Isnin, 20 Jun 2011

Tambah guru orang Asli atasi keciciran

Kementerian Pelajaran disaran supaya melatih guru daripada kalangan orang Asli untuk mengatasi masalah keciciran pelajaran melibatkan masyarakat itu yang kian membimbangkan.

Menurut Presiden Kolej Antarabangsa Kirkby, Bismillah Khatoon Abdul Kader, pada peringkat awal pembelajaran murid amat memerlukan guru yang ada pertalian atau perkaitan dari segi bangsa, bahasa dan budaya.

"Berdasarkan kajian di United Kingdom, masalah utama pencapaian akademik yang rendah di kalangan etnik minoriti disebabkan faktor guru yang bukan daripada kelompok sosial yang sama," katanya yang berpengalaman sebagai Nazir Pendidikan di negara itu.

Guru yang dari latar belakang berbeza, katanya, menyebabkan jurang psikologi serta rasa rendah diri kepada murid orang Asli untuk berkomunikasi apatah lagi untuk meneruskan pelajaran.

Statistik terkini menunjukkan seramai 2,264 anak Orang Asli tidak menghabiskan persekolahan mereka sehingga ke tingkatan lima.

Daripada jumlah itu, 1,270 orang bersekolah hanya hingga darjah enam, manakala 994 orang lagi tidak menghabiskan persekolahan sekolah menengah.

Keadaan yang membimbangkan ini disebabkan oleh pelbagai faktor tetapi ia boleh diatasi sekiranya pada tahap satu murid orang Asli diajar oleh guru daripada kaum pribumi itu sendiri yang fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka serta memahami keperluan dan kehendak masyarakatnya.

"Ia akan mewujudkan hubungan yang lebih mesra serta akrab antara guru dan murid," jelas beliau di pejabatnya di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

Pendekatan ini diyakini dapat menarik minat murid untuk terus bersekolah dan pada masa yang sama guru daripada kelompok ini boleh berinteraksi secara lebih berkesan dengan ibu bapa untuk membuka minda mereka tentang kepentingan pelajaran kepada generasi muda orang Asli pada masa depan.

Justeru, Bismillah Khatoon mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran memberi 'keistimewaan' kepada orang Asli yang berminat untuk menjadi guru dengan melonggarkan syarat kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Namun, mereka perlu mengikuti kursus persediaan selama satu tahun sebelum boleh diserap masuk ke IPGM," saran beliau.

Kursus ini penting untuk memastikan pelatih guru daripada kalangan orang Asli mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang setanding dengan pelatih lain.

Paling utama, kelompok ini sudah mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak kekok bergaul bila ditempatkan di IPGM kelak.

Bismillah Khatoon memberitahu, Kolej Antarabangsa Kirkby bersedia untuk mengendalikan kursus persediaan ini kerana mempunyai kepakaran, modul dan kemudahan prasarana yang mencukupi.

Kolej ini sedang melatih kira-kira 500 guru dalam perkhidmatan yang mengajar bahasa Tamil, Matematik dan bahasa Inggeris di bawah program pensiswazahan guru Kementerian Pelajaran Malaysia.

Selain itu, inisiatif lain untuk meningkatkan kejayaan orang Asli dalam bidang pendidikan negara seiring dengan masyarakat lain ialah dengan membina sekolah berhampiran penempatan kaum itu.

Utusan Malaysia Online: 20 Jun 2011

Tiada ulasan: