Jumaat, 5 September 2008

Guru mengaku tidak bersalah memperdaya Jabatan Pelajaran Sarawak

04/09/2008 1:47pm

KUCHING 4 Sept — Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdaya Jabatan Pelajaran Sarawak menggunakan dokumen palsu pada Disember 2006.

Ahmad Iskandar Abu Samat, 43, yang juga Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelaran Sarawak, didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di tingkat lima, Bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jalan P. Ramlee di sini.

Dia didakwa menggunakan, dengan niat hendak memperdaya jabatan itu, invois Song Enterprise Sdn Bhd bertarikh 10 Dis 2006 dan invois pesanan kerajaan pada 11 Dis 2006, masing-masing bernilai RM14,700, yang mengandungi pernyataan butiran palsu.

Tertuduh, yang diwakili peguam Osman Ibrahim, didakwa mengikut Seksyen 11 © Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan terbabit ataupun RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Majistret Katharine Nais membenarkan Ahmad Iskandar diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 Jan tahun depan untuk perbicaraan. — Bernama

Utusan Malaysia Online: 4 September 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang patut cikgu tu dihukum! BALASAN TUHAN..dah keluar penjara pun masih niat tak baik.HUHHHHH!!!