LANJUTAN pendapat seorang pembaca yang disiarkan di halaman ini bertajuk Budak kampung anggap PPSMI relevan, saya juga ingin berkongsi pendapat berkenaan isu yang sama.
Berbeza dengan pembaca itu, saya merupakan generasi pelajar yang mempelajari subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia (BM) dari sekolah rendah hinggalah tamat tingkatan lima.
Saya hanya mula mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (BI) setelah menyambung pelajaran ke sebuah universiti swasta yang bahasa pengantarnya adalah 100 peratus dalam BI.
Bagi saya yang sebelum ini tidak pernah menggunakan BI untuk mempelajari subjek-subjek ini sudah cukup untuk membuat saya termangu-mangu untuk beberapa minggu kerana tidak memahami beberapa istilah yang digunakan dalam subjek-subjek berkenaan.
Hanya setelah saya dapat menyesuaikan diri dengan istilah-istilah yang digunakan, barulah saya dapat mengikuti subjek-subjek ini tanpa banyak masalah.
Jika kita hendak mempersoalkan adakah PPSMI relevan? Jawapan saya adalah Ya dan jika kita hendak mempersoalkan adakah PPSMI bermasalah? Saya juga akan menjawab Ya.
PPSMI mungkin tidak memberi kesan yang besar terhadap penguasaan BI di kalangan pelajar, tetapi saya pasti ia cukup berkesan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar aliran sains ke alam universiti.
Sebagai contoh mudah dalam subjek Fizik, generasi saya mengenal V untuk halaju, A untuk pecutan, D untuk sasaran dan T untuk masa. Di alam universiti pula, saya mengenal V adalah velocity, A adalah acceleration, A adalah distance dan T adalah time.
Mana lebih mudah untuk difahami? Memahami istilah asas ini adalah langkah pertama untuk mempelajari teknologi terkini yang wujud di dunia ini.
Dari sudut permasalahan yang wujud daripada pelaksanaan PPSMI, kita tidak boleh menolak bahawa masalah bermula kerana negara kekurangan guru yang boleh mengajar dalam BI dengan baik (guru-guru PPSMI).
Boleh dikatakan hampir semua guru yang ada pada ketika ini, datang dari latar belakang di mana mereka sendiri belajar Matematik dan Sains dalam BM pada masa lalu.
PPSMI mungkin tidak akan menghadapi masalah kekurangan guru-guru PPSMI apabila pelajar-pelajar generasi PPSMI pada masa ini mengambil tempat guru-guru ini pada masa akan datang.
Proses ini akan bermula dari 10 tahun akan datang apabila generasi PPSMI yang pertama ini tamat pengajian mereka di universiti dan ada yang memilih kerjaya perguruan.
Masalah lain yang timbul dari pelaksanaan PPSMI pada masa ini juga disebabkan terdapat sebilangan besar pelajar yang tercicir dalam subjek Matematik dan Sains kerana lemah dalam BI terutamanya pelajar Melayu dan mereka yang berada di luar bandar.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan boleh mengkaji untuk mengadakan dua aliran di sekolah Malaysia. Kerajaan perlu memberi pilihan kepada pelajar-pelajar untuk memilih sendiri bahasa yang mereka mahu gunakan dalam mempelajari subjek Matematik dan Sains di sekolah.
Ini tidak sukar kerana pada masa ini pun pelajar-pelajar boleh memilih bahasa yang ingin mereka gunakan untuk menjawab soalan peperiksaan bagi subjek Matematik dan Sains.
Sekolah dua aliran ini lebih sesuai dilaksanakan di peringkat menengah kerana pada peringkat ini, pelajar lebih cepat untuk menangkap proses pembelajaran di dalam kelas berbanding pelajar sekolah rendah yang masih dalam kategori kanak-kanak dan lebih cenderung untuk bermain
Bagi pelajar sekolah rendah, kerajaan perlu mengkaji semula sukatan yang digunakan dalam subjek BI.
Sukatan subjek BI yang digunakan sekarang mungkin mempunyai kelemahan sehingga menyebabkan ramai pelajar kita tidak dapat menguasai BI dengan baik.
Bagi menyediakan pelajar yang bersedia untuk memilih aliran PPSMI di sekolah menengah, subjek BI di sekolah rendah mungkin perlu ditambah waktunya seminggu dan subjek ini tidak seharusnya hanya menumpukan pada tatabahasa dan esei sahaja.
Subjek BI mungkin boleh distruktur semula untuk menyelitkan unsur-unsur Matematik dan Sains agar pelajar-pelajar sekolah rendah bersedia dengan istilah-istilah Matematik dan Sains dalam BI.
Selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengenal pasti tahap kebolehan anak-anak mereka dalam menguasai BI.
Jika mereka merasakan anak-anak mereka mampu mengikuti subjek Matematik dan Sains dalam BI, mereka boleh memohon untuk memasuki aliran PPSMI.
Dengan pelaksanaan dua aliran ini, kerajaan boleh mengatasi dua masalah utama iaitu masalah kekurangan guru-guru PPSMI dan masalah pelajar tercicir kerana PPSMI yang dihadapi pada masa ini.
Dengan mewujudkan dua atau tiga kelas aliran PPSMI, kerajaan dapat mengurangkan bilangan guru-guru PPSMI di sekolah-sekolah. Untuk mengajar dua atau tiga kelas aliran PPSMI, hanya seorang atau dua orang guru PPSMI di sesebuah sekolah.
Jika terdapat lebihan guru PPSMI, mereka boleh ditempatkan di sekolah yang kekurangan guru PPSMI.
Masalah pelajar tercicir kerana PPSMI juga tidak timbul kerana memasuki aliran PPSMI adalah pilihan mereka sendiri. Pelajar aliran PPSMI juga berhak memilih untuk kembali ke aliran Melayu jika merasakan aliran PPSMI terlalu berat bagi mereka dengan syarat perlu kembali ke tingkatan pertama aliran Melayu sama ada di tingkatan satu atau tingkatan empat.
Dalam isu PPSMI ini, kerajaan wajar memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih PPSMI atau tidak. Pada masa hadapan apabila bilangan pelajar yang mampu menguasai BI bertambah besar, tidak mustahil aliran PPSMI akan menjadi aliran kegemaran untuk pelajar-pelajar yang berminat dengan aliran Sains dan pada masa itu, permintaan aliran PPSMI akan bertambah banyak.
Kesimpulannya, PPSMI di negara ini adalah relevan dan memang terdapat beberapa masalah dalam perlaksanaannya. Namun, ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghapuskan PPSMI.
Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakar. Segala kelemahan yang terdapat dalam PPSMI boleh dperbaiki oleh kerajaan dalam menjadikan dasar PPSMI lebih baik untuk dilaksanakan.
Kepada pihak-pihak yang memprotes perlaksanaan PPSMI. Tidak usahlah cuba mengheret perlembagaan negara dan sebagainya untuk mengagalkan PPSMI.
Duduklah berbincang dan cari penyelesaian agar semua orang akan beroleh manfaat daripada keputusan itu.
KHAIRUL AZHAR MOHD. ASHARI
Klang, Selangor
Utusan Malaysia Online: 17 Februari 2009