SEBAGAI kaunselor pelajar, saya memohon perhatian Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung pekeliling pengurusan guru bimbingan dan kaunseling yang dihantar ke sekolah. Menerusi pekeliling itu, jelas memperlihatkan kebimbangan Sektor Operasi Pendidikan dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian terhadap pemindahan kaunselor ke Bahagian Psikologi dan Kaunseling.
Apa yang paling penting ialah kaunselor sudah jemu dan bosan berada di bawah `bumbung lama' dan inginkan suasana baru dalam urusan pentadbiran jawatan dan bidang kerja yang lebih terjamin.
Sejak sekian lama jawatan kaunselor atau guru bimbingan kaunseling diwujudkan, Kementerian Pelajaran menerusi bahagian yang tidak efektif, seolah-olah terlupa dan memandang kaunselor pelajar sebelah mata.
Bukti jelas dapat dilihat ketika sambutan Hari Guru sejak sekian lama dengan bilangan kaunselor pelajar lebih 2,000 orang tetapi tiada satu pun anugerah yang layak untuk mereka.
Teringat kami kata-kata seorang bekas Naib Canselor sebuah IPTA, profesion kaunselor pelajar adalah umpama 'umang-umang bangkai' kerana mereka tidak diiktiraf sebagai guru atau pentadbir dan apabila menelitinya, kaunselor pelajar sebenarnya akan terus dianaktirikan.
Bidang perguruan sering dikaitkan dengan tugas guru mengajar. Malah, penilaian tugas seorang guru dan peluang kenaikan pangkat adalah dinilai menerusi pembabitan seseorang guru dalam kurikulum atau kokurikulum
Saya melihat golongan kaunselor pelajar adalah pendidik malang dan tiada tempat di hati pihak tertentu khususnya menerusi Bahagian Operasi Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran. Peliknya tugas seorang Kaunselor Pelajar sangat diperlukan hingga bila berlaku kekosongan jawatan di sekolah, pentadbir segera menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk segera mengisi kekosongan berkenaan.
Peranan mereka amat diharapkan di sekolah untuk menjadi 'super hero' bagi kebanyakan tugas yang tidak mampu dilakukan guru biasa. Nyatakan saja apa yang perlu dilakukan, dari menyediakan kertas kerja, mengurus pelajar, membawa dan menyusun alatan, pengisian program dan lain-lain tugas yang tidak sewajarnya akan dilaksanakan oleh mereka.
Malah, tugas sebenar iaitu sebagai 'kaunselor kepada pelajar' terpaksa 'dibekukan' dalam banyak situasi. Mereka boleh dan mampu berbuat apa saja, tetapi apabila berbicara soal pengiktirafan pula begitu sukar untuk mengangkat status dan perjawatan mereka.
Sebagai ahli Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (Peka) kami berharap agar Peka dapat memperjuangkan supaya kaunselor pelajar diletakkan di bawah bumbung Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran untuk kebaikan kami pada masa depan.
Paling penting kebanyakan kaunselor pelajar sendiri lebih rela dan berminat bernaung di bawah payung Bahagian Psikologi dan Kaunseling kerana banyak kebaikan dan jaminan peluang yang lebih terbuka.
Ia berbanding sekiranya berada di Bahagian Operasi Sekolah Harian yang terlalu luas skopnya dan tiada kaitan langsung dengan bidang kami di sekolah.
Usaha ini perlu dilaksanakan secepat mungkin dan kami ahli Peka bersatu menyokong usaha ini demi jaminan kerjaya kami dalam Kementerian Pelajaran. Semoga pihak Peka dapat memperjuangkan hak dan nasib kami yang sekian lama terabai.
Kementerian Pelajaran pula harus membuka mata dan menilai perkara ini dari sudut positif bagi kebaikan organisasi dan pengiktirafan kepada kaunselor pelajar. AHLI PEKA, Kuala Nerang, Kedah.
Berita Harian Online: 20 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Assalamualaikum wbt.
artikel ini sangat menarik untuk diteliti dan diperbahaskan dengan penuh 'serius'. Saya merupakan kaunselor berdaftar, ahli perkama dan pernah memegang jawatan setiausaha kehormat Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan sebuah daerah di Selangor. Untuk pengetahuan semua saya merupakan salah seorang kaunselor yang telah ditemuduga dan telah diberikan peluang untuk 'berhijrah' ke IPG dibawah pentadbiran bahagian Psikologi Kaunseling
Sesungguhnya profesion kaunseling merupakan satu bidang profesional yang hanya boleh dilaksanakan oelh mereka yang berkelulusan dalam bidang kaunseling.Maknaya apa sahaja tindakan dan amalan yang dilaksanakan dalam membimbing pelajar disekolah adalah berasaskan ilmu dan pendekatan yang konkrit dan kuat asasnya.
Situasi disekoalhlebih cenderung kepada persekitaran kerja yang 'caca merba'.Kaunselor lebih bertugas sebagai 'guru tugas-tugas khas'. Mereka adalah guru ganti kelas yang setia, menjadi tukang hias bilik dan pembina lanskap. Ramai juga yang menjadi penasihat badan beruniform, persatuan dan kelab dan lebih membebankan menjadi s/u peperiksaan ataupun sebagai s/u program pembnagunan akademik secara terus. Perkara ini dibangkitkan bukan bertujuan ingin lari dari bersama memikul tanggungjawab pendidikan. Tetapi golongan selain kaunselor mesti memahami siapakah guru kaunseling sebenarnya, mengapakah kabinet mewujudkan jawatan ini dan apakah bidang tugas sebenar kaunselor dalam menjalankan tugas di sekolah.
dalam hal ini guru mesti berubah dari melihat tugas 'guru kaunseling' mestilah mengajar di dalam kelas seperti guru-guru lain kepada tugas guru kaunseling yang utama adalah menjalankan tugas klinikal didalam bilik kaunseling.
Mengenai kebajikan dan hakatuju prfesional bidang ini, saya berpendapat, para kaunselor tidak boleh hanya bergantung harap kepadapentadbiran bahagian sekolah KPM untuk menilik apakah keperluan kita dan menunggu apakah yang akan mereka sumbangkan kepada kita. Semua guru kaunseling mestilah bertindak yakin dan profesional untuk memperjuangkan 'nasib' dan halatuju kita. MGKK (Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan)yang saya lihat hanya sebagai persatuan olok-olok untuk membela nasib kaunselor haruslah ditukar kepada satu badan profesioanal yang bertindak dengan hujah dan fakta yang jelas untukmembela nasib guru kaunseling di sekolah. Kita tidak boleh bergantung harap kepada 'golongan atasan' yang tidak mengetahui apakah dunia kanuseling tetapi kitalah yang mesti bertindak untuk mencapai hasrat tersebut. Jika Bahagian psikologi kaunseling dilihat senagai satu entiti yang lebih memahami keperluan profesion ini maka saya bersetuju kita semua bernaung dibawah mereka.
Saya menyeru kepada semua rakan kaunselor Malaysia agar kita bertindak profesional dan aplikasikan ilmu membina matlamat dan menetapkan halatuju profesion kita. sekian
Salam sejahtera,
Terfikir juga saya, adakah mungkin ada yang membaca comment ini di kemudian hari dan jika ada pun pun bagi saya, ia hanyalah sebuat coretan rasa yang mencari ilmu di dunia maya. Keperluannya adalah perubahan kepada corak idea pemimpin yang harus berhujah dengan lantang dan bernas dalam memperjuangkan isu ini.
Saya mencari2 maklumat yang sebegini sebab saya sendiri ditawarkan peluang ini dan banyak saya berfikir untuk membuat satu keputusan. Lalu ia membawa kepada satu sokongan kepada dunia kaunseling di tapak yang baru dalam dunia pendidikan ini.
Kaunseling adalah satu karier, namun, karier itu juga adalah satu keperluan hidup dalam membentuk sebuah kehidupan (kebajikkan) yang lebih baik bagi seseorang. Kita tidak akan memperjuangkan isu ini jika ia tidak dikehendaki tetapi saban hari ada sahaja idea di alam maya ini yang mempersoalkan halatuju bidang kaunseling ini. Sampai bila ia akan berterusan??
MGKK memang bergerak dengan baik namun pada pendapat saya, ia perlu lebih tegas dan lantang lagi dalam menyuarakan isu2 berkaitan. Jika tidak, benar seperti yang disebut. Elok juga rasanya jika mana2 persatuan kaunseling yang ada di M'sia bergabung dan bersuara - PERKAMA, PEKA, MGKK, Kaunselor Pentadbir dll. Semoga berjaya. Andy Sarawak
Catat Ulasan