Isnin, 9 Februari 2009

Agihkan peruntukan PIBG sama rata

KUANTAN 7 Feb. - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) bimbang kemungkinan sekolah luar bandar akan mendapat kadar bantuan kewangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang lebih rendah berbanding sekolah di bandar apabila peruntukan itu disalurkan.

Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arshad berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengagihkan bantuan tersebut sama rata kepada semua sekolah tanpa mengira kedudukannya sama ada di bandar atau luar bandar.

Menurut beliau, walaupun bilangan pelajar dan saiz sekolah luar bandar lebih kecil, aktiviti PIBG yang dijalankan sama seperti di bandar.

''Lagi pula, pendapatan ibu bapa di luar bandar lebih rendah berbanding ibu bapa di bandar yang mampu menampung sedikit sebanyak keperluan atau perbelanjaan PIBG jika diperlukan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pelajaran mula mengagihkan peruntukan sebanyak RM50 juta sebagai bantuan kewangan kepada PIBG di seluruh negara.

Menerusi agihan itu, sebanyak RM25.2 juta akan disalurkan kepada 7,627 sekolah rendah, RM22.6 juta kepada 3,155 sekolah menengah manakala bakinya disalurkan kepada sekolah-sekolah baru serta bagi tujuan pelarasan.

Peruntukan itu disalurkan kepada Jabatan Pelajaran negeri sebelum diagihkan ke semua sekolah dalam tempoh 14 hari.

Mohd. Sabri seterusnya berkata, setakat ini, pihaknya tidak dapat menentukan kadar bantuan PIBG yang diterima oleh setiap sekolah kerana ia belum disalurkan sepenuhnya.

Meskipun kerajaan menyalurkan bantuan itu, katanya, PIBG akan terus mengutip derma daripada ibu bapa jika peruntukan tidak mencukupi untuk melaksanakan sesuatu aktiviti.

Jelas beliau, ia sejajar dengan saranan Kementerian Pelajaran yang mahu setiap PIBG berusaha mencari dana bagi menampung keperluan sesuatu aktiviti walaupun memperoleh peruntukan.

Beliau turut meminta PIBG menggunakan bantuan tersebut dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi manfaat pelajar dan sekolah.

Utusan Malaysia Online: 8 Februari 2009

Tiada ulasan: