Sabtu, 28 Februari 2009

'Tak perlu lagi debat isu PPSMI'

KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak perlu didebatkan lagi.

"Nak didebatkan apa lagi. Kalau pada peringkat dasar masih boleh, tapi ia kini dalam proses ubah suai dasar," katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas cabaran Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub kepadanya untuk berdebat isu berkenaan.

Sebaliknya, beliau menjemput semua pihak termasuk mereka yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan dasar itu supaya tampil memberikan pendapat dan cadangan untuk memperbaiki dasar itu.

"Lebih baik mereka beri cadangan dan pendapat. Jemputan untuk menyertai perbincangan meja bulat sudah diberi supaya mereka boleh panjangkan pandangan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Belia Mengenai Keganasan di sini, di sini, semalam.

Beliau mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi merasmikan persidangan itu.

Isu itu menjadi bertambah hangat apabila ahli akademik serta sasterawan menyertai segelintir ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.

"Sekarang, izinkan kami untuk melihat semua pandangan dan mencari mekanisme terbaik mengenainya. Adakala mereka yang begitu lantang bersuara bukannya yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan gejala samseng di kalangan pelajar dan mereka yang terbabit dalam kegiatan itu perlu berhadapan dengan hukuman.

Katanya, Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong akan menyiasat secara terperinci setiap kes membabitkan gejala samseng membabitkan pelajar di sesebuah sekolah.

"Di bawah kami ada lima juta pelajar membabitkan lebih 10,000 sekolah, jangan anggap budaya samseng di kalangan pelajar semakin berleluasa, sebaliknya kita ada mekanisme untuk menangani gejala ini.

"Apa yang mahu saya tegaskan ialah jawatankuasa berkenaan akan melihat secara serius selain menyiasat setiap kes pergaduhan sehingga ada pelajar yang maut. Saya tidak akan kompromi dengan gejala samseng di kalangan pelajar dan akan sentiasa memastikan keselamatan pelajar diutamakan," katanya.

Ahad lalu, Muhd Hadzrin Mohamad, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan remaja dipercayai pelajar sekolah.

Pelaksanaan PPSMI sejak 2003 mencetuskan kontroversi serta perdebatan dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya.

Berita Harian Online: 27 Februari 2009

Tiada ulasan: