dan guru besar untuk menentukan perbelanjaan persekolahan bagi yang bersekolah di SBT. Sudah pasti bermacam yuran perlu dibayar oleh ibu bapa pelajar untuk memastikan prestij sekolah berkenaan terjaga dan terus unggul di tempatnya.

Jika pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, sudah pasti tanggungan pembiayaan sekolah tidak mampu disara oleh keluarga berkenaan. Akhirnya, akan berlaku keciciran atas alasan ketidakupayaan menye-

kolahkan anak kerana biaya tinggi. Dalam situasi hari ini juga sudah ada keluar-

ga yang tidak mampu menyekolahkan anak kerana tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persekolahan yang saban tahun meningkat.

Oleh itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak meminta Kementerian Pelajaran meneliti semula bidang kuasa autonomi yang diberikan kepada semua SBT. Penilaian menyeluruh adalah perlu bagi memberikan manfaat sewajarnya kepada semua pelajar di samping tidak mengetepikan soal kemajuan dan kebajikan pelajar Melayu.

Ini bukan bermakna pelajar Melayu kini tidak mampu bersaing atau berjuang menuju kecemerlangan, tetapi sebagai masyarakat majoriti di negara ini serta ‘tuan’ yang diuar-uarkan, sedikit keistimewaan dan kelebihan perlu untuk memastikan kelangsungan demokrasi pendidikan disuburkan di negara ini serta falsafah pendidikan negara tercapai dengan jayanya.





MOHAMAD ASRI SHAFII,

Exco Gabungan Pelajar

Melayu Semenanjung

(GPMS) Perak.

Berita Harian Online: 2 Februari 2010

Tiada ulasan: