MERUJUK kepada tulisan 'Guru Biasa' , Batu Caves, Selangor dalam ruangan ini, baru-baru ini, mengenai Kementerian Pelajaran abai nasib guru sambung belajar, saya ingin turut memberi maklum balas apa yang dinyatakan itu.
Saya mungkin bernasib baik kerana tiada musibah yang menimpa selama empat tahun berulang alik dari Kangar, Perlis ke Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, 10 tahun lalu.
Tidak berbaloi rasanya mendapat ijazah dengan bersusah payah sebegitu jika apa yang diharapkan mengecewakan.
Saya ingin menyentuh mengenai guru yang sambung belajar ijazah pertama dulu kerana ini menjadi duri dalam daging yang sudah sekian lama tertanam. Saya nyatakan di sini mengenai tiga kategori guru untuk perbandingan:
Kategori A – Guru DG29 yang sambung belajar kemudian dilantik ke DG41
Kategori B – Guru DG29 yang baru habis belajar dilantik ke DG32 dulu kemudian dilantik ke DG41.
Kategori C – Guru DG29 yang tidak sambung belajar kemudian dilantik ke DG32.
Dalam tiga kategori itu, paling untung ialah guru kategori B. Pada mulanya mereka ini dilantik ke DG41 sebaik saja mereka tamat belajar.
Sama seperti kategori A, tetapi mereka mendesak supaya dilantik ke DG32 dulu sebelum ke DG41. Kenaikan gaji daripada DG29 ke DG32 ibarat mendapat durian runtuh kerana mereka diberi tunggakan berbelas ribu ringgit.
Pada ketika itu, gaji mereka mengatasi guru kategori A walaupun lebih 10 tahun junior berbanding kategori A.
Selepas itu dilantik pula ke DG41, sekali lagi gaji mereka dinaikkan. Apabila kerajaan mengumumkan baru-baru ini, tiga tahun pengalaman ketika DG29 dikira satu tahun pengalaman pada DG41, sekali lagi mereka mendapat untung. Untung mereka berganda-ganda.
Sementara itu bagi guru kategori C, mereka dilantik daripada DG29 ke DG32 dengan mendapat tunggakan antara RM5,000 hingga RM20,000. Hal ini juga menjadi rungutan di kalangan guru DG32 kerana lantikan ke DG32 tidak mengira senioriti.
Sekarang ini guru lama dengan guru baru DG32 mendapat gaji sama banyak, sedangkan pengalaman guru lama ada yang mencecah 20 tahun berbanding guru baru yang hanya lima tahun. Kini gaji guru DG32 rata-rata melebihi gaji guru kategori A.
Saya berada dalam kategori A, kecewa dengan situasi ini. Sudahlah tidak pernah berasa apa-apa tunggakan, menjawat jawatan lain pun jauh sekali. Untuk naik pangkat 'time base' ke DG44 pun ada banyak kerenah dan halangan, sedangkan guru DG29 yang naik ke DG32 begitu mudah sekali walaupun baru mengajar sekitar lima tahun.
Selama 10 tahun dalam DG29 tambah 11 tahun dalam GD41 menjadikan saya sudah 21 tahun berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran tetapi amat mengecewakan. Umur sudah mencecah 50 tahun tetapi tiada kemajuan dalam kerjaya.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dicanang ke seluruh negara ada menyebut mengenai 'martabat profesion perguruan'. Nampaknya ada yang tersisih dan dipinggirkan dan langsung tiada martabat.
GURU LAMA,
Kangar Perlis.
Berita Harian Online: 7 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan