Isnin, 4 Oktober 2010

Pusat sumber canggih, selesa

KUALA LUMPUR - Projek menaik taraf pusat sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Selatan hasil inisiatif bersama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan pihak sekolah terbukti berjaya menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa kepada murid-muridnya.

Projek yang bermula sejak 2009 itu kini telah lengkap sepenuhnya dan dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, di sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Syed Ali berkata, kerjasama yang ditunjukkan oleh PIBG, ibu bapa, badan-badan korporat dan guru-guru memperbaharui pusat sumber sekolah merupakan satu usaha murni yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan para pelajar.

"Inisiatif ini merupakan pelaburan ibu bapa terhadap sekolah yang dilihat akan mampu membantu anak-anak sejajar dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai murid cemerlang dalam bidang akademik," katanya.

Syed Ali memberitahu, ibu bapa tidak perlu keberatan atau berkira-kira untuk menyumbang kepada sekolah apatah lagi menganggapnya sebagai satu bebanan.

"Walaupun dengan sumbangan kecil, ia kelak akan mampu menjana modal untuk usaha memperbaharui kemudahan- kemudahan yang akan memberi keselesaan terhadap murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Syed Ali turut mengumumkan bahawa YPC akan memberi bantuan modal sebanyak RM10,000 untuk keperluan pusat sumber sekolah serta sumbangan dua buah komputer riba untuk kegunaan pusat sumber tersebut.

"Diharapkan dengan kemudahan dan pembaharuan yang terdapat di sekolah ini akan memberi semangat kepada murid-murid untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan bersaing dengan sekolah-sekolah lain untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan," ujar beliau.

Hadir sama Naib Yang Dipertua PIBG, Dr. Aminuddin Saim dan Guru Besar, Azhari Omar.

Menurut Aminuddin, pembaharuan pusat sumber sekolah ini dicadangkan oleh PIBG sekolah sejajar dengan konsep Sekolah Bestari.

"Selain sumbangan ibu bapa dan badan korporat, pihak PIBG sekolah turut menganjurkan Karnival Senamthon bagi mengutip dana bagi projek tersebut dan berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM45,000," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 4 Oktober 2010

Tiada ulasan: