Rabu, 17 Februari 2010

Pengorbanan guru baru dituntut

SAYA menyokong penuh cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, untuk menempatkan guru baru ke kawasan pedalaman sekurang-kurangnya tiga tahun, agar mereka lebih memahami erti kesabaran, pengorbanan serta keperluan ilmu di kalangan penduduk yakni pelajar di kawasan pedalaman.

Sesungguhnya mereka semua di pedalaman amat memerlukan dan dahagakan ilmu. Bantu dan berkorbanlah sedikit untuk masa depan mereka. Sekiranya cadangan itu berjaya, biarlah ia dilakukan secara telus dan tegas tanpa memilih bulu.

Tiada pengecualian bagi setiap guru baru... sama ada yang sudah berkahwin atau bujang tanpa mengira jantina. Dewasa kini, saya dapati ramai dan majoritinya di kalangan bakal guru wanita yang akan berkahwin pada saat mereka akan diberikan penempatan sebagai helah supaya ditempatkan di kawasan bandar serta berdekatan dengan tempat kerja suami masing-masing.

Helah ini bagi mengelak ditempatkan di kawasan yang jauh serta berada di pedalaman. Jika tidak dapat di kawasan yang dikehendaki, mereka akan berterusan merayu dan merayu agar ditempatkan di tempat tidak berapa jauh dengan kediaman mereka.

Dalam erti kata lain, ia umpama 'buka saja pintu rumah, terus nampak sekolah'. Pelbagai alasan lain juga diberikan. Kebiasaannya jarak rumah yang terlalu jauh (walaupun tidak jauh sebenarnya), hendak menjaga ibu atau bapa yang sakit, tiada kenderaan hendak ke sekolah, tidak tahu memandu, suami selalu kerja 'out-station' dan sebagainya. Ada kalanya pelbagai alasan pelik turut diberikan.

Pada hemat saya, sikap segelintir guru sebegini menunjukkan mereka sebenarnya tiada minat mendalam atau kesungguhan untuk bekerja sebagai seorang guru.

Jika ketika memohon dan ditemuduga dulu, ke mana saja sanggup dihantar dan sedia berkhidmat. Bila sudah dapat kerja, lain pula ceritanya. Segelintirnya juga menganggap kerjaya sebagai seorang guru ini, adalah pilihan terakhir dan ini jelas menunjukkan mereka tiada minat untuk menjadi seorang guru.

WAJA 2002,
Shah Alam.


Berita Harian Online: 17 Februari 2010

Tiada ulasan: