Oleh Roselan Ab Malek
SEMUA guru besar cemerlang yang baru dilantik perlu memberi fokus kepada usaha meningkat kecemerlangan pendidikan negara sebagai misi utama dalam melaksanakan pentadbiran dan pengurusan di sekolah masing-masing.
Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata pelantikan sebagai guru besar cemerlang DGA38 perlu diterima sebagai satu cabaran dalam meningkatkan kecemerlangan sekolah yang diterajui.
Katanya, kecemerlangan itu bukan saja merangkumi bidang akademik, tetapi juga moral dan disiplin pelajar serta persekitaran sekolah.
“Peranan dan tanggungjawab besar yang dipikul mereka dapat dilihat dan dinilai masyarakat setempat terutama tiga aspek yang disebutkan tadi.
“Justeru mereka harus memainkan peranan dalam mengubah landskap sekolah menerusi pentadbiran dan pengurusan yang diterajui,” katanya.
Sehubungan itu, mereka perlu sentiasa menjaga kualiti pentadbiran dan pengurusan di sekolah masing-masing dengan merancang, bergerak serta berfikiran positif, selain menjalankan tugas dengan dedikasi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan bersama 83 guru besar cemerlang negeri Pahang Kumpulan ke-2 yang menerima surat perlantikan kenaikan pangkat itu, baru-baru ini.
Katanya, mereka perlu bersedia melakukan perubahan serta meningkatkan keupayaan profesionalisme perguruan dan sentiasa berada di barisan hadapan.
“Mereka seharus menjadi individu yang boleh diharapkan dalam melaksanakan pentadbiran dan pengurusan demi memartabatkan profesion perguruan negara selaras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
“Selain melahirkan kecemerlangan pelajar dalam akademik, guru besar cemerlang harus mampu meningkatkan penguasaan kemahiran murid secara menyeluruh dengan memastikan mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya.
Abdul Aziz berkata, kumpulan guru besar ini perlu memainkan peranan mempengaruhi warga pendidik di sekolah masing-masing serta masyarakat terutama ibu bapa supaya membabitkan diri dalam setiap program yang dirancang pihak sekolah.
“Disamping itu, gaya kepemimpinan yang disukai semua pihak dan tegas adalah satu faktor kejayaan sekolah,” katanya.
Pahang kini sudah mempunyai 107 guru besar cemerlang dengan perlantikan 24 orang kumpulan pertama dan 83 orang kumpulan kedua.
Berita Harian Online: 9 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan