Khamis, 25 Februari 2010

NUTP saran kurangkan Ladap

Oleh Noor Azimah Romli
bhnews@bharian.com.my

Kementerian berjimat tetapi guru terpaksa keluar wang sendiri hadiri kursus

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran mengurangkan Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) sebanyak 50 peratus berikutan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung sendiri guru apabila menghadiri kursus kerana tiada peruntukan disediakan untuk perbelanjaan makanan dan kos pengangkutan.

Buat masa ini semua guru diwajibkan menghadiri kursus Ladap selama 42 jam atau tujuh hari setahun.

Jika kementerian melaksanakan cadangan terbabit bermakna guru hanya wajib hadiri kursus 21 jam saja dan ini dapat membantu mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung guru pada masa ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata kementerian sebelum ini melaksanakan dasar penjimatan sehingga terpaksa menyatu perbelanjaan termasuk kursus latihan untuk guru.

"Kementerian sepatutnya mengambil kira semua faktor termasuk kebajikan guru sebelum melaksanakan langkah terbabit.

"Saya sebagai wakil NUTP melahirkan rasa kecewa atas perkembangan ini.

"Selepas kementerian mengumumkan langkah penjimatan terbabit semua pengetua dan guru besar diberi taklimat untuk mengambil langkah penjimatan segera untuk mengurangkan perbelanjaan.

"Kami di pihak guru dikerah menghadiri pelbagai kursus tetapi pada masa sama kami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menanggung perbelanjaan sepanjang kursus," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan guru yang menghadiri kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri hanya disediakan nasi bungkus dan air mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau kopi untuk minum pagi dan petang.

Difahamkan, untuk seharian kursus tanpa bermalam, tidak ada langsung peruntukan diberikan berbanding sebelum ini yang mana satu kepala diperuntukkan RM9 sehari.

Hashim , berkata beliau sedih dengan perkembangan itu yang pastinya akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah.

"Keadaan ini menyedihkan, sedangkan kursus dihadiri itu untuk menaik taraf profesionalisme di kalangan guru," katanya dihubungi, semalam.

Katanya, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius masalah berkenaan dan berharap cadangan terbabit dapat dipertimbangkan oleh kementerian.

"Saya akur perlu ada langkah penjimatan, namun perbelanjaan dalam pendidikan bukan kos tetapi satu pelaburan masa depan.

"Kesan catuan akan dapat dilihat pada 5 hingga 10 tahun akan datang dan sudah tentu membabitkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan nanti apabila guru semakin kurang motivasi untuk mengajar serta mendidik," katanya.

Berita Harian Online: 25 Februari 2010

2 ulasan:

pak long berkata...

salam..
ala kalau nak buat kursus apapun boleh....baik yang berat maupun yang ringan..kan PKG ada..guna la semaksima mungkin....duit dah tak dak baru nak pikir berjimat...yang dulu belanja tak beringat..moga ada hikamhnya

Tanpa Nama berkata...

SETUJU!kalau betul nak jimat kos,buatlah apa saja yang betul nak jimat, usah cari tempat berkursus yang jauh dan susah sampai, jimat saja poket sendiri, bazir pula duit poket orang lain(guru yang kebetulan gaji tak cukup makan). sudahlah kena curi bagi tuisyen sebab gaji tak cukup, ini pula kena bayar kos sendiri, ini pun ok kalaulah sendiri nak sangat berkursus.