Ahad, 26 Oktober 2008

Matematik, Sains kekal dalam bahasa Inggeris

Oleh Hamid Salleh


KUALA TERENGGANU: Perbincangan meja bulat siri keempat anjuran Kementerian Pelajaran baru-baru ini bersetuju mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah terus diajar dalam bahasa Inggeris, tetapi mahu kementerian memperkasakan pengajaran bahasa ibunda, khususnya bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perbincangan juga diberitahu terlalu awal untuk membuat penilaian pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini bagi mengetahui keberkesanan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, peserta perbincangan berpendapat 2013 adalah masa sesuai membuat penilaian kerana pelajar yang mula belajar Tahun Satu akan menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Perbincangan keempat pada 21 Oktober disertai ahli akademik, wakil kerajaan serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta parti pembangkang.

"Perbincangan intelektual diadakan dalam cukup mesra kerana peserta tahu perbincangan ini adalah akademik dan pelbagai pandangan diberikan bagi memperkasakan sistem pendidikan negara," katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini semalam.

Razali yang mempengerusikan perbincangan itu berkata, hasil perbincangan akan diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk diputuskan.

"Kita juga mengambil kira pandangan sektor awam tetapi keputusan muktamad diputuskan Menteri Pelajaran dan perlu mendapat restu Kabinet," katanya.

Berita harian Online: 25 Oktober 2008



Tiada ulasan: