Rabu, 11 Februari 2009

10,782 sekolah terima peruntukan RM50 juta

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Bantuan PIBG bagi jalankan aktiviti mulai minggu ini

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,782 sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan menerima peruntukan RM50 juta sebagai bantuan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menjalankan aktiviti yang dirancang mulai minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata peruntukan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Pelajaran negeri bagi diagihkan kepada semua sekolah seliaan mereka.

“Kementerian sudah mengeluarkan surat arahan bagi pengagihan dana berkenaan dan pejabat pelajaran daerah (PPD) sedang menyelaras dana berkenaan berdasarkan jumlah murid pada setiap sekolah sebelum mengagihkannya.

“Menerusi dana itu, kementerian menetapkan setiap murid di sekolah rendah akan menerima RM8 manakala pelajar sekolah menengah RM10, sebagai bantuan kepada PIBG menggerakkan aktiviti dan program sekolah masing-masing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khamis lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata daripada jumlah peruntukan bernilai RM50 juta itu, sebanyak RM25.2 juta akan disalurkan kepada 7,627 sekolah rendah; RM22.6 juta kepada 3,155 sekolah menengah manakala bakinya, RM2.2 juta pula akan disalurkan kepada sekolah-sekolah baru bagi tujuan pelarasan.

Ditanya mengenai desakan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang mahu Kementerian Pelajaran menyegerakan arahan pembayaran yuran sekolah dan juga yuran PIBG April ini bagi mengelakkan ibu bapa dibebani kos tambahan jika ada anak mereka memasuki institut pengajian tinggi (IPT) mulai Jun ini, Alimuddin berkata, kementerian tidak akan menghalang jika PIBG berasa langkah itu perlu diambil.

Beliau berkata, langkah kementerian menangguhkan pembayaran yuran PIBG sehingga Jun ini adalah untuk mengurangkan bebanan ibu bapa yang sudah banyak mengeluarkan perbelanjaan ketika musim sekolah baru bermula bulan lalu.

“Bagaimanapun, jika PIBG berasa Jun ini tidak sesuai atas alasan persediaan kemasukan ke IPT yang juga memerlukan perbelanjaan besar serta mengelakkan aktiviti yang dirancang tidak terganggu, itu terpulang kepada kebijaksanaan sekolah serta persetujuan ibu bapa.

“Kita tidak akan menghalang langkah pengutipan yuran lebih awal. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada ibu bapa membantah atau membuat aduan mengenai pembayaran yuran,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan ibu bapa serta PIBGN yang mahu kementerian turut menyediakan garis panduan serta menetapkan jumlah siling terhadap yuran sekolah supaya ibu bapa tidak dibebani kos tidak perlu, beliau berkata, garis panduan mahupun jumlah siling berkenaan tidak perlu diwujudkan.

Berita Harian Online: 10 Februari 2009

Tiada ulasan: