Isnin, 13 Oktober 2008

Lantik setiausaha peperiksaan: NUTP

Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta mewujudkan jawatan khas naik pangkat sebagai setiausaha peperiksaan untuk guru apabila sistem penilaian baru murid sekolah rendah diperkenalkan pada 2010.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata jawatan khusus itu bagi memastikan guru tidak dibebani kerja yang semakin banyak apabila sebahagian besar tugas penilaian murid dipindahkan kepada sekolah.

Melalui langkah itu, katanya, jumlah waktu mengajar bagi guru yang menyandang jawatan berkenaan akan dikurangkan, sebaliknya peranan mereka lebih memfokus kepada pengendalian segala urusan berkaitan proses peperiksaan di sekolah.

“Dengan adanya kawalan dan pemantauan khusus oleh guru yang dipertanggungjawab sebagai setiausaha peperiksaan di sekolah, ia dapat memberi keyakinan kepada ibu bapa dan masyarakat dari segi jaminan kebolehpercayaan nilai peperiksaan itu.

“Ini penting kerana sistem baru itu akan turut menggabungkan markah penilaian dari segi peperiksaan sekolah, sekali gus menimbulkan persoalan dan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku pilih kasih,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa mulai 2015, prestasi murid sekolah rendah tidak akan lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana peperiksaan itu hanya mewakili 30 peratus daripada markah keseluruhan murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, dipetik sebagai berkata perubahan itu selaras pelaksanaan sistem penilaian baru murid sekolah rendah yang akan diperkenalkan pada 2010 di mana markah diperoleh murid dari Tahun Satu hingga Enam akan dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian mereka sepanjang tempoh terbabit.

Mengikut perancangan, UPSR mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah keseluruhan yang akan digabungkan dengan empat penilaian lain, iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.

Berita Harian Online: 13 Oktober 2008

Tiada ulasan: