Oleh Khairina Yasin
SEJUMLAH 36,695 permohonan diterima bagi mengikuti Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah yang julung kali dilaksanakan Kementerian Pelajaran menerusi Institut Pendidikan Guru (IPG), bermula 17 November ini.
Daripada jumlah itu, 3,000 akan diambil berdasarkan unjuran ditetapkan kementerian bagi mengikuti program peringkat ijazah perguruan yang akan dijalankan di 27 IPG seluruh negara itu.
Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Meor Shaharuddin, berkata program dilaksanakan empat tahun itu adalah kesinambungan usaha pensiswazahan guru bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus guru sekolah rendah memiliki ijazah menjelang 2010.
“Ini adalah langkah proaktif kementerian menambah bilangan guru siswazah dengan pembiayaan pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan dilaksanakan ketika cuti sekolah bagi mengelakkan tugas mengajar sepanjang tempoh pengajian.
“Modul pembelajaran program ini dibangunkan IPG dalam 17 bidang pengajian ditawarkan merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Sains, Matematik, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani, Reka Bentuk dan Teknologi.
“Seterusnya, Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran, Pendidikan Khas Masalah Pendengaran, Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pendidikan Pemulihan, Pendidikan Prasekolah, Pengajian Sosial dan Pendidikan Seni Visual,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Asariah berkata, unjuran pengambilan 3,000 guru ditetapkan setiap tahun dengan sasaran 15,000 orang mengikuti pengajian berkenaan dalam tempoh lima tahun, mulai tahun ini.
Katanya, program itu khusus untuk pegawai perkhidmatan pendidikan bukan siswazah yang sedang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah Kementerian Pelajaran dan berumur tidak lebih 45 tahun pada 15 November ini.
“Syarat lain, antaranya calon mestilah disahkan jawatan, tidak berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa di mana-mana institusi pengajian tinggi, mempunyai sijil atau diploma perguruan, selain bebas daripada tindakan tatatertib.
“Calon berjaya menamatkan pengajian dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian (Pendidikan Rendah) dan mereka akan ditempatkan di sekolah rendah seluruh negara,” katanya.
Berita Harian Online: 14 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Mengapa PGSR tidak memberi ruang untuk kami pegawai perkhidmatan pendidikan bukan siswazah yang berkhidmat di PPD/PKG/PSPN/JPN?
Catat Ulasan