Ahad, 28 Februari 2010

'Pilihan raya sekolah dilarang'

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pengetua dan Guru Besar sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan pilihan raya murid memilih wakil pelajar kerana pendekatan baru yang dipraktikkan beberapa sekolah itu tidak memadai berikutan faktor usia mereka yang terlalu mentah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata arahan itu dikeluarkan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu melalui surat pekeliling yang sudah diedarkan ke semua sekolah.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati usia murid terutama di sekolah rendah masih terlalu muda untuk berdepan sistem pilihan raya pemilihan wakil pelajar yang tidak begitu sesuai dilaksanakan.

"Tak payahlah, kalau pada peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) bolehlah, mereka sudah matang. Di sekolah, sebaliknya keadaan masih terlalu awal.

"Timbalan Perdana Menteri sudah bagi arahan supaya jangan terbawa-bawa budaya pemilihan di dalam sekolah. Tak perlu bagi mereka pilih ketua murid, biarlah sekolah dan pengetua tentukan siapa yang layak," katanya kepada media sema-lam.

Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MCA merasmikan Program Jom Jelajah Dunia di World Expo 2010, Shanghai, China anjuran Pergerakan Pemuda MCA di KL Sentral.

Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan beberapa sekolah menjadikan pemilihan wakil sekolah diadakan secara pengundian sama seperti pilihan raya dan menjadikannya sebagai amalan baru dalam sistem persekolahan.

Antara sekolah yang sudah melaksanakan pilihan raya murid ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) pada 11 Januari lalu apabila pemilihan ketua muridnya dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.

Pemilihan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Khairul Azli Khairul Razi diumumkan pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid.

Mengulas lanjut, Dr Wee sendiri baru saja menerima pekeliling baru itu beberapa hari lalu dan cukup yakin semua pengetua dan guru besar akan mematuhi arahan kementerian demi masa depan murid.

Mengenai program Jom Jelajah Dunia, beliau berkata penganjur akan memilih 2,000 belia di seluruh negara melalui konsep 'siapa cepat dia dapat' bagi memberi peluang kepada belia negara menyertai ekspo disertai belia seluruh dunia.

"Ini terbuka kepada semua kaum, bukan untuk belia MCA saja, daftar segera mulai hari ini (semalam) dengan mematuhi syarat ditetapkan. Tak ada ada masalah jika belia Islam turut serta kerana sudah dapatkan kerjasama kementerian pelancongan untuk atasi masalah makanan halal," katanya.

Berita Harian Online: 28 Februari 2010

1 ulasan:

eza berkata...

Saya amat bersetuju bila mana Subjek PJPK nak diketengahkan alhamdulillah dah bertahun menunggu perkara ini diambil kira...kerana subjek PJPK selalu dipinggirkan kepada subjek yg tidak penting.PJPK penting kerana tanpa guru pjpk yg betul2 mengajar PJPK dgn berkesan & ikhlas kita mampu menghindari banyak perkara dari berlaku jika anak murid kita memahami subjek kesihatan yg cuba kita terapkan kpd mereka bukan sekadar " bola sebiji bukan susah nak ajar"...senang berkata tetapi bila kita yg mengajar sendiri baru kita tahu senang atau susah kerana bukan semua yg senang kita lihat sebenarnya senang utk dilaksanakan...Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan, masih banyak sekolah yg tidak begitu memandang serius perkara ini kerana ada pelajar yg tidak pernah menyentuh buku PJPK kerana cikgu PJPKnya tidak pernah mengajar kerana alasan tidak tahu mengajar & bukan opsyen...tetapi perlu ingat...cikgu PJPK juga bukan opsyen semasa diminta utk mengajar subjek lain tetapi kami tekad mengajar & belajar dlm usaha utk memberikan yg terbaik dari kami. Usaha "1 sukan utk 1 pelajar" amatlah saya hargai tetapi masih tidak mencukupi dgn 2 waktu seminggu yg kekadang terganggu dgn pelbagai aktiviti sekolah yg selalu menggunakan waktu PJPK sebagai waktu acara. Kami guru PJPK tidak kira lepasan Universiti Putra Malaysia(UPM) atau UPSI, amat terkilan kerana masih ramai masyarakat guru sendiri masih mengredkan kami sebagai" ala apalah sangat PJPK bukan penting pun & senang je, sebiji bola dah bola ajar".Wujudlah pembelajaran yg boring kalau begitu. Bukan nak kata bagus saya juga masih ada kekurangan diri masing2 tetapi jika seorang sahaja yg beria-ria akan mewujudkan masalah juga di sekolah . Semua perlu sentiasa berfikir utk peningkatan / bersaing secara baik. Masih ada lagi sekolah yg tidak menjalankan 4 waktu utk PJPK masih menggunakan 2 waktu sahaja utk seminggu jadi susah utk meningkatkan pandangan umum pada Subjek PJPK jika para guru sendiri mengredkan PJPK...sama2lah kita menaikkan subjek PJPK wahai lepasan PJPK UPM / UPSI kerana tanpa kita guru PJPK yg berjuang dgn jujur & ikhlas utk meningkatkan kesedaran murid & masyarakat tentang pentingnya PJPK kepada semua. Saya tidak menyangkal ada sesetengah cikgu PJPK yg seperti melepaskan batuk di tangga sehingga menyebabkan guru PJPK yg lain terkena tempiasnya...ibarat " Nila setitik rosak susu sebelangga". Guru PJPK sama-samalah kita berdisiplin & bermatlamat dalam menaikkan martabat Subjek PJPK & Guru PJPK dengan mengajar sepertimana yg patut kita ajar & lebih baik " Ilmu PJPK...dari murid balik ke rumah , dari jiwa tersebar luas, ilmu PJPK bukannya mudah,diri diasuh kenal dunia mencari erti cegah & banteras.