Sabtu, 6 Februari 2010

Majlis Permuafakatan Pendidikan peringkat Parlimen

JERLUN 5 Feb. - Kementerian Pelajaran bercadang menubuhkan Majlis Permuafakatan Pendidikan peringkat Parlimen bagi membolehkan agenda memartabatkan pendidikan negara dilakukan dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Timbalan Menterinya, Dr. Puad Zarkashi berkata, organisasi itu bakal dipengerusikan oleh seorang wakil rakyat khususnya ahli Parlimen di kawasan masing-masing.

Katanya, ia turut dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG); badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tempatan dan polis.

"Isu pendidikan tidak boleh diselesaikan secara berasingan. Ia perlu ada permuafakatan di kalangan mereka yang terlibat dalam bidang itu.

"Apabila ada penyertaan semua pihak termasuk wakil PPD di dalam organisasi itu, isu pendidikan di sesuatu kawasan itu akan lebih cepat sampai untuk tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan PIBG di dalam daerah Kubang Pasu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman.

Puad berkata, penubuhan majlis permuafakatan berkenaan membolehkan setiap Parlimen memberi fokus kepada usaha memperkasakan agenda pendidikan di kawasan mereka.

Selain itu, katanya, ia juga memudahkan tumpuan pengisian program dan bantuan diberikan.

"PPD turut mendapat maklumat yang lebih telus kerana ada perbincangan antara semua pihak yang menyertai majlis permuafakatan ini. Hubungan sesama mereka juga akan menjadi lebih rapat," ujarnya.

Menurut beliau, rangka cadangan penubuhan organisasi tersebut telah siap dan akan diajukan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk penilaian akhir.

Kata beliau, jika Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berpuas hati dengan cadangan itu, maka ia akan dibawa ke Kabinet.

Dalam pada itu, mengulas mengenai rayuan seorang imam masjid di Kuala Terengganu supaya Kementerian Pelajaran meneliti semula kandungan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Empat kerana mendakwa berlaku kesalahan yang boleh mengeliru dan menjejaskan akidah pelajar, Puad berkata, beliau akan meminta Bahagian Pendidikan Agama Islam menyemak perkara tersebut.

Utusan Malaysia Online: 6 Februari 2010

Tiada ulasan: