Sabtu, 11 Jun 2011

Kerenah birokrasi sukarkan guru sambung PhD

2011/06/11

SAYA bersetuju dengan pendapat ‘Guru sabar menunggu, Bidor, Perak’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada Rabu, 8 Jun. Masalah guru tidak mendapat bantuan tajaan atau biasiswa bagi melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) memang banyak berlaku.

Sepatutnya dalam situasi ini, guru wajar diberi perhatian dan keutamaan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka berada dalam bidang pendidikan. Malangnya, kerenah birokrasi yang menyusahkan sering membantutkan hasrat mereka.

Prosedur temuduga bagi cuti bergaji penuh perlu dilihat dan dinilai semula rasionalnya bagi memudahkan guru, bukannya menekan mereka.

Faktor kewangan adalah perkara kedua tetapi masa yang banyak diperlukan bagi menjalankan setiap penyelidikan yang merumitkan jika guru melanjutkan PhD secara sambilan.

Pelajar dari sektor swasta dan orang perseorangan mendapat kemudahan melalui program MyMaster dan MyPhD yang mendapat sokongan kerajaan sepenuhnya.

Ramai guru yang mempunyai kelulusan sarjana di sekolah tidak dimanfaat sepenuhnya. Akhirnya kepakaran mereka menjadi sia-sia saja. Pihak kementerian perlu memandang serius hal ini jika ingin memartabatkan profesion perguruan.

Guru yang mempunyai sarjana dan PhD perlu diberi lebih keistimewaan untuk memohon sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi lain.
Guru terpaksa menunggu lama untuk dinaikkan ke gred DG44 untuk melayakkan diri ke maktab perguruan sebagai pensyarah.

Pengalaman mengajar yang lama tidak memberi banyak kelebihan banyak berbanding dengan mereka di luar sektor pendidikan.

Pihak kerajaan juga perlu lebih bersikap terbuka terhadap guru yang ingin memohon jawatan lebih tinggi dengan memberi sokongan sepenuhnya.

Tambahan pula guru berijazah di sekolah rendah dinafikan hak mereka untuk memohon jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar atas alasan sistem sedia ada ditetapkan begitu sedangkan kita sendiri yang membuat sistem berkenaan dan sudah sampai masanya diubah mengikut peredaran masa selain memberi peluang kepada guru yang berkelayakan memegang jawatan berkenaan.

GURU LAMA,
Jitra, Kedah

Berita Harian Online: 11 Jun 2011

Tiada ulasan: