Rabu, 15 Oktober 2008

Tahap penguasaan bahasa Inggeris murid, guru perlu dipertingkat

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) memerlukan sokongan asas dari segi budaya dan bahasa. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik meningkatkan aras dan tahap kesukaran terhadap kedua-dua mata pelajaran.

Di sekolah, kedua-dua mata pelajaran itu dianggap susah, sukar difahami dan tidak ramai guru yang boleh mengajarnya. Begitupun, usaha bersungguh-sungguh mesti diteruskan kerana kedua-dua subjek ini sangat penting untuk melahirkan sumber manusia bagi keperluan negara pada masa depan.

Anak saya yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini memerlukan sokongan asas kefahaman bahasa yang baik untuk memahami mekanisme dalam sains.

Justeru, banyak masa diperlukan untuk mengajar anak mengenai konsep sains di rumah berbanding mata pelajaran lain. Selain menggunakan kamus, anak saya juga selalu bertanya makna sesuatu perkataan (terminologi) dalam bahasa Melayu kerana khuatir tersalah konsep kerana lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Tahap keyakinan anak saya kembali semula selepas memberi penerangan dalam bahasa Melayu. Anak kawan saya juga menghadapi keadaan sama apabila hampir putus asa kerana sukar memahami konsep sains berikutan kurang baik dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Kemahiran proses sains mesti selari dengan kemahiran berfikir, justeru arahan dan tunjuk cara mesti jelas agar aspek kognitif kanak-kanak berkembang dengan baik.

Saya dapati penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium penghantar ilmu sedikit sebanyak menjadi kekangan kepada tahap kefahaman dalam mekanisme sains. Namun, tidak dinafikan ia banyak membantu penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Saya mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran yang bersedia menerima pandangan daripada pelbagai pihak sebelum keputusan muktamad, sama ada mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dibuat Disember ini.

Kita berharap semua pihak mengambil perhatian serius dengan memperhalusi setiap tindakan itu kerana kita tidak mahu mengorbankan masa depan -anak. Mereka ini pewaris kepemimpinan pada masa depan.

Saya menyarankan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sains dan matematik perlu ditingkatkan lagi. Kajian mendapati 35 peratus guru sains dan matematik di seluruh negara lemah bahasa Inggeris.

Dengan itu, kursus dan pelbagai program sokongan lain perlu dirangka semula untuk membantu guru sekolah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Saya berpendapat, guru sains dan matematik perlu dihantar berkursus ke negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Sweden, England dan banyak lagi.


Ini adalah langkah yang lebih tepat berbanding kita membelanjakan wang banyak untuk membeli peralatan ICT seperti dilaksanakan sebelum ini, namun hasilnya kurang berkesan.

Malaysia adalah pembeli komputer riba terbesar di dunia jenis Acer sebagai sokongan kepada PPSMI. Kita dapati kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk membiayai pelaksanaan PPSMI.

Justeru itu, adalah satu pembaziran jika usaha itu tidak diteruskan. Malah ia menjadi satu tindakan yang merugikan masa, tenaga dan wang rakyat. Kajian perlu dilakukan untuk penambah baik saja bukan untuk mengubah medium penyampaian.

Buku, bahan rujukan dan seumpamanya harus dikekalkan dalam bahasa Inggeris, manakala teknik penyampaian, arahan, tunjuk cara dan kerja praktikal makmal seharusnya tidak terikat kepada bahasa Inggeris, tetapi boleh menggunakan bahasa ibunda yang lain.

Di Sabah dan Sarawak misalnya, seharusnya guru dibenarkan menggunakan bahasa ibunda pelajar agar mereka dapat memahaminya dengan lebih mudah.

MOHD ASRAN AMISAH,
Tawau, Sabah.

Berita Harian Online:15 Oktober 2008

Tiada ulasan: