Isnin, 31 Mei 2010

RM2 juta untuk guru Terengganu


AHMAD (tengah) dirai oleh anak-anak dan cucu selepas dianugerahkan tokoh guru
peringkat negeri di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Bagi menghargai jasa guru-guru di Terengganu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai sagu hati kepada lebih 22,000 warga pendidik di negeri ini.

Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada golongan guru yang komited mengharumkan nama Terengganu dalam bidang pendidikan tanah air.

Menurut beliau, hasil kegigihan para guru, Terengganu kini menduduki tangga teratas dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pencapaian itu termasuk kejayaan dinobatkan negeri terbaik selama sembilan tahun berturut-turut bagi UPSR, selain mengungguli peperiksaan SPM selama tiga tahun berturut-turut.

Tanpa mendedahkan bentuk sebenar 'hadiah' tersebut, Ahmad berkata, dia sendiri akan turun ke setiap daerah untuk menyerahkan penghargaan tersebut kepada setiap guru di negeri ini.

"Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan 'hadiah' itu dan barangan tersebut sudah pun ditempah," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Darul Iman Malaysia dekat sini semalam.

Pada majlis itu, pesara guru Ahmad Mahmood, 67, dipilih sebagai Tokoh Guru 2010. Beliau menerima wang tunai RM10,000, sepersalinan pakaian, pingat serta sijil penghargaan.

Kosmo Online: 31 Mei 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita tak boleh UKUR kecemerlangan guru dgn keputusan peperiksaan. Banyak faktor lain lagi. Guru hanyalah faktor kecil shj.

Kalau cikgu-cuikgu kat tganu hebat sangat, hantar mai kat negeri yang duduk ranking last UPSR. Baru dia tau.Langit tinggi ka rendah.