SEREMBAN: Keputusan mengharamkan hukuman rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin, kekal walaupun ada desakan supaya ia dikaji dan dikuatkuasakan semula, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.
Katanya, hukuman rotan yang dikenakan terhadap pelajar adalah pilihan terakhir yang akan diambil dengan hanya pengetua atau guru besar diberi kebenaran melaksanakannya.
"Walaupun ada banyak pandangan supaya kita menguatkuasakan semula hukuman rotan tetapi kita berpendapat penekanan perlu diberikan kepada pendekatan psikologi dan kaunseling untuk menangani dan menguruskan masalah disiplin.
"Pendekatan itu diyakini lebih berkesan bagi menyedarkan pelajar tanpa memberi kesan negatif terhadap emosi dan mendatangkan kecederaan fizikal kepada mereka. Lagipun, tidak semua pelajar kini takut dengan hukuman itu," katanya selepas merasmikan Hari Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan Sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 di Dewan Perbandaran Seremban, di sini semalam yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamarul Zaman Shaharudin.
Beliau mengulas desakan banyak pihak termasuk usul yang dibahaskan di mesyuarat perwakilan Umno bahagian seluruh negara yang mendesak hukuman rotan dikuatkuasakan semula bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.
Pada 2006, kementerian mengharamkan hukuman rotan di khalayak ramai di semua sekolah sejajar mewartakan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006.
Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 menyediakan garis panduan lengkap mengenai tindakan disiplin yang boleh diambil terhadap pelajar seperti amaran, kaedah merotan dan buang sekolah.
Peraturan baru itu menggantikan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 yang perlu dipatuhi semua guru serta pengetua dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mendisiplinkan pelajar.
Alimuddin berkata, kementerian percaya masalah disiplin pelajar lebih mudah dan mampu diatasi jika semua pihak bekerjasama dan tidak hanya menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah.
Sementara itu, Alimuddin berkata, kementerian menyerahkan kepada pengurusan Sekolah Menengah Perlis untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar perempuan dalam insiden menendang guru, 16 Oktober lalu.
Berita Harian Online: 29 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan