Selasa, 21 Oktober 2008

Pendidik berwibawa mampu tingkat mutu pembelajaran

ANTARA tanggung jawab dan harapan disandarkan kepada pendidik berjawatan Guru Cemerlang adalah menerajui peningkatan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), melonjak kecemerlangan sekolah menerusi perkongsian pengalaman dan kemahiran serta membangunkan modal insan holistik di kalangan pelajar.

Justeru, tidak hairan Guru Cemerlang dikaitkan sebagai jawatan yang menagih pengorbanan, keikhlasan, tanggungjawab dan komitmen tinggi hingga ada kalangan pendidik enggan memohon kerana tidak sanggup memikul amanah yang perlu dilaksanakan seiring pemilikan status itu.

Namun bagi pendidik yang bersemangat memajukan diri dalam kerjaya, kewajipan sebagai Guru Cemerlang dilaksanakan sebaiknya lantas memberi kepuasan diri apatah lagi dengan insentif peluang menikmati kenaikan pangkat kepada gred tinggi secara pantas tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau bertukar kepada jawatan pentadbiran.

Guru Cemerlang subjek Biologi di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan, Mazinah Muda, berkata beliau berperanan sebagai Ketua Panitia Biologi dan dipertanggungjawab merancang kegiatan meningkatkan prestasi mata pelajaran itu mengikut sasaran sekolah.

Katanya, antara inovasi P&P yang diperkenalkan adalah menghasilkan Modul Bio-Score bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima serta menjalankan kajian tindakan iaitu penyelidikan isu dalam dalam bilik darjah.

“Walaupun berjaya meraih jawatan Guru Cemerlang, saya tetap menjalin hubungan baik sesama guru lain, membantu membuat perancangan P&P serta melaksanakan kegiatan panitia Biologi bersama rakan,” katanya.

Guru Cemerlang subjek Matematik Tambahan di sekolah sama, Zakiah Zaid, berkata modul P&P yang dihasilkannya bukan saja digunakan di SMS Tengku Muhammad Faris Petra, malah sekolah lain di negeri itu.

“Saya bukan saja dijadikan pakar rujuk bagi mata pelajaran kepakaran saya iaitu Matematik dan Matematik Tambahan di peringkat sekolah, malah oleh Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri,” katanya.

Guru Cemerlang subjek Fizik, SMS Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Abdul Wahid Basar, berkata beliau tidak teragak-agak memohon jawatan itu kerana percaya ia adalah peluang terbaik baginya meningkatkan tahap profesionalisme kerjaya sebagai pendidik.

Katanya, antara kelebihan menyandang jawatan itu adalah pelajar dan ibu bapa lebih yakin dengan pengajarannya, menjadi pakar rujuk kepada guru lain terutama yang baru serta memperoleh gaji dan elaun lebih tinggi.

“Saya melaksanakan pendekatan pengajaran mudah difahami pelajar termasuk menggubah nota fizik dalam bentuk lagu supaya mudah dihafal pelajar serta menghasilkan bahan P&P menggunakan bahan buangan dan permainan,” katanya.

Sementara itu Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Chini Timur, Pekan, Pahang, Zolkifli Mahmood, berkata sebaik meraih jawatan itu pada 2004, beliau secara automatik menikmati kenaikan pangkat dari gred DG 41 kepada DG 48 yang mengambil tempoh empat tahun lagi perkhidmatan jika terus berkhidmat sebagai guru biasa.

Beliau berpendapat, cabaran menjawat Guru Cemerlang perlu disambut baik guru sebagai peluang terbaik membangunkan modal insan di kalangan pelajar menerusi tugas seperti ketua panitia, menganggotai jawatan kuasa kurikulum serta jawatan kuasa perancangan strategik sekolah.

“Persepsi negatif bahawa tugas Guru Cemerlang membebankan perlu dielakkan, sebaliknya guru berjawatan ini perlu menganggapnya sebagai kewajipan dan peluang menimba ilmu serta kemahiran bagi meningkatkan profesionalisme dan potensi diri,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Oktober 2008

Tiada ulasan: