Sabtu, 13 Februari 2010

Bapa ala Rambo

SEREMBAN: Seorang bapa pelajar sebuah sekolah menengah di Senawang, dekat sini, yang membawa ‘pisau Rambo’ ke sekolah itu pagi kelmarin, dipercayai akibat hilang sabar dengan tindakan pengurusan sekolah membuang anaknya dari sekolah itu kerana masalah disiplin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi kelmarin di bilik pejabat sekolah berkenaan selepas bapa pelajar tingkatan empat itu yang dikatakan tidak puas hati dengan pengurusan sekolah itu menemui Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bagi membincangkan masalah itu. Sumber memberitahu, bapa pelajar lelaki berusia lingkungan 40-an itu mendapat tahu anaknya dibuang sekolah minggu lalu disyaki kerana masalah disiplin. Menurutnya, lelaki itu hilang sabar kerana anaknya itu masih berminat untuk meneruskan persekolahan di sekolah terbabit. “Kira-kira jam 9 pagi (kelmarin) bapa terbabit datang ke pejabat sekolah berkenaan bersama anaknya untuk menemui pihak pengurusan sekolah bagi membincangkan masalah itu dan turut membawa bersama sebilah pisau Rambo. “Lelaki berkenaan berbincang dengan Guru Penolong Kanak Hal Ehwal Murid dalam bilik guru kerana ketika itu guru berkenaan memangku tugas Pengetua sekolah itu,” katanya. Katanya, perbincangan itu menjadi ‘panas’ kerana dipercayai masing-masing cuba pertahankan alasan sendiri. Sumber itu berkata, bimbang kejadian buruk mungkin berlaku seorang kakitangan pejabat sekolah itu menghubungi Balai Polis Senawang bagi mendapatkan bantuan. Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari balai polis terbabit bergegas ke pejabat sekolah itu sebelum membawa lelaki dan anaknya beredar daripada sekolah berkenaan dipercayai ke balai polis itu. “Saya difahamkan bapa pelajar itu kini tinggal bersama anaknya selepas berpisah dengan isterinya beberapa bulan lalu. “Saya kesal dengan kejadian ini kerana ia boleh menjejaskan imej sekolah, sepatutnya pengurusan sekolah mengambil tindakan yang terbaik dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar, bukan membuang pelajar,” katanya yang turut mempunyai anak yang bersekolah di sekolah itu. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohammad, ketika dihubungi semalam, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengurusan sekolah berkenaan, petang semalam. “Saya dimaklumkan secara lisan mengenai kejadian itu ketika mengadakan perbincangan dengan pentadbir sekolah itu semalam (kelmarin) dan pihak sekolah sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu, bagaimanapun menarik balik laporan itu hari ini (semalam). “Setakat ini, saya belum menerima laporan kejadian itu daripada pihak sekolah dan sudah mengarahkan pihak berkenaan menghantar segera laporan untuk tindakan lanjut,” katanya.

myMetro: 13 Februari 2010

Tiada ulasan: