Ahad, 28 Februari 2010
'Pilihan raya sekolah dilarang'
azis@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Pengetua dan Guru Besar sekolah di seluruh negara dilarang mengadakan pilihan raya murid memilih wakil pelajar kerana pendekatan baru yang dipraktikkan beberapa sekolah itu tidak memadai berikutan faktor usia mereka yang terlalu mentah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata arahan itu dikeluarkan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu melalui surat pekeliling yang sudah diedarkan ke semua sekolah.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati usia murid terutama di sekolah rendah masih terlalu muda untuk berdepan sistem pilihan raya pemilihan wakil pelajar yang tidak begitu sesuai dilaksanakan.
"Tak payahlah, kalau pada peringkat IPT (Institut Pengajian Tinggi) bolehlah, mereka sudah matang. Di sekolah, sebaliknya keadaan masih terlalu awal.
"Timbalan Perdana Menteri sudah bagi arahan supaya jangan terbawa-bawa budaya pemilihan di dalam sekolah. Tak perlu bagi mereka pilih ketua murid, biarlah sekolah dan pengetua tentukan siapa yang layak," katanya kepada media sema-lam.
Sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda MCA merasmikan Program Jom Jelajah Dunia di World Expo 2010, Shanghai, China anjuran Pergerakan Pemuda MCA di KL Sentral.
Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan beberapa sekolah menjadikan pemilihan wakil sekolah diadakan secara pengundian sama seperti pilihan raya dan menjadikannya sebagai amalan baru dalam sistem persekolahan.
Antara sekolah yang sudah melaksanakan pilihan raya murid ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) pada 11 Januari lalu apabila pemilihan ketua muridnya dikendali dan dipantau sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.
Pemilihan itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan murid Tahun Enam, meriah dengan semua calon serta penyokong masing-masing berkempen pada saat akhir bagi meraih undi sebelum pengundian bermula jam 11 pagi dan berakhir 1 tengah hari.
Khairul Azli Khairul Razi diumumkan pemenang dengan memperoleh 365 undi, mengalahkan pencabar terdekatnya, Alia Suraya Ahmad yang mendapat 281 undi, sekali gus dilantik penolong ketua murid.
Mengulas lanjut, Dr Wee sendiri baru saja menerima pekeliling baru itu beberapa hari lalu dan cukup yakin semua pengetua dan guru besar akan mematuhi arahan kementerian demi masa depan murid.
Mengenai program Jom Jelajah Dunia, beliau berkata penganjur akan memilih 2,000 belia di seluruh negara melalui konsep 'siapa cepat dia dapat' bagi memberi peluang kepada belia negara menyertai ekspo disertai belia seluruh dunia.
"Ini terbuka kepada semua kaum, bukan untuk belia MCA saja, daftar segera mulai hari ini (semalam) dengan mematuhi syarat ditetapkan. Tak ada ada masalah jika belia Islam turut serta kerana sudah dapatkan kerjasama kementerian pelancongan untuk atasi masalah makanan halal," katanya.
Berita Harian Online: 28 Februari 2010
Sabtu, 27 Februari 2010
Syor PJPK subjek wajib peperiksaan
Saya bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang inginkan sukan pada peringkat sekolah dinaik taraf.
Cadangan Muhyiddin yang ingin pembangunan sukan di sekolah dibuat secara berterusan dan syor 1 pelajar 1 sukan amat dialu-alukan. Cadangan ini amat baik dan sudah lama ditunggu oleh saya dan guru sukan lain. Saya ingin memberikan pendapat iaitu;
Wujudkan jawatan Penyelia Sukan/Pegawai Sukan di sekolah yang mana bidang tugas sama dengan kaunselor di sekolah untuk memantau atau menjalankan program sukan termasuk melatih pelajar. Penyediaan dokumentasi dan rekod berkaitan sukan juga perlu disediakan.
Pegawai yang dilantik tidak perlu mengajar seperti kaunselor. Jika kaunselor berjaya mendisiplinkan pelajar mengapa tidak pegawai sukan? Jadi pegawai ini dapat memberi tumpuan 100 peratus terhadap pembangunan sukan sekolah. Tidak perlu memikirkan perkara lain yang mengganggu tugas yang dikenali sebagai Setiausaha Sukan
Subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) dimasukkan dalam subjek wajib peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM. Subjek Sains Sukan dalam SPM adalah subjek yang berlainan dengan PJPK. Pada masa sekarang semua pelajar termasuk guru bukan opsyen menganggap subjek PJPK tidak penting kerana tidak ada peperiksaan.
Wang kerajaan bagi saya dibazirkan kerana kerajaan menyediakan guru Opsyen PJPK dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyediakan buku teks dan menyalurkan alatan sukan kepada sekolah, tetapi tiada hasil yang membanggakan. Bagi saya jika subjek PJPK dimasukkan dalam peperiksaan awam, saya yakin ramai yang mentelaah subjek berkenaan.
MFA_282,
Ledang, Johor.
Berita Harian Online: 27 Februari 2010
Jumaat, 26 Februari 2010
68 SMT ditukar jadi SMV tahun depan
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, keputusan mengenai perkara itu sedang dibincang di peringkat akhir dan akan diumum dalam masa terdekat.
"Setakat ini (kita) sudah bersetuju (melalui) di peringkat pasca Kabinet. Keputusan akan diumumkan dalam tahun ini dan langkah itu akan dimulakan di seluruh negara pada tahun depan.
"Keputusan ini dibuat bagi memenuhi pasaran kerja masa kini yang lebih mengutamakan sijil kemahiran. Jadi langkah kita memperkasa bidang vokasional adalah tepat," katanya.
Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan Saliliran, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dan tujuh jam berjalan kaki dari sini, semalam.
Sekolah itu adalah sekolah terakhir dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah pendalaman di daerah ini selama tiga hari berturut-turut.
Beliau berkata, bagi memantapkan lagi langkah itu, pihaknya akan melawat Finland tidak lama lagi berikutan kemajuan negara tersebut dalam bidang vokasional di peringkat sekolah.
Mengenai langkah kementerian yang mula menyerap lebihan guru bahasa Inggeris di sekolah bandar ke kawasan luar bandar, beliau meminta warga pendidik menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Mohd. Puad berkata, pihaknya memang ada menerima rungutan atau rasa tidak puas hati sebilangan guru dengan keputusan tersebut tetapi berharap mereka tidak mempersoalkannya.
Jelasnya, langkah tersebut adalah terbaik dan untuk jangka masa panjang bagi mengatasi masalah kekurangan guru bahasa Inggeris yang begitu kritikal sebelum ini di sekolah luar bandar.
Mengenai lawatannya, Mohd. Puad berkata, kementerian akan menyelesaikan masalah sekolah-sekolah pedalaman di daerah ini seperti ketiadaan kemudahan asrama dan rumah guru.
Tambahnya, begitu juga dengan masalah lain seperti kekurangan bilik darjah, ketiadaan kemudahan asas seperti air dan elektrik termasuk ketiadaan sekolah menengah di satu-satu kawasan.
Utusan Malaysia Online: 26 Februari 2010
Komitmen guru Semenanjung didik pelajar luar bandar dipuji
Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah kerana guru terbabit memberi kerjasama jitu dan menjalankan tanggungjawab hakiki mereka dengan baik.
Sambil mengucapkan tahniah kepada guru luar yang sanggup menyahut cabaran ke pedalaman bagi mendidik anak bangsa, beliau berkata, pihak sekolah juga sentiasa sedia membantu mereka jika menghadapi masalah.
“Keadaan di sini sekarang tidak macam dulu. Contohnya kini mereka boleh menghubungi keluarga dengan mudah kerana ada liputan telefon,” katanya sambil menjelaskan tujuh guru dari Semenanjung termasuk enam wanita dan seorang dari Sabah mengajar di sekolah itu.
Sementara itu, Guru Besar SK Keseng, Anthony Upon, berkata pihaknya juga tidak menghadapi sebarang masalah dengan lapan guru Semenanjung termasuk enam perempuan dan seorang dari Sabah yang mengajar di sekolahnya.
Walaupun sesetengahnya mengalami kejutan budaya pada peringkat awal, katanya, selepas seminggu dua mereka bukan saja dapat menguasai cara hidup dan persekitaran setempat, malah menjalankan tugas dengan baik.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana guru terbabit banyak membantu menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.
“Sebagai contoh, untuk mengajar tiga orang murid muslim di sekolah ini yang akan menduduki menduduki Penilaian Asas Fardu Ain tahun ini, kami tiada guru agama kerana tidak mencukupi kuota, iaitu sekurang-kurangnya lima murid Islam untuk mendapat seorang guru agama.
“Bagi memenuhi keperluan itu dan menjalankan tanggungjawab mengajar murid terbabit, beberapa guru perempuan dari Semenanjung dengan sukarela mengajar di rumah mereka di luar waktu sekolah, lazimnya sebelah petang.
“Dari segi kesediaan menyahut cabaran, sikap mereka terbuka, malah ada yang ingin mencuba sesuatu perkara baru, contohnya menaiki kereta melalui jalan balak dari sekolah ini ke pekan kecil Sangan Iban dan seterusnya ke Tatau,” katanya.
Dalam apa keadaan, katanya, pihak sekolah dan masyarakat setempat sedia membantu jika mereka menghadapi masalah, malah bagi guru baru ditempatkan ke sekolah itu, beliau sendiri yang menjemputnya di Pejabat Pelajaran Daerah Tatau.
Berita Harian Online: 26 Februari 2010
Kerenah guru enggan mengajar di pedalaman tidak boleh dilayan
KEMENTERIAN Pelajaran mungkin tidak membuat cadangan mewajibkan guru baru bertugas di pedalaman selama tiga tahun jika golongan itu sejak awal lagi menyedari tanggungjawab, amanah yang perlu dilaksana serta menjadikan perkhidmatan sebagai keutamaan. Tetapi apa yang berlaku, ada guru baru enggan bertugas di sekolah luar bandar atau pedalaman. Ini bukan isu baru sebaliknya sejak berdekad lalu hingga menyebabkan murid di kawasan itu menjadi mangsa dan tercicir dalam pelajaran kerana kekurangan guru terlatih.
Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pelajaran dilihat wajar dilaksanakan. Seperti kata Timbalan Menterinya, Dr Puad Zarkashi, baru-baru ini, pihaknya tidak akan menempatkan guru baru di bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti sekarang.
Laporan akhbar yang memetik beliau sebagai berkata, biar mereka tahu bagaimana pengalaman bekerja sebagai pendidik terutama di pedalaman yang kadang kala memerlukan kesabaran berikutan kesukaran hidup di kawasan itu.
Malah, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sejak awal lagi mencadangkan perkara sama bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar di pedalaman.
Cadangan kementerian jika dilaksanakan disifatkan antara langkah terbaik membendung masalah guru enggan bertugas di pedalaman yang kini dilihat gejala baru dalam sistem perkhidmatan berkenaan.
Sesetengahnya dikatakan berusaha gigih bukan bagi memberi perkhidmatan terbaik, tetapi menggunakan saluran tertentu atau orang berpengaruh supaya tidak ditempatkan di kawasan terbabit atau merayu pertukaran.
Dalam hal ini, dipercayai ia berpunca segelintir guru bersikap ‘pentingkan diri’ hingga menjadikan suasananya seperti kata peribahasa ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ serta mendorong orang lain tidak berhasrat berbuat demikian akhirnya turut melakukan perkara sama.
Hakikatnya, sebahagian besar guru baru ditempatkan di luar bandar atau pedalaman tidak bersikap demikian sebaliknya berusaha sedaya mampu menjalankan tanggungjawab diamanah selaras dengan niat mahu mendidik anak bangsa.
Menghadapi pelbagai masalah peribadi termasuk berjauhan dengan isteri mahupun suami baru saja dinikahi, demikian kenyataan dilalui beberapa guru dari Semenanjung dan Sabah yang sempat ditemui penulis di beberapa sekolah rendah di pedalaman daerah Tatau di utara Sarawak, baru-baru ini.
Madah menyebut guru ibarat lilin - membakar diri demi menerangi orang lain, amat berasas kerana mereka langsung tidak menjadikan kekurangan infrastruktur, kesukaran atau ketidakselesaan hidup di pedalaman sebagai penghalang tugas.
“Jika saya tidak ke sini, guru lain pun tidak mahu datang. Soalannya mudah - siapa yang akan mengajar di luar bandar atau pedalaman? Pada hal kita tahu bahawa murid di sini juga perlukan pendidikan sewajarnya.
“Bagi saya sebagai guru diberi tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa, pelbagai kesukaran dihadapi tidak harus dijadikan penghalang, sebaliknya anggap ia cabaran dalam mematangkan diri.
“Tempat tidak seharusnya jadi keutamaan kerana sememangnya apabila dinamakan luar bandar atau pedalaman sifatnya tetap sama - banyak kekurangan berbanding bandar atau pekan. Yang penting, tunaikan janji sanggup berkhidmat di mana saja,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai, Hulu Kakus dekat Tatau, Ahmad Rusmainey Borhan, 25.
Guru lulusan Ijazah Pendidikan Sekolah Rendah, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang mengajar di sekolah kategori ‘Pedalaman Tiga’ sejak awal bulan lalu itu berkata, sama ada di bandar atau luar bandar, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.
Sambil menjelaskan terpulang kepada niat, beliau berkata, segala masalah dihadapi sepatutnya dijadikan cabaran terutama bagi perantau, bukannya alasan tidak menjalankan tanggungjawab hakiki memberi pendidikan terbaik.
Ahmad Rusmainey berasal dari Banting, Selangor berkata, beliau dan beberapa guru negeri lain, termasuk enam wanita dari Semenanjung tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang berkhidmat di sekolah itu.
“Selepas sampai di sini dan melihat persekitaran, saya hairan kenapa ada guru enggan mengajar di Sarawak lebih-lebih lagi di pedalaman. Walaupun jauh, keadaan di sini sekarang banyak berubah, malah terbaik berdasarkan status pedalaman. Guru yang enggan ke pedalaman, bagi saya mereka dalam kerugian kerana tidak dapat mengecapi kehidupan masyarakat setempat apatah lagi menimba pengalaman baru yang tidak ternilai.
“Lagi pun, kita tidak selama-lamanya mengajar di pedalaman. Saya percaya setahun dua atau tiba masanya akan ditukarkan ke tempat lain. Jadi, sementara masih belum ada tanggungjawab lain, apa salahnya kita timba pengalaman hidup di perantauan,” katanya yang sejak awal lagi memohon ditempatkan di pedalaman Sarawak.
Kenyataan Ahmad Rusmainey yang turut menyifatkan SK Nanga Penyarai dan kawasan sekitarnya antara terbaik berbanding pedalaman lain diketahuinya berasas kerana kini ada pelbagai kemudahan di sekolah berkenaan, termasuk rumah guru dengan bekalan elektrik 24 jam. Sekolah itu dipasang parabola untuk warganya mengakses internet bagi mengetahui perkembangan semasa dunia luar selain mendengar berita dan maklumat terkini serta sumber hiburan menerusi pelbagai saluran Astro.
Untuk mendapat bekalan makanan, mereka menaiki bot antara satu setengah hingga dua jam ke pekan kecil terdekat iaitu Sangan Iban jika tidak mahu menggunakan kenderaan darat melalui jalan balak. Jika tidak ke Sangan Iban, mereka ke Tatau yang menjadi pusat pentadbiran daerah hanya kira-kira 30 minit menaiki kenderaan darat.
Berbanding hampir tiga dekad lalu, ketika itu penulis mengajar di SK Rumah Barrau terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan bot dari SK Nanga Penyarai menyusuri sungai berbeza, dari pekan Tatau ke Sangan Iban saja atau sebaliknya mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Dua tahun di sekolah itu mulai 1982, bukan saja tiada bekalan elektrik, malah banyak kesukaran lain. Jika ada pun menumpang rumah panjang berdekatan yang menggunakan generator mulai jam 6.30 petang hingga 9 malam saja.
Kini semua sekolah di pedalaman Tatau boleh dikatakan mengalami perubahan termasuk disediakan pengangkutan iaitu bot panjang dengan enjin 30 kuasa kuda. Lebih mengejutkan tiada lagi mandi di sungai kerana airnya disedut ke rumah atau tempat khas.
Terdahulu ketika singgah di SK Keseng yang dikategorikan ‘Pedalaman Dua’ terletak ke hilir kira-kira satu jam setengah perjalanan bot dari SK Nanga Penyarai, sekolah itu nampak ceria dengan pelbagai pembaharuan dan kemudahan. Kedudukannya cuma setengah jam menaiki bot jika tidak mahu menggunakan jalan balak ke Sangan Iban, seterusnya menaiki kereta ke Tatau atau Bintulu.
Seorang gurunya, Subry Jaafar, 29, berkata beliau tidak lagi bimbang seperti dirasai ketika menerima surat penempatan ke pedalaman Sarawak selepas hampir dua bulan mengajar di sekolah itu. “Kebimbangan ini berpunca tidak mendapat gambaran sebenar mengenai tempat mengajar. Selepas seminggu, saya dapat menerima hakikat dan membiasakan serta menyesuai diri dengan keadaan setempat. Dengan bantuan rakan setugas serta sokongan pentadbir sekolah khususnya guru besar, saya tidak menghadapi masalah menjalankan tugas.
“Matlamat saya kini tiada lain melainkan menjalankan tugas diamanahkan dengan rasa tanggungjawab dan penuh dedikasi,” kata lulusan Universiti Putra Malaysia yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh itu.
Walaupun sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, terutama isteri yang kini mengandung anak pertama di Melaka, Subry berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, jarak tidak menghalang beliau menelefon mereka setiap hari. Rakannya, Abdul Mutalib Simah, 28, dari Sabah pula seronok mengajar di sekolah itu kerana mempunyai pelbagai kemudahan sesuai dengan keadaan tempatnya untuk menyumbang bakti.
“Saya tidak terasa sangat apabila ditempatkan di sekolah ini kerana sudah biasa merantau dan menganggap ia pengalaman baru. Matlamat saya sekarang menumpukan tugas, tambahan murid-murid di sini berpotensi maju,” kata lulusan Universiti Utara Malaysia dan KPLI di IPGM Kampus Pulau Pinang itu yang turut bertekad membantu membangunkan pendidikan sukan kerana muridnya berpotensi dalam olah raga dan renang.
Guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan itu turut menasihatkan guru yang ditempatkan ke pedalaman Sarawak jangan bimbang dengan cerita didengar, sebaliknya meminta mereka melapor diri dulu dan menilai sendiri keadaan sebenar.
Beberapa orang daripada enam guru wanita dari Semenanjung yang mengajar di sekolah itu sejak setahun lalu ketika disapa sambil tersenyum berkata: “Di sini ok, datang dulu... baru tahu.”
Berita Harian Online: 26 Februari 2010
Hanya 10 daripada 66 tandas sekolah bersih
Program terbabit bertujuan mempertingkatkan kebersihan tandas dalam kawasan pentadbiran MPSJ dan sebagai satu usaha berterusan memajukan negeri dalam aspek kebersihan persekitaran. Program juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya menjaga kebersihan di kalangan semua lapisan masyarakat yang bersesuaian dengan taraf Selangor sebagai negeri maju. Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata MPSJ ingin memperluaskan skop pendidikan amalan sihat di kalangan pelajar dengan menjalankan program terbabit selepas mendapati hanya 10 daripada 66 sekolah mempunyai tahap kebersihan tandas yang baik. “Modus operandi program ini adalah menjalinkan hubungan yang baik antara guru dan pelajar dalam menjaga serta mengamalkan kebersihan bangunan terutamanya tandas dan persekitaran sekolah,” katanya. “Diharapkan pendekatan ini dapat diteruskan bagi melahirkan generasi yang mementingkan kebersihan di samping menaikkan imej sekolah,” katanya yang merasmikan program terbabit.
Mengenai faktor yang menyumbang kepada masalah kebersihan tandas di sekolah, Adnan berkata masalah itu timbul kerana struktur bangunan atau pemasangan tandas yang sudah terlalu lama, kerosakan tidak dibaik pulih pada peringkat awal, masalah ketiadaan air serta tiada jadual pencucian berkala dan tiada kesedaran sivik di kalangan pengguna (pelajar dan kakitangan sekolah). “Melalui pertandingan yang akan bermula awal April ini, diharap pihak sekolah masih ada lagi masa merancang dan mencari pendekatan terbaik bagi menjaga kebersihan serta penyelenggaraan tandas yang lebih baik juga sistematik,” katanya. Pada program terbabit, setiap pemenang utama bagi tiga kategori Tandas Bersih 2009 yang dipertandingkan bagi restoran, stesen minyak dan pusat beli-belah memenangi RM1,000 dan sijil penghargaan.
myMetro: 26 Februari 2010
Khamis, 25 Februari 2010
NUTP saran kurangkan Ladap
Oleh Noor Azimah Romli
bhnews@bharian.com.my
Kementerian berjimat tetapi guru terpaksa keluar wang sendiri hadiri kursus
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran mengurangkan Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) sebanyak 50 peratus berikutan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung sendiri guru apabila menghadiri kursus kerana tiada peruntukan disediakan untuk perbelanjaan makanan dan kos pengangkutan.
Buat masa ini semua guru diwajibkan menghadiri kursus Ladap selama 42 jam atau tujuh hari setahun.
Jika kementerian melaksanakan cadangan terbabit bermakna guru hanya wajib hadiri kursus 21 jam saja dan ini dapat membantu mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung guru pada masa ini.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata kementerian sebelum ini melaksanakan dasar penjimatan sehingga terpaksa menyatu perbelanjaan termasuk kursus latihan untuk guru.
"Kementerian sepatutnya mengambil kira semua faktor termasuk kebajikan guru sebelum melaksanakan langkah terbabit.
"Saya sebagai wakil NUTP melahirkan rasa kecewa atas perkembangan ini.
"Selepas kementerian mengumumkan langkah penjimatan terbabit semua pengetua dan guru besar diberi taklimat untuk mengambil langkah penjimatan segera untuk mengurangkan perbelanjaan.
"Kami di pihak guru dikerah menghadiri pelbagai kursus tetapi pada masa sama kami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menanggung perbelanjaan sepanjang kursus," katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan guru yang menghadiri kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri hanya disediakan nasi bungkus dan air mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau kopi untuk minum pagi dan petang.
Difahamkan, untuk seharian kursus tanpa bermalam, tidak ada langsung peruntukan diberikan berbanding sebelum ini yang mana satu kepala diperuntukkan RM9 sehari.
Hashim , berkata beliau sedih dengan perkembangan itu yang pastinya akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah.
"Keadaan ini menyedihkan, sedangkan kursus dihadiri itu untuk menaik taraf profesionalisme di kalangan guru," katanya dihubungi, semalam.
Katanya, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius masalah berkenaan dan berharap cadangan terbabit dapat dipertimbangkan oleh kementerian.
"Saya akur perlu ada langkah penjimatan, namun perbelanjaan dalam pendidikan bukan kos tetapi satu pelaburan masa depan.
"Kesan catuan akan dapat dilihat pada 5 hingga 10 tahun akan datang dan sudah tentu membabitkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan nanti apabila guru semakin kurang motivasi untuk mengajar serta mendidik," katanya.
Berita Harian Online: 25 Februari 2010
Rabu, 24 Februari 2010
Transformasi kurikulum sekolah
pengarang@utusan.com.my
|
|
MUAR 23 Feb. - Kementerian Pelajaran akan melakukan perubahan dalam kurikulum sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan.
Untuk itu, aspek penerokaan ilmu akan diberi penekanan dengan lebih banyak tumpuan kepada pelajar dan bilik darjah, bukan lagi dominasi oleh guru.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa itu bertujuan menerapkan budaya berfikir yang kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
"Proses pembelajaran ini akan lebih mementingkan interaksi di antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan dapat membantu percambahan idea yang kreatif dan inovatif.
"Di samping itu, budaya kreativiti dan inovasi juga boleh dipupuk melalui aktiviti kokurikulum seperti bengkel, seminar dan pertandingan," katanya semasa melancarkan program MyIdeas@Schools di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran percaya kunci pemupukan budaya inovasi adalah kurikulum yang seimbang dari aspek penyampaian ilmu dan penjanaan budaya berfikir.
Katanya, kerjasama kementeriannya dengan Yayasan Inovasi Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi menjayakan MyIdeas@Schools adalah inisiatif yang dapat melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.
"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama MDeC telah melatih seramai 42 guru dari 21 sekolah bestari luar bandar dalam fasa pertama program ini.
"Latihan ini bertujuan memastikan guru-guru mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi membimbing murid-murid menggunakan portal MyIdeas@Schools dan melaksanakan strategi berkesan bagi menggalakkan murid menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif," katanya.
Beliau berharap ia akan menjadi landasan menghimpunkan idea-idea inovatif murid-murid supaya dapat diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
"Saya percaya, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita perlu memiliki teknologi tempatan yang dihasilkan oleh anak watan.
"Contoh terbaik ciptaan satelit RazakSAT yang dihasilkan anak tempatan dan kini mengelilingi garisan Khatulistiwa," katanya.
Utusan Malaysia Online: 24 Februari 2010
SSP mampu terus cemerlang
Saya merakamkan setinggi tahniah kepada pentadbiran SSP yang diketuai Rashidah Md Arif, guru, staf sokongan, PIBG, Alumi SSP, kelompok Eldaterra dan srikandi SPP yang berganding bahu mencipta kejayaan cemerlang ini.
Semua pihak patut lebih gigih bagi memastikan tradisi kesinambungan kecemerlangan SSP.
GENERASI JALAN KOLAM AIR,
Kajang, Selangor.
Berita harian Online: 24 Februari 2010
Kementerian Pelajaran tak perlu anjur kursus jika kurang bajet
Saya tertarik dengan dua berita yang disiarkan akhbar menyatakan guru makan nasi bungkus ketika kursus serta Ketua Pengarah Pelajaran sendiri mengadakan program kementerian di sebuah sekolah, bukan di hotel.
Saya antara panel mesyuarat dan bengkel yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Damansara baru-baru ini turut mengalami nasib sama.
Saya tidak kisah untuk berulang-alik dari rumah di Klang, Selangor ke BTP untuk menghadiri mesyuarat yang bermula pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.
Malangnya, kami hanya disediakan biskut kering dan air panas untuk dibancuh dengan minuman 3+1 sebagai sarapan.
Namun, ada panel yang tidak sesuai mengambil menu berkenaan kerana menghidap diabetes. Adakah ini langkah penjimatan terbaik diambil Kementerian Pelajaran?
Oleh kerana makan tengah hari tidak disediakan, kami keluar mencari gerai, malah terpaksa ke kawasan yang sukar mendapat tempat letak kereta.
Minum petang pula sama menunya dengan sarapan dan dihidangkan dengan kacang goreng.
Saya mencadangkan kalau Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kemudahan dan kewangan jangan anjur mesyuarat, bengkel atau kursus untuk mengelak pegawai perkhidmatan pelajaran atau guru teraniaya dan rasa terhina.
Saya bimbang kegiatan kokurikulum yang mungkin diadakan turut membebankan guru yang ditugaskan membawa pelajar ke lokasi pertandingan.
Saya turut bimbang kenderaan rasmi dan peribadi guru menjadi pengangkutan pelajar menyertai sesuatu pertandingan tanpa dibayar sesen pun.
Saya mohon agar kesatuan guru meneliti kebajikan kami dan jangan cuma untuk meningkatkan profesion keguruan sedangkan guru dilayan bagai pegawai kelas bawahan.
Janganlah tenaga guru diperah, namun kebajikan mereka tidak dijaga.
PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN A,
Klang,
Selangor.
Berita Harian Online: 24 Februari 2010
Selasa, 23 Februari 2010
NUTP mahu sekolah, MSN diajak bincang
Oleh Khairunnisa Kamarudin
bhnews@bharian.com.my
Kementerian perlu cari kata sepakat wajib pelajar sertai satu jenis sukan tahun depan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pelajaran membincangkan dengan lebih mendalam dengan sekolah, guru dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pelaksanaan keputusan mewajibkan semua pelajar menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata perbincangan itu perlu bagi menguntungkan kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar.
"Tidak semestinya tenaga pengajar terdiri daripada jurulatih profesional, tetapi kita juga mengalu-alukan bekas atlit yang mempunyai pengalaman untuk dikongsi bersama pelajar.
"Guru besar dan pengetua juga perlu mengubah sikap mereka dan menjadikan sukan antara subjek penting di sekolah selain akademik," katanya mengulas cadangan Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar sekolah rendah dan menengah mengambil satu jenis sukan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi mengkaji untuk memberikan kredit kepada pelajar menyertai sukan.
Hashim berkata, langkah itu memberi peluang kepada guru terutama yang mempunyai ijazah sains sukan memanfaatkan ilmu mereka.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata keputusan itu antara cara meningkatkan martabat sukan dan melahirkan jaguh peringkat dunia.
"Untuk merealisasikan peraturan ini, kementerian perlu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan. Cara ini dilakukan sekolah seperti di New Zealand dalam bidang sukan seperti gimnastik," katanya.
Berita Harian Online: 23 Februari 2010
Langkah jimat biar berpada
Sebagai contoh, guru tidak diberi tuntutan apabila menjalankan aktiviti anjuran Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pelajaran.
Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi, bagaimana kami mahu menyara keluarga. Jika disebut pengorbanan, guru sudah melakukan yang terbaik terhadap anak didik, sedangkan tuntutan diminta tidak setimpal mana.
Saya percaya kenyataan ini akan disokong oleh rakan sejawat. Kami juga tidak mampu bergerak sendirian tanpa bantuan kewangan kerajaan. Guru hanya mahukan perhatian agar tugas dapat dilakukan dengan lebih baik.
MFA_282,
Muar, Johor.
Berita Harian Online: 23 Februari 2010
Rumah guru, kuarters dibaik pulih
MARAN 22 Feb. - Kerajaan akan membaik pulih rumah guru atau kuarters institusi pendidikan di seluruh negara yang mengalami kerosakan kerana tidak diselenggarakan dengan sempurna.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Mohd.Yassin berkata, beliau menyedari masalah tersebut dan akan mengambil tindakan membaik pilih kerosakan tersebut supaya guru yang tinggal di kuarters berkenaan dapat tinggal dengan selesa.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengakui hampir separuh rumah guru terutamanya kediaman bertingkat kini kosong kerana mengalami kerosakan.
Ia kata beliau berlaku kerana tidak ada pihak yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih kerosakan berkenaan.
"Selain kerosakan, kuarters guru dibiarkan kosong di seluruh negara apabila ramai juga guru-guru yang lebih suka menyewa rumah lain atau sudah membeli rumah sendiri," kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menutup majlis Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Bandar Jengka dekat sini semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Paya Luas, Kuala Krau, Shaarin Yaman berkata, ramai guru yang tidak mempunyai rumah berminat untuk menduduki kuarters guru.
Bagaimanapun kata beliau, oleh kerana sering mengalami kerosakan mereka (guru-guru) terpaksa menyewa rumah lain apabila tidak ada pihak yang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan dan membaiki kerosakan.
"Apabila berlaku kerosakan guru-guru berkenaan tidak tahu kepada siapa mereka hendak mengadu kerana pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah tidak mempunyai peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut.
"Akhirnya mereka terpaksa keluar dan menyewa rumah lain dan jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera menangani masalah itu ia akan menyebabkan kuarters guru menjadi projek gajah putih," katanya.
Menurut beliau, hasrat kerajaan membina kuarters guru adalah baik bagi membantu dan mengatasi masalah guru-guru yang tidak mempunyai rumah terutamanya yang mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau juga turut melahirkan rasa bimbang kuarters yang kosong akhirnya akan menjadi sarang penagihan dadah dan maksiat.
"Kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit membina kediaman guru yang selesa tetapi matlamatnya tidak tercapai apabila rumah tersebut akhirnya terbiar kosong dan membazir wang rakyat," kata Shaarin.
Utusan Malaysia Online: 23 Februari 2010
Isnin, 22 Februari 2010
Pelajar wajib ambil satu bidang sukan
MARAN 21 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.
Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, satu jawatankuasa sementara ditubuhkan untuk mengkaji perkara tersebut yang membabitkan kurikulum dan aspek pemarkahan.
''Sekurang-kurangnya satu sukan wajib diambil oleh pelajar. Dasar ini telah lama ada tetapi ia kurang ditekan.
''Kita sedang mengkaji kurikulumnya dan sekurang-kurangnya tahun depan kita boleh mula tetapi mana-mana sekolah yang telah bersedia boleh bermula tahun ini. Kita perlu memperincikan jadual dan kurikulum bagi mengelakkan pertembungan antara akademik dan sukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan merombak Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dengan menjadikan sukan sebagai bidang berasingan.
''Pada masa ini, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum kementerian melibatkan persatuan beruniform diletakkan dalam satu bahagian. Kita hendak buat rombakan iaitu kokurikulum dalam satu bahagian manakala sukan dalam pengkhususan lain," jelasnya.
Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa sementara itu akan mengkaji pelbagai perkara termasuk kurikulum yang lebih lengkap, tenaga pengajar, jurulatih yang berkemahiran dan aspek promosi.
Menurut beliau, aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak hanya diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.
''Kita hendak lahirkan lebih banyak guru sukan dan mengubah semula kalendar sukan tahunan.
Ketika ini, kalendar sukan tahunan dibuat dua tiga bulan selepas sekolah dibuka dan pada bulan Jun telah selesai dan selepas itu tidak ada diberi perhatian oleh pihak sekolah," ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah supaya hasrat itu menjadi kenyataan.
Utusan Malaysia Online: 22 Februari 2010
Pantau autonomi Sekolah Berprestasi Tinggi
SEKALUNG tahniah harus diberikan kepada 20 pengetua dan guru besar bersama pasukan kakitangan sekolah kerana berjaya menyenaraikan sekolah mereka sebagai kumpulan pertama dinobatkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negara ini.
Dengan kesungguhan dan kerja kuat tersebut, pasukan pentadbiran serta kakitangan sekolah diberikan kuasa autonomi terhadap banyak perkara, termasuk soal pengajaran dan pembelajaran.
Sememangnya suatu usaha yang berbaloi dengan keringat dan pemikiran yang berusaha keras mencapai tahap yang amat membanggakan itu. Semua ini adalah demi kemajuan pendidikan generasi bangsa Malaysia yang akan datang.
Walaupun usaha murni ini merupakan satu langkah yang amat baik, timbul pula beberapa kebimbangan serta persoalan terhadap kuasa autonomi yang boleh dianggap besar terhadap pengurusan sekolah.
Sudah pasti, semua pengetua dan guru besar di negara ini mengimpikan status yang berprestij ini. Bagi mereka yang telah dinobatkan akan sedaya mungkin mempertahankan mahkota yang dianugerah oleh kementerian.
Bagi mempertahankan gelaran tersebut sudah pasti beberapa formula dibuat oleh pihak sekolah sendiri. Antara perkara yang dikhuatiri ialah kuasa autonomi ini membuatkan sekolah tidak dapat dikawal oleh pejabat pelajaran negeri atau daerah.
Kebebasan mentadbir, urusan kewangan serta kaedah pembelajaran menjadikan pengetua punya kuasa mutlak ke atas semua urusan.
Selain itu, prestasi pelajar juga merupakan perkara yang paling penting dalam menentukan kompetensi prestasi sekolah. Adalah dikhuatiri dengan status autonomi ini SBT akan mengenakan syarat tambahan serta perkara yang tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan pelajar.
Jika ini yang berlaku sudah pasti pelajar yang lemah atau kurang cemerlang akan dinafikan hak mereka untuk bersekolah di SBT meskipun sekolah itu merupakan sekolah harian yang sepatutnya pelajar itu bersekolah.
Secara tidak langsung, hak pelajar tersebut telah dinafikan dan hilanglah amalan demokrasi pendidikan. Sekali gus dasar pendidikan negara tidak dapat disuburkan dengan sempurna.
Seperkara lagi, jika tidak dikawal dengan sempurna SBT akan menjadi sekolah anak-anak kapitalis Melayu.
Ini kerana kuasa autonomi yang diberikan merupakan lesen yang besar kepada pengetua dan guru besar untuk menentukan perbelanjaan persekolahan bagi yang bersekolah di SBT.
Sudah pasti bermacam-macam yuran perlu dibayar oleh ibu bapa pelajar untuk memasti prestij sekolah berkenaan terjaga dan terus unggul di tempatnya.
Jika pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, sudah pasti tanggungan pembiayaan sekolah tidak mampu disara oleh keluarga berkenaan.
Akhirnya, akan berlaku keciciran atas alasan ketidakupayaan menyekolahkan anak kerana biaya yang tinggi.
Dalam situasi hari ini juga sudah terdapat keluarga yang tidak mampu menyekolahkan anak kerana tidak berupaya menyediakan perbelanjaan persekolahan yang saban tahun meningkat.
Oleh yang demikian, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak meminta Kementerian Pelajaran meneliti semula bidang kuasa autonomi yang diberikan kepada semua SBT.
Penilaian menyeluruh adalah perlu bagi memberikan manfaat yang sewajarnya kepada semua pelajar di samping tidak mengetepikan soal kemajuan dan kebajikan pelajar Melayu.
Ini bukan bermakna pelajar Melayu kini tidak mampu bersaing atau berjuang menuju kecemerlangan.
Tetapi sebagai masyarakat majoriti di negara ini serta 'tuan' yang diuar-uarkan, sedikit keistimewaan dan kelebihan adalah perlu untuk memastikan kelangsungan demokrasi pendidikan disuburkan di negara ini serta falsafah pendidikan negara tercapai dengan jayanya.
MOHAMAD ASRI SHAFII
Exco GPMS Perak
Utusan Malaysia Online: 22 Februari 2010
Ahad, 21 Februari 2010
Guru Sains disyaki edar dadah akan digantung kerja
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini.
"Kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pelajaran Johor sebelum dapat melakukan sebarang tindakan susulan ke atas guru berkenaan dan kemungkinan laporan penuh akan diperoleh Isnin ini. Sebaik saja kita peroleh secara terperinci, barulah kita dapat mengambil tindakan.
"Antaranya, dia (guru terbabit) boleh dikenakan tindakan pentadbiran iaitu digantung kerja, ditukarkan serta merta dan di bayar separuh gaji. Semua itu bergantung kepada laporan yang bakal kita peroleh kelak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Seorang guru sains SJKC di Rengit di Batu Pahat ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.
Guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.
Alimuddin berkata, pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan profesyen perguruan yang selama ini dipandang tinggi di kalangan masyarakat.
"Dadah adalah musuh utama negara dan dia sebagai seorang pendidik tidak sepatutnya bertindak sebegitu," katanya. Kita kesal dengan kejadian ini kerana ia bukan saja mencemarkan imej perguruan tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan guru.
"Sepatutnya dia cuba membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri bertindak membekalkan bahan itu kepada pihak lain. Justeru, kita memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada individu terbabit," katanya.
Berita Harian Online: 21 Februari 2010
Polis, guru antara 44 ditahan di pusat hiburan
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dan guru adalah antara 44 orang yang ditahan kerana memiliki dan didapati positif dadah ketika sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak diserbu pagi kelmarin.
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim itu ditahan kerana positif dadah, manakala tiga lagi rakannya yang juga anggota polis turut ditahan kerana berada di pusat itu.
Tiga anggota polis itu bakal berdepan tindakan tunjuk sebab berhubung tujuan mereka berada di pusat hiburan berkenaan.
Operasi kira-kira jam 4.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman yang diketuai Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid menyerbu pusat hiburan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat, Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim serta menahan 44 orang, termasuk 14 wanita kerana positif dadah jenis syabu, ecstacy dan ketamin.
Sumber polis berkata, guru berusia 27 tahun dari Sekolah Kebangsaan Trolak itu ditahan kerana memiliki dadah ecstacy.
Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki, termasuk pengurus pusat hiburan berkenaan kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat terbabit.
Polis juga mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah bertujuan untuk digunakan ketika serbuan dibuat.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Slim River untuk tindakan lanjut dan bagi pengunjung yang disahkan positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala pengunjung yang ditahan kerana memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.
Sumber itu berkata, serbuan yang berakhir kira-kira jam 7 pagi itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kewujudan pusat hiburan yang beroperasi sehingga jam 7 pagi setiap hari sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar serta dibuka berhampiran dengan Masjid Behrang.
Polis juga sedang menyiasat lesen pusat hiburan itu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pusat hiburan itu juga sebelum ini dikatakan pernah diserbu dua kali oleh polis daripada IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lalu dan berjaya menahan tiga pengunjung yang disahkan positif dadah.
Sementara itu, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke atas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat karaoke di ibu negara selepas pusat itu diserbu sepasukan polis dari Bukit Aman kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu, bagaimanapun berjaya ditahan polis dan hasil pemeriksaan polis menemui beberapa biji pil dadah dipercayai eramin 5 untuk dijual kepada pengunjung pusat itu dan sejumlah wang tunai.
Lelaki itu ditahan bersama-sama 39 pengunjung lain yang terdiri daripada 31 lelaki dan lapan wanita termasuk seorang remaja perempuan berusia bawah 18 tahun. Ketika pemeriksaan, kira-kira 100 pengunjung berada di pusat itu dan kesemua yang ditahan di bawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.
Pusat itu yang dibuka sejak setahun lalu dipercayai menjadi tumpuan golongan elit serta menjadi tempat pengedaran dadah di kalangan pengunjung pusat berkenaan. - Bernama
Berita Harian Online: 21 Februari 2010
Sabtu, 20 Februari 2010
Kementerian nafi tiada peruntukan sambutan Hari Guru
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, menegaskan dakwaan itu tidak benar, sebaliknya beberapa ratus ribu ringgit akan diperuntukkan bagi memastikan perayaan kali ini tetap berlangsung seperti sambutan sebelumnya, walaupun kementerian menghadapi kekangan bajet pada tahun ini.
Malah, beliau berkata, tiada sebarang anugerah utama yang `digugurkan’ pada majlis kali ini atas alasan penjimatan, sebaliknya penyelarasan sewajarnya akan dibuat terhadap penganjuran program bersesuaian dengan keperluan.
“Tidak timbul soal pembaziran kerana tujuan kementerian berbelanja menganjurkan sambutan ini adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan lebih 360,000 guru di seluruh negara, sekali gus memartabatkan profesion mereka yang amat mulia.
“Perancangan rapi dibuat untuk menyambut Hari Guru di Kuantan yang dijangka dihadiri kira-kira 2,500 tetamu, malah Jawatankuasa Pengelola sudah bermesyuarat beberapa kali demi memastikan segala persediaan berjalan lancar.
“Perayaan kali ini akan diadakan seperti biasa sebagaimana tahun lalu. Selain itu, kita juga mendapat tajaan untuk menjayakan program ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Presiden NUTP, Hashim Adnan, sebagai mendakwa sambutan Hari Guru yang bakal diadakan di Pahang, Mei depan, tidak disediakan peruntukan dan kesatuan itu tidak tahu bagaimana majlis berkenaan dapat dilangsungkan.
Sementara itu, sumber Kementerian Pelajaran ketika dihubungi pula berkata, kekangan bajet tahun ini tidak akan menjejaskan penyampaian empat anugerah utama pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010, termasuk dari segi ganjaran hadiah disediakan.
Katanya, empat anugerah itu ialah Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan yang dijangka membabitkan tiga penerima, sekiranya ada calon berkelayakan, dengan masing-masing bakal memperoleh hadiah wang tunai RM10,000.
Selain itu katanya, masing-masing seorang calon akan dinobatkan untuk menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan yang juga memperuntukkan hadiah wang tunai RM10,000, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas (RM1,000) dan Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya (RM1,000).
Berita Harian Online: 20 Februari 2010
Guru edar dadah idam hidup mewah
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
BATU PAHAT: Seorang guru sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, di sini, ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.
Guru lelaki berusia 31 tahun itu baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kegiatan guru lelaki itu akhirnya dihidu polis apabila dia ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah ini, Rabu lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat seorang guru menjadikan keretanya sebagai tempat
menyimpan dan membawa bekalan dadah kepada pelanggan.
Katanya, dalam sekatan jalan raya itu, kenderaan guru terbabit ditahan polis dan hasil pemeriksaan yang dilakukan polis menemui satu paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 16.6 gram di dalam keretanya.
"Pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Namun, dia mengaku menjual dadah dengan alasan mahu menambah pendapatan. Hasil siasatan juga mendapati guru berkenaan masih bujang dan sudah mengajar di SJKC itu sejak sembilan tahun lalu," katanya di sini, semalam.
Ibrahim berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, empat lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Solok Wan Moh, di sini, pada jam 1.40 pagi kelmarin, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
"Hasil maklumat orang ramai, polis membuat serbuan di rumah itu dan menahan empat lelaki berusia antara 24 dan 33 tahun.
"Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan dua paket dadah dipercayai heroin seberat 528 gram bernilai kira-kira RM14,000. Semua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.
Berita Harian Online: 20 Februari 2010
SMK Belara lakar sejarah hantar 1,707 pucuk surat kepada PM
|
|
KUALA TERENGGANU 19 Feb. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara dekat sini melakar sejarah tersendiri apabila 1,707 pelajar sekolah itu menyertai Pertandingan Menulis Surat Untuk Perdana Menteri yang berakhir semalam.
Pengetuanya, Abdullah Mamat berkata, pelajar yang menyertai pertandingan surat itu melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam yang bermula 27 Disember tahun lalu.
Menurut beliau, pertandingan menulis surat itu merupakan idea yang amat baik dan ia menjadi salah satu cara mengasah bakat pelajar untuk menulis karangan.
"Apabila diketahui adanya pertandingan menulis surat itu perbincangan dengan guru-guru bahasa diadakan bagi membolehkan pelajar-pelajar turut serta.
"Saya mahu pelajar sekolah ini turut bersaing dan membuktikan kebolehan mereka dengan pelajar-pelajar di sekolah bandar," katanya.
Abdullah berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Pertandingan Menulis Surat Untuk Perdana Menteri kepada Pengurus Pos Negeri Mohd. Aziz Sulong di SMK Belara di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.
Menurut Abdullah, walaupun SMK Belara merupakan sebuah sekolah pinggir bandar di daerah Kuala Terengganu, tetapi ia tidak seharusnya ketinggalan dalam menyertai pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan.
Beliau juga berharap, daripada penyertaan yang dihantar itu, sekurang-kurangnya seorang pelajar daripada sekolah tersebut diumumkan sebagai pemenang daripada ribuan penyertaan di seluruh negara.
Katanya, sebelum ini sekolah tersebut telah mencapai beberapa kejayaan pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Pertandingan Menulis Esei anjuran Utusan Malaysia dan North Sport pada tahun 2008 dengan dua pemenang selain menerima anugerah penyertaan terbanyak.
Sementara pada tahun lalu, pelajar sekolah itu turut menyertai Pertandingan Seni Jawi anjuran Utusan Malaysia dengan Skill Tech Melaka, dengan lima pemenang dan anugerah penyertaan terbanyak.
Abdullah berkata, pihak sekolah akan cuba menyertai pelbagai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan untuk memberi peluang kepada pelajar membuktikan kebolehan masing-masing selain menaikkan imej sekolah.
Pertandingan Menulis Surat Untuk Perdana Menteri itu adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Pos Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Mutlimedia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Kementerian Pelajaran.
Utusan Malaysia Online: 20 Februari 2010
Jumaat, 19 Februari 2010
‘Pilihan raya umum’ SMK Rantau Panjang pilih MPP
|
|
RANTAU PANJANG 18 Feb. – Pilihan raya umum memberi peluang kepada rakyat menentukan kepimpinan negara yang merupakan sebahagian daripada proses demokrasi di negara ini.
Namun masih ramai layak untuk mengundi, tidak menunaikan kewajipan itu sedangkan ia begitu penting bagi mencorak masa depan negara.
Sehubungan itu, Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Rantau Panjang, baru-baru ini cuba mendekatkan para pelajar dengan memberikan kesedaran, pendedahan dan pengalaman sebenar ‘perjalanan pilihan raya umum’ tersebut.
Mengambil garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya umum, sekolah menengah itu mengadakan pilihan raya bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tingkatan enam.
Lebih menarik, perjalanan proses itu dipantau sepenuhnya oleh pihak SPR yang memberikan kerjasama bagi menjayakannya dengan memastikan syarat dan peraturan diikuti.
Para pelajar akan melalui proses penamaan calon, diberikan tempoh berkempen bagi menyatakan manifesto mereka dalam membawa hala tuju sekolah dan pemasangan poster bagi meraih sokongan.
Pada hari pengundian, SPR telah membuka kaunter bagi bekas pelajar mendaftar sebagai pengundi di samping guru-guru dan kakitangan sekolah menyemak semula nama masing-masing bagi tujuan kelayakan mengundi.
Pengetuanya, Abdullah Yaakub memberitahu Utusan Malaysia, pendekatan tersebut adalah medium kepada pelajar merasai sendiri pengalaman suasana pilihan raya umum.
‘‘Langkah ini bagi memberi lebih pemahaman terutama kepada pelajar tingkatan enam yang mempelajari subjek Pengajian Am serta menghayati sistem perundangan di Malaysia,’’ katanya.
Abdullah menambah, amalan tersebut akan diteruskan pada masa akan datang dan mungkin menjadi tradisi sekolah hasil sambutan yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar yang terlibat.
‘‘Selain pelajar tingkatan enam, pelajar lain yang menjadi pemerhati turut teruja dengan sistem pemilihan yang diperkenalkan
‘‘Suasana meriah dapat dirasakan di kalangan warga sekolah menjelang hari penamaan calon, apabila pelajar di bawah bimbingan beberapa orang guru diberikan kebebasan memancing undi pada tempoh berkempen seperti yang dilakukan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.
Dalam pemilihan itu, seramai 19 calon bertanding bagi merebut 11 jawatan iaitu tiga untuk ahli majlis tertinggi manakala selebihnya bagi memilih ahli jawatankuasa.
Pada pilihan raya itu, Mohd. Taufik Ismail diumumkan sebagai Yang Dipertua MPP, menewaskan tiga lagi calon apabila memperoleh 56 undi manakala Noor Hidayat Abdul Hamid memenangi jawatan timbalan dan setiausaha disandang Siti Shazleen Sudin.
Barisan kepimpinan pelajar sesi 2010 itu merupakan pelajar tingkatan enam atas.
Utusan Malaysia Online: 19 Februari 2010
Khamis, 18 Februari 2010
NUTP gesa BTN adakan kursus kenegaraan untuk guru
Ramai guru yang masih belum disahkan jawatan bimbang kerana BTN berkemungkinan tidak mengadakan kursus, sedangkan kursus itu perlu dihadiri bagi pengesahan jawatan.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pelajaran atas alasan peruntukan yang tidak mencukupi.
“Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana salah satu syarat diwajibkan kerajaan untuk disahkan jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.
“Apabila mereka tidak sah jawatan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara satu hingga tiga tahun, mereka tidak boleh membuat pinjaman rumah dan kereta, selain tidak dapat menyambung pelajaran, ini yang membimbangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Lok berkata, pihaknya turut difahamkan, hanya satu kursus BTN untuk kumpulan itu yang diadakan pada tahun lalu sedangkan begitu ramai guru yang layak untuk disahkan jawatan setiap tahun.
“Kita minta pihak berkaitan bertindak supaya masalah ini diselesaikan dengan baik. Kalau dasarnya perlu diadakan, maka ia patut diadakan supaya guru dapat menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.
Berita Harian Online: 18 Februari 2010
Rabu, 17 Februari 2010
Pengorbanan guru baru dituntut
Sesungguhnya mereka semua di pedalaman amat memerlukan dan dahagakan ilmu. Bantu dan berkorbanlah sedikit untuk masa depan mereka. Sekiranya cadangan itu berjaya, biarlah ia dilakukan secara telus dan tegas tanpa memilih bulu.
Tiada pengecualian bagi setiap guru baru... sama ada yang sudah berkahwin atau bujang tanpa mengira jantina. Dewasa kini, saya dapati ramai dan majoritinya di kalangan bakal guru wanita yang akan berkahwin pada saat mereka akan diberikan penempatan sebagai helah supaya ditempatkan di kawasan bandar serta berdekatan dengan tempat kerja suami masing-masing.
Helah ini bagi mengelak ditempatkan di kawasan yang jauh serta berada di pedalaman. Jika tidak dapat di kawasan yang dikehendaki, mereka akan berterusan merayu dan merayu agar ditempatkan di tempat tidak berapa jauh dengan kediaman mereka.
Dalam erti kata lain, ia umpama 'buka saja pintu rumah, terus nampak sekolah'. Pelbagai alasan lain juga diberikan. Kebiasaannya jarak rumah yang terlalu jauh (walaupun tidak jauh sebenarnya), hendak menjaga ibu atau bapa yang sakit, tiada kenderaan hendak ke sekolah, tidak tahu memandu, suami selalu kerja 'out-station' dan sebagainya. Ada kalanya pelbagai alasan pelik turut diberikan.
Pada hemat saya, sikap segelintir guru sebegini menunjukkan mereka sebenarnya tiada minat mendalam atau kesungguhan untuk bekerja sebagai seorang guru.
WAJA 2002,
Shah Alam.
Berita Harian Online: 17 Februari 2010
Guru pondan mungkin dipindah
MELAKA: Guru lelaki berusia 41 tahun yang dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) malam kelmarin, atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh, berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditukarkan tempat kerja jika terbukti melakukan kesalahan berlagak perempuan.
Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu, berkata beliau perlu menunggu laporan lengkap berhubung siasatan terhadap guru sekolah rendah terbabit sebelum sebarang tindakan susulan diambil. “Saya akan mendapatkan laporan lengkap dan terperinci mengenai perkara berkenaan sebelum buat sebarang keputusan.Saya juga akan meneliti siasatan berhubung butiran peribadi lelaki itu sama ada beliau benar-benar seorang guru. “Jika terbukti beliau seorang guru dan melakukan kesalahan kita akan tentukan apakah bentuk tindakan disiplin dan tatatertib yang bersesuaian,” katanya, ketika diminta mengulas laporan akhbar ini semalam berhubung seorang guru sekolah rendah di Bukit Rambai, dekat sini ditahan penguat kuasa Jaim kerana didapati berlagak wanita di Taman Astakona, Bandar Hilir, dekat sini, awal pagi kelmarin. Isa berkata kejadian berkenaan adalah yang kedua dilaporkan media selepas kes membabitkan seorang guru yang ditahan bersama 15 pondan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada 25 Julai 2008, kerana menyertai pertandingan ratu cantik ‘mak nyah’ di sebuah pusat peranginan di Bachok, Kelantan.
myMetro: 17 Februari 2010
Tiada guru Pendidikan Islam
SABAN hari akhbar dan TV bercerita mengenai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Tetapi kami ibu bapa pelajar di SJK(C) Pei Hwa Pedas, Rembau, masih lagi tertanya-tanya kerana setelah masuk bulan ke dua persekolahan anak-anak kami masih lagi ketiadaan guru bagi subjek Pendidikan Islam.
Adakah kerana status SJKC maka masalah ini dipandang sebelah mata oleh pihak berkenaan? Sekolah ini bukan terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak tetapi hanya satu jam perjalanan ke Putrajaya melalui lebuh raya.
Adakah kementerian yang bertanggungjawab tidak memandang masalah ini sehingga berlarutan saban tahun setiap kali penggal baru persekolahan bermula? Kami sebagai ibu bapa sangat sedih dan kecewa bila melihat jadual peperiksaan yang akan bermula pada awal bulan Mac tidak lama lagi, sedangkan buku pendidikan Islam masih tidak 'terusik'.
Kementerian mengatakan pencalonan SBT terbuka kepada semua jenis sekolah yang ada di negara ini sedangkan kami sebagai ibu bapa merasakan hak anak-anak kami yang beragama Islam di SJKC Pei Hwa dinafikan. Ketiadaan guru akan melemahkan pencapaian anak-anak kami. Anak-anak kami yang bersekolah di SJKC mempunyai matlamat 7A berbanding 5A di SJK.
Tiada guna kita melahirkan SBT jika masalah ketiadaan guru masih lagi berlaku saban tahun. Jikalau hendak bertanding dan berlumba sekalipun biarlah di atas gelanggang yang sama rata. Kami sebagai ibu bapa kepada pelajar-pelajar Islam di SJKC Pei Hwa Pedas amat berharap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin.
NIZAM
Rembau, Negeri Sembilan
Utusan Malaysia Online: 17 Februari 2010
Kementerian jelaskan pelantikan guru besar
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat MIDMAN, Gua Musang, Kelantan dalam ruangan ini pada 1 Februari 2010 bertajuk 'Teliti laluan jadi Guru Besar'.
Untuk makluman penulis, semua jawatan Guru Besar di sekolah rendah merupakan jawatan-jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 dan DGA34. Memandangkan ia adalah jawatan-jawatan kenaikan pangkat bagi PPPLD, maka seharusnya keutamaan di beri kepada PPPLD yang layak dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) bagi pemangkuan dari Gred DGA29 ke Gred DGA32 dan dari Gred DGA32 ke DGA34 untuk mengisi kekosongan yang berlaku.
Walau bagaimanapun, terdapat Guru Besar yang telah melanjutkan pelajaran secara PJJ bagi mendapatkan Ijazah pertama. Mereka ini telah dikekalkan sebagai Guru Besar di sekolah asal secara Khas Untuk Penyandang (KUP) setelah pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Keputusan pengekalan ini adalah sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meneruskan kesinambungan kepakaran dan kepimpinan mereka di sekolah rendah.
Oleh yang demikian, Guru-Guru Penolong yang telah dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah tidak layak untuk mengisi jawatan Guru Besar yang dinyatakan seperti di atas dan kerana tidak lagi berada di dalam skim perkhidmatan PPPLD bagi membolehkan dipertimbangkan mengisi jawatan guru Besar Gred DGA32/DGA34 di sekolah rendah.
Walau bagaimanapun, selaras dengan pelaksanaan Dasar Pensiswazahan yang mana KPM berhasrat untuk mempunyai 50% guru-guru di sekolah rendah terdiri daripada guru siswazah, pihak KPM sedang menjalankan kajian Model Perjawatan Sekolah Rendah dengan mengambilkira isu-isu perjawatan dan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah rendah.
Cadangan Model Perjawatan ini akan mengambil masa kerana memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam. Oleh itu cadangan ini dijangka akan dapat dikemukakan kepada Agensi Pusat selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
SOLIHAN BADRI
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia
Utusan Malaysia Online: 17 Februari 2010
Opsyen Matematik ajar BI, 25 tahun kerja gagal jadi Guru Cemerlang
SAYA seorang guru yang telah mengajar Bahasa Inggeris selama hampir 25 tahun memohon untuk Guru Cemerlang DGA34 Bahasa Inggeris. Permohonan saya ditolak walau pun telah berjaya di dalam mendidik murid-murid sama ada dalam bidang kurikulum atau ko-kurikulum.
Saya pernah menjadi Jurulatih Pusat dan melatih Jurulatih Negeri untuk ETeMs kohort keempat. Pengalaman mengajar Bahasa Inggeris daripada Tahun 1 sehingga Tingkatan 5. Juga mengajar di sekolah menengah selama 19 tahun dan kini berkhidmat di sekolah rendah. Rasanya satu pengalaman yang jarang dirasai oleh mana-mana guru di Malaysia.
Saya juga diberi tanggung jawab untuk melatih public speaking, story telling, choral speaking dan pernah menjadi penguji untuk ujian lisan Bahasa Inggeris SPM.
Apabila bersemuka dengan pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan ingin tahu mengapa saya tidak layak sedangkan Guru Besar pun sudi untuk memberikan penilaian yang bagus, jawapannya ialah saya bukan guru opsyen Bahasa Inggeris! Saya adalah guru opsyen Matematik yang pada tahun pertama mengajar sudah diminta mengajar Bahasa Inggeris kerana berkelulusan Malaysia Certificate of Education (MCE) dari sebuah sekolah elit di Kuala Lumpur.
Semasa rakan-rakannya sudah menjawat jawatan Guru Besar, saya tetap ingin menjadi guru biasa dan terus mengajar. Timbul keinginan saya untuk mendapat GC DGA34. Maka saya pun memohon GC DGA34 setelah hampir 10 tahun menjadi penyandang DGA32.
Saya berharap dapatlah kiranya pihak yang berkenaan pandanglah guru-guru yang senasib dengan saya. Iktiraflah mereka sebagai guru Bahasa Inggeris juga walau pun mereka bukan opsyen berkenaan dan tidak pernah menyertai kursus conversion kerana memikirkan ia tidak perlu.
Peluang untuk memohon dan menjadi Guru Cemerlang Matematik ibarat jauh panggang dari api. Pengalaman mengajar Matematik adalah jauh lebih sedikit dibandingkan dengan mengajar Bahasa Inggeris. Tiada sumbangan luar yang boleh diiktiraf di dalam bidang ini kerana tenaga saya sentiasa diperlukan untuk mengajar Bahasa Inggeris walau di sekolah mana saya bertugas.
Saya akur dan seronok dapat mencurahkan ilmu Bahasa Inggeris kepada anak murid. Pengiktirafan murid yang jarang memanggil cikgu tetapi teacher memang menyeronokkan, ditambah pula di kampung, emak ayah pun memanggil teacher juga.
Namun teacher ini juga berharap mendapat pengiktirafan daripada pihak-pihak yang lebih arif agar ‘teacher’ ini lebih bersemangat untuk menjadi teacher sehingga pencen.
TEACHER, Maran, Pahang
Utusan Malaysia Online: 17 Februari 2010
Selasa, 16 Februari 2010
Jabatan Pelajaran digalak anjur kegiatan di sekolah
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yakin langkah itu tidak akan menjejaskan kursus dan aktiviti yang dijalankan kerana banyak sekolah sudah mempunyai kemudahan terutama dewan yang lengkap dengan pendingin hawa.
"Saya sendiri menggunakan dewan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NRKA), minggu lalu
"Jadi, saya yakin penggunaan premis sendiri berbanding hotel tidak akan menjejaskan kursus dan aktiviti dijalankan, selain tidak akan menjejaskan usaha kita meningkatkan dan memartabatkan taraf profesionalisme guru," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun langkah itu bukan bermakna Kementerian Pelajaran melarang terus penganjuran kursus dan aktiviti di hotel kerana dewan sekolah mampu menampung bilangan peserta yang ramai sehingga 500 orang.
"Jika peserta ramai, mereka boleh mempertimbangkan menganjurkan kursus dan aktiviti itu di hotel," katanya.
pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan tidak lama lagi.
Berita Harian Online: 16 Februari 2010
Minda Pengarang: Pastikan tiada guru 'tangkap muat' ajar kurikulum baru BI
Melalui kurikulum baru itu, murid sekolah akan mengikuti pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih menarik dengan pendekatan sesuai yang memberi penekanan terhadap aspek penguasaan bertutur dan menulis dalam bahasa itu. Kementerian Pelajaran sudah menyiapkan kurikulum baru itu dan inilah pendekatan yang lebih sesuai. Malah pakar sebelum ini mengakui murid boleh menguasai bahasa Inggeris sejak di bangku prasekolah lagi kerana kanak-kanak seawal umur empat tahun mempunyai kelebihan dalam menguasai sesuatu perkara dengan cepat kerana minda mereka bersifat terbuka, selain gemar meneroka.
Apabila kurikulum baru bahasa Inggeris untuk murid Tahun Satu dimulakan tahun depan, apa yang diperlukan cuma guru yang benar-benar berkelayakan dan mampu menguasai pelbagai kemahiran bagi mengaplikasikan pengetahuan secara lebih berkesan. Kita yakin hasrat kerajaan itu akan berjaya dengan syarat ia disokong persekitaran ceria serta proses pengajaran dan pembelajaran yang kreatif. Ini memerlukan kebolehan guru untuk menarik minat murid supaya kemahiran bahasa Inggeris mampu diterapkan dengan mudah dalam pemikiran kanak-kanak. Untuk tujuan itu juga, kerajaan akan mengambil 365 tenaga pengajar pakar bahasa Inggeris dari luar negara, termasuk United Kingdom dan Australia secara kontrak yang akan dibahagikan mengikut zon untuk membimbing guru Bahasa Inggeris tempatan teknik pengajaran yang dapat membantu murid menguasai bahasa itu dengan lebih baik. Dalam hubungan ini juga, universiti tempatan perlu memainkan peranan melahirkan graduan berkelayakan bagi memenuhi keperluan sumber tenaga pendidikan awal kanak-kanak pada masa depan. Jika tidak kita akan terus mengharapkan bantuan tenaga pakar guru dari luar negara. Kita percaya langkah terbaru diambil kerajaan itu akan membolehkan pengajaran Bahasa Inggeris menjadi lebih baik, bukan membosankan atau menyukarkan murid seperti penggunaan bahasa asing itu dalam subjek Sains dan Matematik sebelum ini.
Berita Harian Online: 16 Februari 2010
Tak layan rayuan cikgu pondan
am@hmetro.com.my
2010/02/16
MELAKA: “Abang...tolong lepaskan saya bang, saya tak bersalah...saya (janji) tak buat lagi!“ Itulah rintihan seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), ketika ditahan kerana berlagak seperti wanita di kawasan tumpuan pondan di Taman Astakona atau lebih dikenali ‘Taman Asmara’, Bandar Hilir awal pagi semalam.
DICEKUP...kakitangan Jaim bersama anggota MBMB menahan seorang guru lelaki berpakaian wanita, awal pagi semalam.
Ia dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan diketuai Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komunitinya, Mohd Derus Tompang dan turut disertai Polis Tentera.
Terdahulu, lelaki berusia 40 tahun dan mendakwa secara lisan kepada pegawai Jaim dia seorang guru Sains dan Matematik di Bukit Rambai itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa agama kira-kira jam 4.25 pagi semalam.
Namun, beliau yang ketika itu memandu kereta Proton Gen-2 gagal memboloskan diri berikutan jalan keluar dari taman itu disekat di lorong belakang Medan Selera Samudera, Bandar Hilir oleh kereta penguat kuasa. Dia yang bertubuh besar dan berambut pendek ditahan sekumpulan penguat kuasa Jaim selepas berlaku pergelutan, manakala ‘teman lelakinya’ dapat melepaskan diri.
Selepas berkali-kali merayu dan merintih, lelaki terbabit yang berasal dari Taman Desa Baru, Batu Berendam dekat sini, akhirnya pasrah apabila menyedari pegawai Jaim tidak termakan pujukan itu.
Wartawan akhbar ini yang mengikuti operasi bersepadu itu mendapati guru terbabit mengenakan gaun pendek bercorak bunga dengan mendedahkan bahagian dada dan paha serta memakai rambut palsu dan selipar labuci.
Dia kemudiannya digari dan selepas soal jawab serta dokumen peribadinya diperiksa, dia dibawa menaiki keretanya sendiri yang dipandu anggota Jaim ke Balai Polis Melaka Tengah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, lelaki terbabit yang sudah diambil keterangannya dan dibebaskan dengan jaminan selepas dikeluarkan saman hadir di mahkamah.
Beliau berkata, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 kerana berlagak seperti wanita, jika disabitkan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.
Rahimi, berkata, Jaim turut menahan dua pasangan pelajar institusi pengajian tinggi di Johor yang tidur di dalam kereta berasingan berdekatan Medan Selera Samudera.
myMetro: 16 Februari 2010
Isnin, 15 Februari 2010
Guna khidmat guru Asia Barat ajar Bahasa Arab
KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Kerajaan Terengganu akan mengambil 16 orang lagi guru bahasa Arab dari negara Asia Barat dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran bahasa tersebut di kalangan pelajar sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program perintis pengambilan guru bahasa Arab itu telah pun bermula pada tahun lepas dan kini menunjukkan hasil yang memuaskan.
Katanya, dalam projek perintis tahun lepas, seramai 13 guru bahasa Arab dari Sudan dan Syria telah diambil dan hasilnya ia banyak membantu pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Arab.
Sehubungan itu, katanya, tahun ini, ditambah lagi 16 orang guru bahasa Arab dari Mesir serta Sudan dan mereka akan ditempatkan di SABK di seluruh Terengganu tidak lama lagi.
“Sebelum ini kebolehan pelajar Terengganu di sekolah-sekolah agama dalam subjek bahasa Arab agak lemah.
“Dengan pengambilan guru-guru bahasa Arab berkenaan ia akan memberi satu kelainan dalam suasana pembelajaran yang mana komunikasi secara langsung dengan guru dalam bahasa Arab akan memberi lebih keyakinan kepada pelajar untuk menguasai bahasa itu,’’ katanya. - Bernama
Utusan Malaysia Online: 15 Februari 2010
Ahad, 14 Februari 2010
Kurikulum baru BI diperkenal 2011
BESUT 13 Feb. - Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris dalam usaha memantap dan memperkasakan pembelajaran dan pengajaran bahasa itu di semua sekolah seluruh negara mulai tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya telah menyiapkan kurikulum baru itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi penggunaan Bahasa Inggeris British bagi memastikan impian menjadi suatu realiti.
Katanya, langkah itu sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran yang mahu memastikan semua pelajar di negara ini mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa selain Bahasa Melayu.
'' Kurikulum baru itu amat menarik dan memenuhi cita rasa pelajar apabila diperkenalkan bagi membolehkan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa antarabangsa itu secara meluas.
''Ia akan diguna pakai tahun depan untuk murid tahun satu dengan konsep yang digunakan lebih kepada pembelajaran secara interaktif (fun learning) seperti penggunaan seni bahasa (Language Arts), tata bahasa, penggunaan sebutan dan pertuturan secara betul," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan demikian selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong,Jerteh dekat sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh, wakil rakyat dan pemimpin pelbagai peringkat.
Dalam majlis itu Muhyiddin meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud bagi membolehkan sekolah itu menjadi peneraju dalam mencipta kejayaan dalam pelajaran.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sejajar dengan usaha itu, Kementerian Pelajaran juga akan mengambil 365 guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara bagi membolehkan mereka mengajar dan mendidik guru Bahasa Inggeris sedia ada di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah ke arah memastikan proses pengajaran bahasa antarabangsa tersebut berjalan lancar.
Katanya, penempatan mereka dibuat secara kontrak bagi membolehkan usaha secara terancang dapat dilakukan.
''Selain penempatan guru pakar, guru sedia ada di negara ini juga akan dilatih dengan pelbagai insentif dan galakan. Melalui tindakan demikian ia bakal menjadi suatu rangsangan untuk melakukan sesuatu ke arah yang lebih baik," katanya.
Utusan Malaysia Online: 14 Februari 2010
Cadang wajib guru baru di pedalaman
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata pihaknya tidak lagi akan menempatkan guru baru di kawasan bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti kini.
"Biar mereka tahu bagaimana pengalaman bekerja sebagai pendidik terutama di kawasan pedalaman yang kadang-kala memerlukan kesabaran berikutan kesukaran hidup di kawasan berkenaan.
"Ini masih pada peringkat cadangan dan kajian mengenainya sedang dilaksanakan," katanya selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sekitar Parlimen Balik Pulau dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Berita Harian Online: 14 Februari 2010
Ganjaran pengetua cemerlang
Oleh Abdul Halim Yusoff dan Suraya Roslan
bminggu@bharian.com.my
MUHYIDDIN menyampaikan sijil penghargaan kepada murid Orang Kurang Upaya cemerlang UPSR, Siti Nurfarah Hanim Azman yang didukung bapanya, Azman Mohamad sambil diperhatikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di Besut, Terengganu, semalam. |
Pencapaian sekolah jadi kayu pengukur prestasi
KUALA TERENGGANU: Guru besar dan pengetua yang berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan akan diberikan ganjaran dan insentif, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penilaian prestasi mula dilakukan tahun ini dengan setiap pencapaian sekolah jadi pengukur prestasi guru besar atau pengetua.
"Imbuhan turut dirasai guru dan ini memberikan galakan kepada pengetua, guru besar dan guru berusaha lebih keras meningkatkan prestasi sekolah," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu Ke-31 dan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak memperjelaskan ganjaran atau insentif berkenaan.
Beliau memuji kerajaan Terengganu kerana memberi komitmen besar bidang pendidikan dengan mengiktiraf negeri itu sebagai peneraju bidang pelajaran.
"Ini dapat dilihat melalui peruntukan besar kepada pendidikan, selain memberi bantuan kepada pelajar memperoleh buku elektronik dan imbuhan kecemerlangan," katanya.
Beliau berkata, komitmen itu menjadikan Terengganu negeri yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sembilan tahun berturut-turut.
Katanya, negeri itu berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Muhyiddin berkata, walaupun tiada sekolah di Terengganu yang disenaraikan antara 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, ia tidak bermakna kerajaan meminggirkan negeri itu kerana masih kekurangan dalam satu dua perkara.
"Dengan usaha semua pihak saya pasti, banyak sekolah di negeri ini tersenarai pada masa akan datang," katanya.
Beliau turut menyampaikan sijil kepada 106 sekolah cemerlang di Kuala Terengganu dan sumbangan RM100,000 daripada Jabatan Perdana Menteri kepada Persatuan Pengusaha Keropok Losong.
Berita Harian Online: 14 Februari 2010
Sabtu, 13 Februari 2010
PLAN-J sasar Johor ke-5 terbaik
editjohor@utusangroup.com.my
JOHOR BAHRU 12 Feb. – Seramai 685,132 warga sekolah di negeri ini dijangka menikmati faedah menerusi program Piawaian Latihan Akademik Negeri Johor (PLAN-J) yang disasarkan untuk meletakkan Johor di tangga kelima terbaik di peringkat kebangsaan tahun depan.
Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, PLAN-J yang dilaksanakan dalam jangka masa tiga tahun mulai tahun lalu juga merupakan penanda aras untuk melahirkan seberapa banyak Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini.
Menurutnya, PLAN-J merupakan satu standard akademik kepada pengiraan pembelajaran dan latihan.
“Berdasarkan perangkaan, menerusi program itu seramai 630,000 pelajar, 42,000 guru dari 1,132 sekolah dan 12,000 kakitangan sokongan akan melaksana, menterjemah dan menikmati faedah daripada PLAN-J.
“Kesan besar daripada pelaksanaan program itu telah menunjukkan hasil, menerusi pencapaian membanggakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang telah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 2.21 dan meletakkan Johor di tangga keempat terbaik pada tahun lalu.
“Maka cabaran yang sedang menanti seluruh warga sekolah pada tahun ini, kita mahu GPS bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada di tahap yang cukup mantap,” katanya selepas melancarkan PLAN-J di sini.
Sufaat memberitahu, program tersebut yang dirangka oleh pakar-pakar perunding mata pelajaran akan memandu arah pelajar dalam menyiapkan latihan yang diberikan secara berkesan.
“Program ini juga cukup realistik iaitu dua format disediakan masing-masing untuk sekolah rendah dan menengah dengan latihan yang perlu diselesaikan sebaik mungkin.
“Ini bermakna pelajar bukan sekadar faham mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran, tetapi latihan menerusi PLAN-J merupakan pelengkap kepada kecemerlangan sekolah termasuk SBT dan harapan untuk menduduki di tangga kelima terbaik di peringkat nasional,” katanya.
Utusan Malaysia dimaklumkan, pada 2008, Johor mencatatkan GPS 10 terbaik di peringkat kebangsaan.
Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2010
Guru agama didakwa cabul murid
MUAR 12 Feb. - Seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul kehormatan empat murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Sagil, Ledang.
Bagi keempat-empat tuduhan itu, Samsul Bahri Saleh, 36, didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik darjah di sekolah tersebut antara tahun lalu dan 8 Februari ini.
Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Samsul Bahri mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan.
Pendaftar Mahkamah Sesyen Muar, Nor'iza Mohamed menetapkan ikat jamin berjumlah RM24,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan tarikh sebutan semula pada 15 April ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2010
500 sekolah taraf lima bintang
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 12 Feb. - Kementerian Pelajaran menyasarkan 500 daripada 10,000 sekolah seluruh negara mencapai taraf sekolah lima bintang hujung tahun ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penarafan itu berdasarkan Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS) yang merupakan satu set piawaian bagi mengukur pencapaian sekolah dalam empat bidang iaitu penggunaan, modal insan, aplikasi dan infrastruktur.
"Pada tahun lalu 8,454 sekolah ditarafkan. Daripada bilangan ini, 7,575 sekolah berjaya ke tahap tiga hingga lima bintang," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Pembentangan Laporan dan Majlis Penghargaan bagi Program Sekolah Bestari Luar Bandar di Hotel Marriot di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Baldisham Ghazali.
Menurut Alimuddin, 35 sekolah luar bandar akan ditambah ke dalam Program Sekolah Bestari Luar Bandar pada fasa kedua tahun ini.
Beliau berkata, penambahan itu juga secara tidak langsung mempercepat proses pembestarian sekolah luar bandar yang sebelum ini bermula dengan 15 sekolah pada tahun lalu.
Katanya, program tersebut diguna pakai untuk pelaksanaan 88 sekolah bestari penanda aras yang disesuaikan untuk pelaksanaan sekolah luar bandar.
"Sekolah tersebut dipilih daripada kategori menengah harian, sekolah kebangsaan, sekolah teknik vokasional, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah pendidikan khas, sekolah Felda dan sekolah Orang Asli atau Penan.
"Sekolah luar yang dipilih juga perlu mempunyai kemudahan asas bekalan elektrik 24 jam, mempunyai infrastruktur asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti asas makmal komputer, Pusat Akses Sekolah dan mendapat kemudahan Schoolnet," jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu, sekolah tersebut sekurang-kurangnya perlu mencapai tahap penarafan tahap tiga bintang berdasarkan SQSS.
Ditanya mengenai pelbagai pelaksanaan label sekolah seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), sekolah kluster, sekolah berasrama penuh (SBP), beliau berkata perkara tersebut tidak membawa banyak perbezaan.
"Apa yang membezakan hanya program yang dikhususkan kepada sekolah tersebut sahaja.
"Pada dasarnya hanya terdapat tiga jenis sekolah asal iaitu sekolah bantuan penuh kerajaan, sekolah bantuan modal dan sekolah swasta sahaja," katanya.
Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2010
Bapa ala Rambo
SEREMBAN: Seorang bapa pelajar sebuah sekolah menengah di Senawang, dekat sini, yang membawa ‘pisau Rambo’ ke sekolah itu pagi kelmarin, dipercayai akibat hilang sabar dengan tindakan pengurusan sekolah membuang anaknya dari sekolah itu kerana masalah disiplin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi kelmarin di bilik pejabat sekolah berkenaan selepas bapa pelajar tingkatan empat itu yang dikatakan tidak puas hati dengan pengurusan sekolah itu menemui Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bagi membincangkan masalah itu. Sumber memberitahu, bapa pelajar lelaki berusia lingkungan 40-an itu mendapat tahu anaknya dibuang sekolah minggu lalu disyaki kerana masalah disiplin. Menurutnya, lelaki itu hilang sabar kerana anaknya itu masih berminat untuk meneruskan persekolahan di sekolah terbabit. “Kira-kira jam 9 pagi (kelmarin) bapa terbabit datang ke pejabat sekolah berkenaan bersama anaknya untuk menemui pihak pengurusan sekolah bagi membincangkan masalah itu dan turut membawa bersama sebilah pisau Rambo. “Lelaki berkenaan berbincang dengan Guru Penolong Kanak Hal Ehwal Murid dalam bilik guru kerana ketika itu guru berkenaan memangku tugas Pengetua sekolah itu,” katanya. Katanya, perbincangan itu menjadi ‘panas’ kerana dipercayai masing-masing cuba pertahankan alasan sendiri. Sumber itu berkata, bimbang kejadian buruk mungkin berlaku seorang kakitangan pejabat sekolah itu menghubungi Balai Polis Senawang bagi mendapatkan bantuan. Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari balai polis terbabit bergegas ke pejabat sekolah itu sebelum membawa lelaki dan anaknya beredar daripada sekolah berkenaan dipercayai ke balai polis itu. “Saya difahamkan bapa pelajar itu kini tinggal bersama anaknya selepas berpisah dengan isterinya beberapa bulan lalu. “Saya kesal dengan kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan imej sekolah, sepatutnya pengurusan sekolah mengambil tindakan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar, bukan membuang pelajar,” katanya yang turut mempunyai anak yang bersekolah di sekolah itu. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohammad, ketika dihubungi semalam, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengurusan sekolah berkenaan, petang semalam. “Saya dimaklumkan secara lisan mengenai kejadian itu ketika mengadakan perbincangan dengan pentadbir sekolah itu semalam (kelmarin) dan pihak sekolah sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu, bagaimanapun menarik balik laporan itu hari ini (semalam). “Setakat ini, saya belum menerima laporan kejadian itu daripada pihak sekolah dan sudah mengarahkan pihak berkenaan menghantar segera laporan untuk tindakan lanjut,” katanya.myMetro: 13 Februari 2010
Jumaat, 12 Februari 2010
Lapan murid perempuan dakwa dicabul ustaz gatal
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
Perbuatan terbongkar selepas diadu kepada guru kaunseling
TANGKAK: Sekurang-kurang lapan murid perempuan Tahun Empat mendakwa menjadi mangsa cabul apabila bahagian paha dan alat sulit diraba serta buah dada mereka diramas oleh seorang ustaz yang mengajar al-Quran dalam kelas pendidikan Islam di sebuah sekolah, dekat sini, 1 Februari lalu.
Kejadian terbongkar selepas sekumpulan murid perempuan itu membuat aduan kepada guru kaunseling sekolah berkenaan mengenai perbuatan ustaz berusia 30-an berkenaan ketika sesi persekolahan kelmarin.
Berikutan itu, keluarga lapan murid terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8 malam kelmarin dan awal pagi semalam, dan semua murid berkenaan turut dibawa membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tangkak (HT).
Difahamkan, ramai lagi murid sekolah itu turut menjadi mangsa ustaz terbabit dan siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa.
Seorang ibu mangsa, berusia 41, berkata beliau tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang seolah-olah trauma dan takut untuk ke sekolah sejak awal tahun ini mempunyai kaitan dengan perbuatan ustaz yang didakwa mencabul anaknya.
Katanya, sebelum ini anaknya sering menangis dan memberi alasan tidak sihat untuk ke sekolah dan keadaan itu semakin ketara sejak awal bulan ini menyebabkan beliau menghantar anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi disahkan tidak menghidap sebarang penyakit.
"Akhirnya selepas berulang kali dipujuk, akhirnya anak saya mendedahkan bahawa seorang ustaz di sekolahnya meraba badannya dan meramas buah dadanya sehingga beliau takut dan sering menangis," katanya di HT, di sini semalam.
Beliau berkata, anaknya turut memaklumkan bahawa ustaz itu sudah melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu dan semakin serius sejak sesi persekolahan tahun ini sehingga menyebabkan anaknya sentiasa trauma untuk ke sekolah dan sering demam.
Seorang bapa mangsa, berusia 42, pula berkata perbuatan ustaz itu terbongkar selepas anaknya bersama beberapa lagi rakannya mengadu kepada seorang guru kaunseling sekolah berkenaan.
Katanya, anaknya mendakwa ustaz itu merabanya sehingga paha ketika mengajar kelas tambahan untuk meningkatkan kemahiran membaca al-Quran yang diadakan pada setiap Isnin.
"Susulan itu saya menghubungi ibu bapa keluarga lain yang kemudian turut dimaklumkan bahawa anak mereka turut menjadi mangsa ustaz yang turut digelar sebagai ustaz gatal di sekolah berkenaan menyebabkan mereka bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dan siasatan sedang dijalankan.
Berita Harian Online: 12 Februari 2010