Selasa, 21 Oktober 2008

Fokus: Guru Cemerlang

Oleh Rosniza Mohd Taha

3,945 jawatan untuk lepasan diploma dan siswazah belum diisi

DALAM usaha memartabatkan profesion keguruan, jawatan Skim Guru Cemerlang diperkenalkan sejak 1994 sebagai insentif kepada guru berwibawa dalam bidang mata pelajaran masing-masing.

Kewujudan jawatan itu membolehkan guru dinaikkan pangkat dalam jawatan yang sama dan terus mengajar supaya kepakarannya sebagai pendidik dimanfaatkan menerusi kecemerlangan peribadi, pengetahuan, kemahiran, kerja, komunikasi dan potensi.

Skim Guru Cemerlang mendapat sambutan baik daripada guru lepasan diploma apabila kira-kira 97 peratus kuota jawatan berkenaan yang diwujudkan khusus bagi pendidik berkelayakan berkenaan, berjaya diisi.

Timbalan Ketua Nazir (Operasi), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) Kementerian Pelajaran, Esah Jantan, berkata berdasarkan data Bahagian Sumber Manusia kementerian itu, seramai 3,904 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) menyandang jawatan Guru Cemerlang ketika ini daripada 4,000 kuota yang diwujudkan sejak Oktober 2006.

Katanya, daripada jumlah itu, semua 800 kuota Guru Cemerlang PPPLD Gred DGA 34 berjaya dipenuhi, sementara 3,140 guru Gred DGA 32 kini menyandang jawatan berkenaan berbanding 3,200 kuota disediakan.

“Kebanyakan perjawatan bagi Guru Cemerlang kedua-dua gred berkenaan sudah diisi calon berkelayakan dalam usaha meningkatkan profesionalisme perkhidmatan perguruan,” katanya ketika pembentangan kertas kerja mengenai Guru Cemerlang di Cyberjaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Esah berkata, kira-kira 71 peratus kuota jawatan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) masih belum dipenuhi apabila hanya 1,525 guru siswazah menyandang jawatan itu ketika ini berbanding 5,374 kuota diwujudkan.

Daripada jumlah itu, katanya, 12 penyandang jawatan terdiri daripada PPPS Gred Khas C, Gred DG 54 (11), Gred DG 52 (133), Gred DG 48 (630) dan Gred DG 44 (739).

Sejumlah 3,849 kekosongan kuota Guru Cemerlang PPPS masih perlu dipenuhi iaitu 12 guru Gred Khas C, Gred DG 54 (89), Gred DG 52 (117), Gred DG 48 (370) dan Gred DG 44 (3,261).

“Masih banyak kekosongan Guru Cemerlang PPPS dalam proses pelantikan. Antaranya, 257 calon PPPS Gred DG 48 sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sementara 144 calon dalam semakan urus setia.

“Seramai 706 calon PPPS Gred DG 44 sudah dikemukakan kepada JPA dan 534 lagi dalam semakan urus setia,” katanya.

Esah berkata, penilaian Guru Cemerlang Gred DG 48 ke bawah diuruskan petugas khas di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, manakala Guru Cemerlang Gred DG52 ke atas diuruskan JNJK, sementara pelantikan, pemangkuan dan kenaikan pangkat guru berjawatan itu diuruskan Bahagian Sumber Manusia.

Beliau berkata, cabaran untuk mendapatkan calon Guru Cemerlang amat dirasai berikutan beberapa faktor kekangan termasuk guru malu memohon, permohonan guru tidak diserahkan kepada kementerian kerana ketua jabatan mempunyai calon pilihan sendiri, penyebaran iklan dikatakan tidak sampai kepada guru dan tidak sanggup memikul tanggung jawab serta harapan tinggi terhadap pendidik berjawatan itu.

Beliau berkata, ada juga guru yang menganggap mereka sudah berada di zon selesa dan tidak mahu ditukarkan, enggan menduduki Penilaian Tahap Kecekapan serta tidak memahami falsafah kerjaya Guru Cemerlang.

“Jika kita ingin melahirkan lebih ramai Guru Cemerlang, kekangan ini perlu ditangani semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran.

“Pendidik khususnya perlu memiliki semangat memajukan diri dalam kerjaya dan sanggup memikul tanggung jawab sebagai Guru Cemerlang.

"Guru Besar dan Pengetua pula perlu sentiasa memberi dorongan serta peluang kepada guru termasuk mengenal pasti dan mencalonkan pendidik di sekolah masing-masing sebagai Guru Cemerlang.

"Perancangan perlu dibuat supaya setiap sekolah mempunyai bilangan Guru Cemerlang bersesuaian dengan jumlah dan taburan mengikut mata pelajaran," katanya.

FAKTA NOMBOR: Guru Cemerlang

3,904 jawatan - Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

4,000 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPLD

1,525 jawatan- Diisi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah

5,374 kuota - Jawatan diwujudkan untuk PPPS.

Berita Harian Online:20 Oktober 2008

Tiada ulasan: