Jumaat, 10 Oktober 2008

Sabah&Sarawak: Kesatuan setuju kumpul data kes guru teraniaya

KUCHING: Dua kesatuan guru di Sarawak menyokong cadangan agar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengumpul data dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru-guru yang berlaku di negara ini dengan segera.

Walaupun setakat ini, tiada kes penganiayaan guru dilaporkan di Sarawak, namun kedua-dua kesatuan itu menyifatkan cadangan berkenaan perlu demi mempertahankan maruah dan kebajikan guru yang berkhidmat di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak, William Ghani Bina, berkata cadangan agar NUTP mengumpul data dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru yang berlaku di negara ini tepat pada masanya, supaya Kementerian Pelajaran mempunyai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan guru di seluruh negara.

Beliau berkata, meskipun sehingga kini, tiada kes penganiayaan guru dilaporkan di Sarawak namun usaha mengumpul data dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru yang berlaku di negara ini perlu dilakukan mulai sekarang.

"Langkah itu, perlu agar NUTP mendapat gambaran jelas mengenai data dan maklumat penganiayaan terhadap guru yang sudah berlaku setakat ini.

"STU tidak mahu, selepas berlaku kes penganiayaan terhadap guru dilaporkan barulah NUTP hendak mengumpul data dan maklumat," katanya.

Sementara itu, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berkata cadangan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail itu membayangkan beliau melihat pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat guru di negara ini, setakat ini.

Yang Dipertuanya, Ahmad Malie berkata apa yang disuarakan Razali selari dengan usahanya untuk memertabatkan kerjaya perguruan di negara ini pada kini dan akan datang.

Kelmarin, Razali menggesa NUTP mengumpul data dan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata pengumpulan data berkenaan bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mencari kaedah terbaik untuk menangani isu seperti guru dipukul, disaman dan ditukarkan ke tempat lain atas alasan yang tidak munasabah.

Berita Harian Online: 10 Oktober 2008

Tiada ulasan: