Isnin, 20 Jun 2011

Tak tahan anak perempuan buas

GOMBAK: Gara-gara tidak tahan dengan sikap anak perempuannya yang sering menimbulkan masalah disiplin di sekolah, seorang ibu nekad membuat laporan polis 14 Jun lalu agar anaknya dapat dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.

Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, pihak sekolah menghubungi ibu pelajar berkenaan untuk hadir ke sekolah bagi membincangkan masalah disiplin yang ditimbulkan pelajar berusia 15 tahun itu.


“Ibu pelajar terbabit dipanggil untuk bertemu guru kaunseling kerana anaknya didapati meminta duit daripada rakan sekolahnya secara paksaan.

“Pelajar terbabit tetap menimbulkan masalah disiplin walaupun amaran sering kali diberi pihak sekolah agar tidak mengulangi perbuatannya itu,” katanya.


Sumber berkata, aktiviti tidak sihat pelajar terbabit bukan saja dilakukan di sekolah, malah dia turut bertindak berani mencuri wang milik bapanya yang disimpan di rumah.


Difahamkan, selain gemar mendapatkan wang dengan cara mudah, pelajar berkenaan juga sering tidak pulang ke rumah selama beberapa hari dengan alasan bertemu rakan.

Pihak sekolah menasihatkan ibu pelajar terbabit agar membuat laporan polis bagi membendung masalah disiplin yang dilakukannya daripada menjadi lebih serius.


Khuatir anak perempuannya itu terus hanyut dengan aktiviti yang tidak berfaedah, ibu pelajar terbabit tampil membuat laporan polis agar masalah anaknya dirujuk kepada pusat pemulihan akhlak. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berkenaan.

myMetro: 20 jun 2011

Tiada ulasan: