Rabu, 25 Februari 2009

860 tak selesa kemudahan sekolah

KUALA LUMPUR: Pelbagai masalah kemudahan asas dihadapi Sekolah Kebangsaan Wangsa Jaya Seksyen 4, Wangsa Maju di sini menyebabkan ketidakselesaan kepada 860 murid sekolah berkenaan.

Guru Besarnya, Zainal Kadir berkata, lima masalah baru dikenal pasti perlu diambil tindakan segera untuk kepentingan bersama serta keselesaan murid.

Antaranya, tiang gol untuk kemudahan sukan sudah reput dan hampir patah, longkang sekitar padang tersumbat, pokok besar reput membahayakan murid, tangki air kosong perlu dipindahkan segera serta penambahan bumbung bangunan sekolah.

Menurutnya, padang terbabit bukan hanya digunakan murid sekolah, malah digunakan orang awam memandangkan ia padang umum di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sesiapa saja boleh menggunakannya untuk beriadah, sebab itu segala kemudahan disediakan perlu berada dalam keadaan selamat supaya kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja bersama Pengerusi Barisan Nasional Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look bagi menangani masalah sekolah berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Musa Othman.

Zainal berkata, tangki air kosong sedia ada di belakang bangunan sekolah perlu dipindahkan kerana sudah beberapa kali murid terjumpa ular di kawasan terbabit.

myMetro: 24 Februari 2009

Tiada ulasan: