Sabtu, 25 Oktober 2008

Sokong kembalikan hukuman rotan di sekolah

BEKAS YDP PIBG SKBB dalam ruangan Forum kelmarin menyarankan hukuman rotan patut dikembalikan demi membaiki disiplin pelajar. Saya menyokong penuh saranan ini bagi menentukan disiplin pelajar baik di sekolah.

Model Pembolehan kendiri Sosial Rathus (1981) bahawa tingkah laku seseorang boleh diubah menerusi "Pemboleh ubah situasi" pemboleh ubah secara ganjaran atau dendaan.

Kini Kementerian Pelajaran lebih mementingkan disiplin sekolah dari segi pemboleh ubah ganjaran. Dengan itu pendekatan merotan telah diabaikan. Pelajar berlatar belakang keluarga bermasalah tidak sesuai secara ganjaran. Mereka di rumah sering ditekan kerana ibu bapa yang mendisiplin anaknya untuk melihat anaknya sentiasa baik. Tetapi malangnya anak-anak ini, di luar mereka cuba melepaskan rasa kongkongan di sekolah. Ibu bapa selalu menegur anak-anak mereka, menyebabkan mereka tertekan, mereka bertindak dengan laku vandalisme dan agresif (Masitlah 2000). Anak-anak ini agresif di luar tetapi seolah-olah baik di rumah. Anak-anak yang beginilah harus dikenakan tindakan dirotan. Cara dendaan ini boleh mengubah tingkah laku mereka.

Pendekatan pandangan Islam sebagaimana disarankan oleh Abdullah Nasih Ulwan (1989) dalam pendidikan anakanak perlu rujukan bagi pentadbiran Kementerian Pelajaran kerana anak 10 tahun tidak mahu solat wajar dirotan. Pendekatan dendaan yang diamalkan oleh Islam, dapat digunakan mengikut situasi tertentu.

Hukuman merotan pernah dilaksanakan dahulu sebelum dan selepas merdeka. Pelajar dirotan di bilik petugas/guru besar. Pelajar juga dirotan di khalayak ramai. Kini kita mesti mengkaji secara halus sesuai atau tidak kedua-dua dijalankan terus atau diubahsuai mengikut keperluan.

Ketika saya sebagai pengetua dahulu pengetua diberi kuasa merotan pelajar hasilnya amat berkesan. Setiap hari saya berjalan dari kelas ke kelas dengan membawa rotan. Pelajar yang berkeliaran tanpa tujuan, saya rotan dan selepas itu saya menanya kenapa ia bebas ke sana ke sini.

Berdisiplin

Hasilnya amat berkesan pelajar di sekolah menengah itu berdisiplin dan guru-guru mudah menyampaikan pelajaran. Tiap kelas tidak ada kelam kabut tetapi sentiasa menumpukan pelajaran.

Pegawai-pegawai dan guru-guru kita kebanyakan mendapat ijazah tertinggi di Amerika Syarikat atau di England.

Mereka amat berminat pendekatan Barat yang menekan kebebasan serta perkembangan emosi tanpa gangguan fizikal tetapi bagi kita negara pelbagai kaum dan agama harus mendisiplin pelajar menurut situasi negara kita. Budaya berbagai kaum dan agama mewarnai disiplin pelajar.

Kementerian Pelajaran wajar membuat kajian teliti baik dan buruk merotan. Namun saya yakin merotan adalah antara usaha berkesan mengatasi masalah disiplin pelajar. Kebebasan pelajar tanpa kawalan akhirnya guru pun boleh ditendang oleh pelajar sendiri, malahan dilakukan oleh pelajar perempuan pula.

Ada yang merasakan merotan di khalayak ramai itu tidak sesuai tetapi jika difikirkan keberkesanan kepada pelajar agar mereka rasa bimbang dan tidak melanggar peraturan sekolah dengan sewenang-wenangnya.

Masa kita sekolah dahulu kita amat menghormati guru hingga hendak menemui guru rasa bimbang atau ada sesuatu yang tidak kena kita lakukan.

Ada yang merasakan pelajar yang diambil tindakan dirotan ini mereka tertekan secara psikologi. Namun tindakan dendaan itu boleh merubah mereka menjadi pelajar berdisiplin dengan merubah tingkah laku mereka.

DATUK DR. DZULKARNAIN RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan 2008

Utusan Malaysia Online: 24 Oktober 2008

Tiada ulasan: