Selasa, 14 Jun 2011

Tidak boleh paksa pelajar tinggal di asrama

KUALA TERENGGANU 13 Jun - Pihak pengurusan sekolah harian pada asasnya tidak boleh memaksa pelajar tinggal di asrama kerana ia tidak menjadi amalan dan polisi pendidikan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri (JPN), Razali Daud berkata, selain sekolah berasrama penuh, pelajar di sekolah harian berasrama diberi pilihan sama ada untuk menetap di asrama atau sebaliknya.

"Tindakan itu tidak tepat kerana bukan amalan kita untuk memaksa pelajar tinggal di asrama sekiranya mereka tidak mahu.

"Jika pelajar berkenaan lebih selesa tinggal di rumah, biarkan mereka kerana ia melibatkan hubungan antara ibu bapa serta keselesaan mereka untuk beri tumpuan pada ulang kaji pelajaran," katanya.

Beliau ditanya mengenai rungutan ibu bapa mengenai tindakan sebuah sekolah di daerah ini yang dikatakan memaksa sebahagian pelajar tingkatan satu hingga tiga untuk tinggal di asrama.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Elit Pelajar Pra-Universiti di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam, dekat sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung Gabungan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad.

Program anjuran bersama JPN dan Gagasan itu bertujuan meningkatkan motivasi dan kesungguhan 45 pelajar Tingkatan Enam dari 15 buah sekolah untuk lebih fokus kepada subjek Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Razali berkata, pihaknya melalui Jabatan Pelajaran Daerah akan menyiasat perkara berkenaan bagi mendapatkan maklum balas sebenar berkenaan rungutan itu.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan usaha untuk memberi lebih tumpuan kepada pelajar meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan akademik. Namun, kita akan teliti terlebih dahulu," ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 14 Jun 2011

Tiada ulasan: