Rabu, 6 Oktober 2010

Restu guru pencetus semangat pelajar



GEMENCHEH – Sememangnya restu dan kemaafan guru merupakan perkara sangat diperlukan oleh pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar, selain memohon restu dari ibu bapa masing-masing.

Sejajar dengan keperluan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rokan tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Restu Guru bagi menunjukkan sokongan mereka kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting.

Menurut Pengetuanya, Abdul Halim Zaki Mustafa, melalui majlis berkenaan,guru diminta untuk menghalalkan setiap ilmu yang diajar bagi membolehkan pelajar dapat lebih bersedia menduduki peperiksaan.

“Malah, guru juga diminta untuk memberikan kata-kata perangsang dan semangat kepada pelajar yang terdiri daripada anak Felda untuk berusaha menjawab dengan baik dan tidak gemuruh semasa peperiksaan tersebut.

“Guru juga digalakkan untuk mendoakan kejayaan pelajar mereka dan lebih unik lagi mereka juga menyuapkan kismis ke mulut anak murid masing-masing,” katanya pada majlis berkenaan di Surau Al-Hidayah, dekat sini.

Untuk rekod, seramai 78 calon pelajar sekolah berkenaan bakal mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala seramai 57 calon pelajar pula bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sinar Harian : 6 Oktober 2010

Tiada ulasan: