Khamis, 19 Februari 2009

Keputusan muktamad PPSMI sebelum akhir tahun



HISHAMMUDDIN menerima memorandum Gerakan Mansuhkan PPSMI daripada Dr Hassan Ahmad sambil diperhatikan Datuk A Samad Said (kanan) di Bangunan Parlimen, semalam.

KEMENTERIAN Pelajaran akan membentangkan hasil kajian hala tuju pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Kabinet sebelum akhir tahun ini, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, penyediaan analisis menyeluruh dan kertas cadangan itu kini berada pada peringkat akhir kajian dan akan dibentangkan untuk mendapatkan keputusan muktamad.

"Sehubungan itu, kementerian bertanggungjawab mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk memutuskan cadangan terbaik demi masa depan generasi muda negara," katanya menjawab soalan Datuk Kamaruddin Jaafar (Pas-Tumpat) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Kamaruddin dalam soalannya ingin tahu sama ada kementerian mengambil kira pandangan dan desakan badan bukan kerajaaan (NGO) supaya menarik balik dasar PPSMI.

Hishammuddin berkata, apa juga keputusan yang akan diumumkan nanti akan mengambil kira empat perkara, iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan terus dimartabatkan, penguasaan bahasa Inggeris diperkasakan, kompentensi guru mengajar Sains dan Matematik diutamakan dan pencapaian murid dipertingkatkan.

Dalam perkembangan sama, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang mengadakan sidang media di lobi Parlimen, memohon kerajaan mempertimbangkan kembali pelaksanaan PPSMI.

Pengerusinya, Datuk Dr Hassan Ahmad mendakwa pelaksanaan PPSMI selama enam tahun sejak 2003 gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

"Hasil kajian pasukan penyelidik seramai 50 pensyarah dari tujuh universiti di sebanyak 70 sekolah menengah dan 90 sekolah rendah di seluruh negara membuat kesimpulan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar," katanya.

Beliau berada di bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI kepada beberapa Ahli Parlimen termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Hishammuddin sendiri.

Berita Harian Online: 18 Februari 2009

Tiada ulasan: