Oleh Tamrin Anuar
amri@bharian.com.my
MOHD YUSOF (kiri) berbincang mengenai bahan P&P yang boleh dihasilkan daripada bahan akhbar Berita Harian kepada peserta kursus. |
Bahan daripada akhbar mampu tingkat keberkesanan pengajaran dan difahami pelajar
PENDEDAHAN penggunaan Akhbar Dalam Darjah (ADD) di kalangan peserta Kursus Literasi (LINUS) Bahasa Melayu Tahun Satu 2010 anjuran Bahagian Pendidikan Guru dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Selangor, di Kuala Lumpur, baru-baru ini dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran guru, sekali gus minat belajar di kalangan murid.
Dengan tahap pencapaian murid yang dikategorikan sebagai lembam, guru perlu bijak mempelbagaikan teknik pengajaran supaya wujud situasi pembelajaran menarik dan berkesan.
Penyelia Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Yusuf Abdul, berkata pelbagai bahan seperti berita, gambar, iklan, kartun dan komik boleh digunakan guru melaksanakan proses pengajaran dengan lebih menarik menerusi kegiatan yang dirancang.
Katanya, selain menanam minat membaca di kalangan murid, guru boleh menggunakan kreativiti masing-masing membina bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan.
“Sejajar konsep pemusatan pelajar, akhbar sesuai digunakan kerana pendekatan dilaksanakan memberi fokus kepada murid.
“Berdasarkan gambar misalnya, murid boleh menjalankan kegiatan seperti bercerita, membina ayat dan menulis karangan,” katanya ketika ditemui selepas bengkel ADD, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seramai 180 guru dari daerah Sepang, Hulu Langat dan Klang menyertai bengkel yang dikendalikan Pengarang Berita Pendidikan (Projek), Berita Harian, Tamrin Anuar.
Lebih 650 guru dari seluruh negeri mengikuti LINUS Bahasa Melayu secara berperingkat dan dijangka berakhir 12 Februari ini bertujuan mendedahkan mereka teknik dan strategi P&P.
Sementara itu, seorang peserta, Ummal Salamah Sultan, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Changkat Asa, Ladang Changkat Asa, Hulu Selangor, berkata berdasarkan pengalamannya, akhbar mampu membantu meningkatkan keberkesanan pengajarannya dan mudah difahami murid.
Katanya, beliau sering menggunakan akhbar Berita Harian dalam bilik darjah dan kesannya amat positif, malah kini muridnya membawa akhbar sendiri walaupun tidak disuruh berbuat demikian.
“Saya mencadangkan guru mengambil inisiatif menggunakan akhbar ini bagi membantu mereka, khususnya dalam usaha membantu murid lemah menguasai kemahiran membaca dan menulis,” katanya.
LINUS Bahasa Melayu adalah transformasi pendidikan yang akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran pada 2011 bertujuan membantu murid yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Berita Harian Online: 8 Februari 2010
1 ulasan:
salam...
mintak menda dikursuskan kepada semu guru....jangan buat setangah cikgu jer kursus...bagi semua dan kursus tu dijalankan kat PKG....jangan bagi cikgu yang pi kursus buat in-house...rasa nya tak sama cam life kursus...
Catat Ulasan