Isnin, 9 Februari 2009

Agihan peruntukan PIBG berdasarkan bilangan murid

KENINGAU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini menjelaskan agihan bantuan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah adalah berdasarkan kepada bilangan murid.

Katanya, kaedah pengagihan bantuan kewangan kepada PIBG bagi sekolah di luar bandar dan bandar adalah sama seperti dahulu.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah yang berada di pedalaman dan mempunyai bilangan murid yang sedikit kita akan tetap bela,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah di sini.

Hishammuddin berkata, kementerian juga sudah mengenal pasti beberapa pendekatan seperti penggunaan sekolah kabin, pemberian insentif kepada guru dan pelbagai bantuan lain untuk meningkatkan mutu sekolah luar bandar.

“Saya tidak mahu seorang pun terpinggir,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat yang mendakwa sekolah di bandar mendapat kadar bantuan kewangan yang lebih berbanding sekolah di luar bandar.

Mengenai program Kampus Astro itu, Hishammuddin berharap pihak Astro akan mengadakan sesi latihan kepada guru.

Melalui program itu, Astro membekalkan alat perakam video peribadi, set televisyen dan kandungan pembelajaran bertaraf dunia kepada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk tempoh selama tiga tahun.

Antara saluran yang diberikan secara percuma ialah Bernama TV, RTM 1 dan 2, Astro Awani, Discovery Channel dan National Geographic.

Fasa pertama program itu meliputi sekolah di Sabah dan Sarawak bermula Februari tahun ini manakala fasa kedua meliputi Semenanjung. - Bernama

Berita Harian Online: 8 Februari 2009

Tiada ulasan: