Jumaat, 22 Oktober 2010

Alimuddin bangga jadi pendidik

KANGAR 21 Okt. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang akan bersara bulan depan berkata beliau bersyukur dan bangga menjadi seorang pendidik selama 34 tahun.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran apabila menjadi guru mulai 1976 tetapi guru adalah kerjaya pilihan saya," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini.

Alimuddin yang menjadi Ketua Pengarah Pelajaran sejak Ogos 2007 berkata, apa yang penting bagi setiap guru ialah melaksanakan tugas yang diamanahkan dan tidak merungut dengan beban tugas yang menjadi sebahagian daripada tanggugnjawab mereka.

Katanya terdapat guru yang mengadu kepada akhbar bahawa mereka telah dibebani dengan tugas dan beliau hairan kerana wujudnya sikap seperti itu.

Beliau berkata, sepatutnya mereka tidak merungut umpamanya dalam hal-hal berkaitan dengan pertukaran.

"Saya dan 15 kali bertukar sekolah dan lima kali bertukar tempat bertugas semasa berada di jabatan dan kementerian," kata Alimuddin yang berasal dari Ayer Tawar, Perak.

Beliau berharap walaupun terdapat rungutan mengenai bebanan tugas, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menjadikan bidang pendidikan negara ini bertaraf lima bintang.

"Profesion guru begitu mulia dengan tanggungjawab besar mereka mendidik pelajar menjadi generasi berkualiti kepada negara," katanya.

Alimuddin berkata, sepanjang perkhidmatannya beliau juga pernah menjadi jurulatih bola sepak semasa mula mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak pada 1976 selain menjadi guru pengakap.

"Saya lakukan banyak tugas dan saya pernah bertemu pengetua untuk menawarkan diri melaksanakan tugas tertentu," katanya yang akan genap berusia 58 tahun pada 7 Nov ini.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, para guru perlu berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) di sekolah atau institusi pendidikan masing-masing.

Beliau berkata, penglibatan guru sebagai penggerak transformasi adalah penting kerana Kementerian Pelajaran kini memberikan tumpuan ke arah melahirkan insan yang unggul dan cemerlang kepada negara.

"Golongan pendidik perlu berusaha merapatkan jurang pencapaian pelajar serta bertindak ke arah membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam semua bidang bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai," katanya dalam ucapan pada hari ucapan dan penyampaian hadiah Sekolah Penang Free. Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengarah Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aishah Samah.

Noor Rezan berkata, kementerian juga mengambil langkah memperluaskan dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi serta memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Katanya, selain itu kementerian pelajaran juga bertanggungjawab untuk memupuk perpaduan melalui proses pendidikan kepada generasi muda dan melibatkan pelajar dari pelbagai kaum dalam aktiviti kokurikulum. - BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 22 Oktober 2010

Tiada ulasan: