APABILA kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tahun lalu, tidak kurang juga yang rasa gelisah memikirkan masa depan anak mereka terutama dari segi penguasaan bahasa Inggeris. Namun, kerajaan tetap memberi penekanan kepada bahasa Inggeris apabila menggantikan PPSMI itu dengan dasar baru memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012. Sekali gus ia dijangka mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris kepada murid Tahun Satu mulai tahun depan dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa itu di kalangan murid di negara ini.
Melalui kurikulum baru itu, murid sekolah akan mengikuti pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih menarik dengan pendekatan sesuai yang memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bertutur dan menulis dalam bahasa itu. Kementerian Pelajaran sudah menyiapkan kurikulum baru itu dan inilah pendekatan yang lebih sesuai. Malah pakar sebelum ini mengakui murid boleh menguasai bahasa Inggeris sejak di bangku prasekolah lagi kerana kanak-kanak seawal umur empat tahun mempunyai kelebihan dalam menguasai sesuatu perkara dengan cepat kerana minda mereka bersifat terbuka, selain gemar meneroka.
Apabila kurikulum baru bahasa Inggeris untuk murid Tahun Satu dimulakan tahun depan, apa yang diperlukan cuma guru yang benar-benar berkelayakan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran bagi mengaplikasikan pengetahuan secara lebih berkesan. Kita yakin hasrat kerajaan itu akan berjaya dengan syarat ia disokong persekitaran ceria serta proses pengajaran dan pembelajaran yang kreatif. Ini memerlukan kebolehan guru untuk menarik minat murid supaya kemahiran bahasa Inggeris mampu diterapkan dengan mudah dalam pemikiran kanak-kanak. Untuk tujuan itu juga, kerajaan akan mengambil 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru Bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik. Dalam hubungan ini juga, universiti tempatan perlu memainkan peranan melahirkan graduan berkelayakan bagi memenuhi keperluan sumber tenaga pendidikan awal kanak-kanak pada masa depan. Jika tidak kita akan terus mengharapkan bantuan tenaga pakar guru dari luar negara. Kita percaya langkah terbaru diambil kerajaan itu akan membolehkan pengajaran Bahasa Inggeris menjadi lebih baik, bukan membosankan atau menyukarkan murid seperti penggunaan bahasa asing itu dalam subjek Sains dan Matematik sebelum ini.
Berita Harian Online: 16 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan