Jumaat, 31 Oktober 2008

Guru jangan merungut

SAYA selalu mengikuti ruangan ini dan didapati pihak guru kerap merungut mengenai gaji yang seolah-olah tidak pernah mencukupi dan mensyukuri nikmat.

Terbaru ialah mengenai pelarasan gaji antara DG29 yang sambung belajar ke peringkat ijazah dan mendapat gred DG41 yang dikatakan gaji yang diterimanya di DG41 adalah lebih rendah dari DG29 yang tidak sambung belajar dan mendapat DG32.

Juga terbaru kerajaan dalam kajian menyemak skim gaji guru bagi memenuhi berbagai-bagai tuntutan dan imbuhan dari segi material.

Dari senario ini apa yang saya lihat ialah guru hari ini seolah-olah hilang sifat mulia yang perlu ada pada seorang pendidik iaitu keikhlasan. Kepentingan diri sendiri telah mengatasi segala-galanya.

Guru perlu muhasabah diri dan kenangkan semula bagaimana sebelum anda menjawat jawatan guru iaitu bekerja di syarikat swasta yang memberi gaji rendah dan beban kerja yang tinggi.

Kenangkan juga bagaimana anda menganggur sekian lama dan memohon guru serta berdoa setiap hari semoga dapat diterima menjawat jawatan guru.

Bandingkan juga kerja anda berbanding sektor lain dalam kerajaan seperti kerani yang bekerja 8 pagi hingga 5 petang, jururawat yang bekerja syif termasuk hari raya dan tidak pernah menuntut elaun syif, tentera yang meninggalkan keluarga berjuang di sempadan dan luar negara berbulan-bulan serta sebagainya.

Tanggungjawab anda (guru) juga bukan terlalu membebankan kerana ramai ibu bapa menghantar anaknya ke pusat tuisyen berbayar dan guru sekolah juga mengajar tuisyen dan mendapat bayaran yang lebih dari gaji sebulannya. Serta bandingkan keadaan anda sekarang dengan pekerja sektor swasta yang kini tertekan dengan ekonomi tidak menentu.

Bersyukurlah wahai guru, berilah masa dan tenaga serta komitmen anda untuk meningkatkan ilmu anak bangsa. Janganlah dibebankan lagi kerajaan dengan berbagai tuntutan, ingatlah duit bukanlah segala-galanya dan duit tidak pernah akan cukup jika kita tidak bersyukur dan tiada keikhlasan.

Guru di era 1960-an dan 1970-an kebanyakannya tiada ijazah dan sarjana bergulung-gulung tetapi mereka ada nilai yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan didapati dari universiti iaitu keikhlasan dan komitmen yang tinggi terhadap bidang pengajaran.

Saya menulis ini tidak ada lain tujuan selain daripada ingin memartabatkan profesionalisma guru dan masyarakat akan memandang tinggi kepada profesion perguruan seperti tahun 1960-an dan 1970-an.

MEGAT EDLI FAIZAL ABDUL HALIM

Shah Alam

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2008

Tiada ulasan: