Selasa, 5 Oktober 2010

'Selamat bersara cikgu'

2010/10/05

KLANG: Majlis Sanjungan Budi Semarak Kasih sempena persaraan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang, Bahariah Bustamam, 58, disambut meriah dengan lebih 500 kakitangan sekolah termasuk pelajar serta kenalan lama meraikannya.

Majlis bermula jam 10 pagi itu dimulakan dengan perarakan masuk beliau ke Dewan Srikandi sambil diiringi alunan muzik pasukan pancaragam Sekolah Menengah Tinggi Klang.


Sempena majlis persaraannya itu, kakitangan sekolah dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sanggup bertungkus-lumus menyediakan pelbagai program terbaik sebagai penghargaan dan kenangan seperti nyanyian, persembahan multimedia dan koir.


Bahariah yang berpengalaman selama 33 tahun mengajar termasuk enam tahun sebagai pengetua di SMK Convent Klang mengakhiri perkhidmatannya sebagai guru bermula semalam. Hadir sama ialah Ketua Sektor Jaminan dan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Mahmud Karim, Yang Dipertua PIBG, Sam Yoke Mui dan pengetua sekolah sekitar daerah Klang.


Dalam ucapannya, Bahariah mengharapkan warga sekolah terutama generasi muda bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan menghormati guru.


Menurutnya, sikap toleransi dan saling menghormati perlu diamalkan bagi menjamin institusi pendidikan mampu melahirkan warga cemerlang.


“Nasihat saya, peliharalah ilmu dan perhubungan antara satu sama lain serta tidak jemu belajar. Jalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.


“Bagi semua guru yang menjadi kawan dan penyokong saya selama berkhidmat di sini, saya hargai bantuan anda dan berharap terus menjalankan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh demi masa depan anak bangsa dan kemajuan sekolah terutamanya,” katanya.

myMetro: 5 Oktober 2010

Tiada ulasan: