Sabtu, 20 Februari 2010

Kementerian nafi tiada peruntukan sambutan Hari Guru

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menafikan dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa tiada peruntukan disediakan bagi sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang, 16 Mei depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, menegaskan dakwaan itu tidak benar, sebaliknya beberapa ratus ribu ringgit akan diperuntukkan bagi memastikan perayaan kali ini tetap berlangsung seperti sambutan sebelumnya, walaupun kementerian menghadapi kekangan bajet pada tahun ini.

Malah, beliau berkata, tiada sebarang anugerah utama yang `digugurkan’ pada majlis kali ini atas alasan penjimatan, sebaliknya penyelarasan sewajarnya akan dibuat terhadap penganjuran program bersesuaian dengan keperluan.

“Tidak timbul soal pembaziran kerana tujuan kementerian berbelanja menganjurkan sambutan ini adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan lebih 360,000 guru di seluruh negara, sekali gus memartabatkan profesion mereka yang amat mulia.

“Perancangan rapi dibuat untuk menyambut Hari Guru di Kuantan yang dijangka dihadiri kira-kira 2,500 tetamu, malah Jawatankuasa Pengelola sudah bermesyuarat beberapa kali demi memastikan segala persediaan berjalan lancar.

“Perayaan kali ini akan diadakan seperti biasa sebagaimana tahun lalu. Selain itu, kita juga mendapat tajaan untuk menjayakan program ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Presiden NUTP, Hashim Adnan, sebagai mendakwa sambutan Hari Guru yang bakal diadakan di Pahang, Mei depan, tidak disediakan peruntukan dan kesatuan itu tidak tahu bagaimana majlis berkenaan dapat dilangsungkan.

Sementara itu, sumber Kementerian Pelajaran ketika dihubungi pula berkata, kekangan bajet tahun ini tidak akan menjejaskan penyampaian empat anugerah utama pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010, termasuk dari segi ganjaran hadiah disediakan.

Katanya, empat anugerah itu ialah Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan yang dijangka membabitkan tiga penerima, sekiranya ada calon berkelayakan, dengan masing-masing bakal memperoleh hadiah wang tunai RM10,000.

Selain itu katanya, masing-masing seorang calon akan dinobatkan untuk menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan yang juga memperuntukkan hadiah wang tunai RM10,000, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas (RM1,000) dan Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya (RM1,000).

Berita Harian Online: 20 Februari 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Peruntukan untuk sambutan hari guru ada disediakan. Akan tetapi, bila sampainya sambutan hari guru, guru-guru di sekolah dikehendaki menderma untuk menganjurkan majlis sambutan hari guru peringkat NEGERI.. ADAKAH PERUNTUKAN UNTUK SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI (JPN)..? Dah le bukan semua guru yang dijemput.. hanya pengawai JPN,PPD, Pengetua/G.Besar,Pen.Kanan sahaja.. ini tidak nampak adil, duit di kutip (wajid) dari seorang guru, tp orang lain yang merasa. Timbang2 le sikit..
TQ.. Cikgu di Kelate..