Sabtu, 25 Jun 2011

PBPPM ziarah bekas guru terlantar sakit


Sebahagian ahli rombongan JPN Kelantan dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Negeri Kelantan yang mengunjungi pesakit kronik, Bakar Rasip (duduk, tengah) di Kampung Kasar, Pasir Mas, baru-baru ini.


PASIR MAS 24 Jun - Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPM) Kelantan dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menziarahi tujuh pesara guru yang menghidap penyakit kronik di rumah mereka sempena Perayaan Hari Guru ke 40 Peringkat Negeri Kelantan tahun ini.

Tiga pesara guru berkenaan ialah Mohd. Embong Mohamad dari Pendek, Kota Bharu; Abd. Mutalib Mamat dari Jalan Datuk Lundang dan Mohd. Nor Ismail dari Taman Seri Pengkalan Chepa.

Empat orang lagi, Hussin Senik dari Wakaf Bharu, Tumpat; Bakar Rasip dari Kampung Kasar; Shaari Hussin dari Kampung Dangar, Pasir Mas dan Muhamad Kasim dari Kampung Gong Kual, Pasir Puteh.

Kebanyakan mereka diserang strok serta penyakit berpunca dari komplikasi kencing manis dan kini terlantar dengan segala urusan dilakukan oleh ahli keluarga.

Timbalan Pengarah JPN Kelantan, Zahari Daud yang mengetuai rombongan ziarah mahabbah itubaru-baru ini berkata, pihaknya mengatur kunjungan tersebut untuk melihat sendiri keadaan pesara berkenaan.

Katanya, ia bagi menunjukkan bahawa pesara berkenaan tidak dilupakan walaupun sedang terlantar sakit.

''Mereka masih diberikan perhatian walaupun telah bersara dari perkhidmatan, jasa mereka sebagai golongan pendidik tetap dalam ingatan terutama sempena Hari Guru kerana jasa mereka untuk mendidik anak bangsa tidak ternilai," katanya.

Sementara itu, Bakar Rasip, 70, yang diserang strok lebih setahun lalu berkata, dia gembira menerima kunjungan itu.

''Saya berbesar hati kerana masih ramai rakan yang mengingati saya," katanya yang menamatkan perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 Pasir Mas pada tahun 1993.

Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2011

Tiada ulasan: