|
|
KUALA LUMPUR 21 Jun – Kerajaan sedang memperincikan skim tawaran baru dan bayaran insentif kepada guru seperti yang diumumkan pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak bulan lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian di peringkat makmal itu bukan sahaja melibatkan soal imbuhan pengetua tetapi perjawatan perguruan secara keseluruhan.
“Selepas pengumuman mengenai skim tawaran baru itu dibuat, banyak rungutan diterima khususnya daripada Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) dan beberapa kesatuan guru.
“Jadi, kita kini sedang di peringkat makmal untuk memperincikan perkara itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu perkara ini diteliti secara serius. Saya juga telah membawa perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-50 bertemakan Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pemangku yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Muhammad Khailani Abdul Jalil
Pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuching bulan lalu, Muhyiddin mengumumkan bayaran insentif tawaran baru dan bayaran insentif sekolah berprestasi tinggi kepada pengetua, guru besar serta warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan di sekolah masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah sampai masanya, institusi pendidikan khususnya sekolah mempunyai elemen organisasi berkeupayaan yang tersendiri.
Melalui elemen itu, katanya, setiap sekolah akan berupaya untuk melonjakkan kecemerlangannya dengan mengoptimumkan segala sumber yang dimiliki tanpa terlalu bergantung harap atau pertolongan mana-mana pihak.
Menurutnya lagi, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam sistem pendidikan, kepimpinan sekolah iaitu pengetua tidak boleh berfikiran secara statik kerana situasi kini memerlukan corak pemikiran dan tindakan yang berbeza.
“Beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (Bai’ah) boleh dijadikan sasaran untuk dicapai oleh seseorang pemimpin sekolah,” katanya
Di akhir ucapannya, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM200,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) yang banyak memberikan sumbangan kepada sektor pendidikan negara serta tidak mempunyai dana khusus selepas 50 tahun ditubuhkan.Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2011
2 ulasan:
Dah kena tegur baru terjage kenapa sebelum umum tak pikir panjang...
Sepatutnya, guru-guru seperti guru kanan, guru pemegang master, guru biasa dan semua guru pada semua peringkat diberi peluang kenaikan gaji atau gred
Catat Ulasan