Rabu, 22 Jun 2011

Bersara selepas 35 tahun berkhidmat sebagai guru


Rahmam Jantan bersalaman dengan murid pada majlis persaraannya di SK Tengkera 2, Melaka, kelmarin.


MELAKA 21 Jun - "Saya tidak sedih apabila terpaksa melepaskan jawatan guru besar tetapi apabila memikirkan terpaksa berpisah dengan guru dan anak murid, hati saya mula tersentuh."

Demikian luahan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera 2, Rahmam Jantan, 58, ketika menyampaikan ucapan pada majlis persaraannya semalam.

Setelah 35 tahun berkecimpung dalam dunia perguruan, beliau yang berasal dari Bertam Ulu, Melaka mengakui berat kakinya untuk melangkah keluar dari SK Tengkera 2 selepas hampir enam tahun memimpin sekolah berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai kejayaan dilakar sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum dan juga sukan.

Mengimbau kembali zaman remajanya, bidang perguruan bukan menjadi pilihannya suatu masa dahulu tetapi atas desakan hidup beliau mencuba nasib menghadiri sesi temuduga sebagai seorang guru.

"Mulanya memang saya tidak berminat, tetapi apabila berada dalam bidang ini rasa minat datang dengan sendirinya bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta," katanya.

Bermula dari saat itu, matlamat mahu mengubah nasib anak bangsa dan melahirkan modal insan berkualiti dan berjaya dalam hidup menjadi pegangan hidupnya.

Dilahirkan pada 21 Jun 1953, Rahmam yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik memulakan kerjaya dalam bidang perguruan pada 1977 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek selama 12 tahun.

Beliau kemudiannya bertukar ke SMK Sungai Udang (1988-1990), SMK Seri Tanjung (1990-1997), SK Bukit Beruang (1997-1998), SK Kampung Gelam (1998-2003) dan SK Tangga Batu (2004-2005).

Turut hadir pada majlis persaraannya yang dianjurkan SK Tengkera 2 ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Melaka, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib dan guru besar sekolah kebangsaan berhampiran.

Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2011

Tiada ulasan: